Ketika membaca kisah tentang Tomyris pemimpin kaum Massagetae-Sycthia yang berjaya mengalahkan Cyrus The Great dalam peperangan, ianya mengingatkan saya pada kisah Adhruja Wijamala Singha, seorang puteri Melayu yang sangat badass sehinggakan berjaya memenggal kepala raja Siam yang cuba menakluk dan menjajah tanah airnya. Kisahnya lebih kurang sama, tetapi bezanya ialah Tomyris melakukannya pada abad ke-6 masihi, mengalahkan seorang penakluk agung yang telah berjaya meluaskan empayarnya ke Timur dan Barat.

Untuk pengetahuan para pembaca, Cyrus The Great bukanlah calang-calang penakluk. Kehebatan Cyrus The Great dalam sejarah membuatkan nama baginda didabikkan kemungkinan besar salah satu daripada calon Zulkarnain yang diperkatakan dalam Al-Quran, walaupun saya tidak bersetuju bahawa beliau ialah Zulkarnain yang diperkatakan kerana Zulkarnain diceritakan sebagai seorang raja yang tidak terkalahkan tetapi Cyrus The Great pula pernah kalah dalam peperangan. Ya tuan-tuan dan puan-puan, saya sedang menceritakan tentang kekalahan Cyrus The Great kepada seorang wanita yang cukup dikagumi dalam sejarah.

Kisahnya bermula apabila pada tahun 550 SM, apabila Cyrus mula menyasarkan wilayah Massagetae yang merupakan sebuah kondeferasi puak-puak berkuda yang menduduki wilayah di Timur Iran hari ini. Konfederasi itu ketika itu dipimpin oleh Tomyris yang baru sahaja mewarisi kedudukan pemimpin daripada suaminya yang baru sahaja meninggal dunia. Cyrus telah menghantar pesanan kepada Tomyris untuk menyerahkan wilayah Massegetae kepada Parsi, tunduk dan akur pada pemerintahan Cyrus serta menikahinya.

Badass yang kita perkatakan ini pula menolak tawaran daripada Cyrus sebaliknya memilih untuk bertempur dalam peperangan. Cyrus ketika itu demi menghadapi puak Massegetae ini telah membina sebuah jambatan merentangi Sungai Araxes yang menjadi sempadan Empayar Parsi dan tanah Maasegetae. Ketika Cyrus The Great sedang mengambil masa membina jambatan itu, Tomyris pula menjadi terlalu bosan menunggu Cyrus lalu menawarkan Cyrus melintasi sahaja sungai itu dan mengundurkan askarnya sehinggalah Cyrus benar-benar sampai di tepi sungai dan tak perlu bersusah-payah membina jambatan.

Cyrus lebih licik dalam pertempuran ini apabila ketika dia sedang mara ke medan pertempuran yang tidak jauh daripada kemnya, dia telah meninggalkan kemnya dalam keadaan tidak berkawal dengan segala kelengkapan seperti makanan dan arak. Seperti yang dijangka, Massegetae telah termakan dek umpan yang disediakannya lalu 1/3 daripada ketumbukan tentera Massegetae telah menukar arah dan menakluk kem tersebut. Dalam masa yang sama, mereka juga telah meminum arak-arak dari Parsi.

Namun, seperti mana yang turut dijangkakan oleh Cyrus, puak-puak berkuda ini tidak biasa dengan arak daripada Parsi yang dibawa oleh Cyrus, lalu telah mabuk teruk. Cyrus kemudian telah menarik balik tenteranya, lalu menyerang ketumbukan tentera Massegatae yang sedang mabuk itu. Kebanyakan tentera Massegatae yang diserang sama ada terbunuh atau menjadi tawanan perang. Salah seorang daripadanya ialah anak lelaki Tomyris sendiri. Mendapat tahu bahawa anak lelakinya berada dalam tawanan Cyrus, maka diceritakan bahawa Tomyris telah menghantar mesej kepada Cyrus yang berbunyi seperti di bawah:

“Sekarang dengar nasihat aku untuk kebaikan kau, berikan anak lelaki aku semula dan berambus daripada tanah air aku dengan keseluruhan bala tentera kau, dan kami akan membiarkan kau bergembira dengan kejayaan membunuh sebahagian daripada pasukan aku. Kalau kau menolak tawaran ini, aku akan bersumpah atas nama Matahari sebagai tuhanku untuk menghapuskan rasa haus kau pada darah dalam jumlah yang kau sendiri tak mampu meminumnya!”

Cyrus tidak mengendahkan ugutan yang dilontarkan oleh Tomyris ini. Tetapi kemuncak amuk Tomyris ialah apabila anak lelakinya berjaya melarikan diri daripada tawanan Cyrus lalu membunuh diri kerana rasa malu yang sedang membelenggu dirinya, maka Tomyris merasakan masa untuk dia berdiplomasi dan berlembut sudahpun tamat dan dendam terhadap Cyrus harus dibalas dengan darah.

Maka dicatatkan oleh Herodotus bahawa pertempuran itu pun berlaku dan dia tidak pernah melihat pertempuran yang seganas itu antara negara asing. Tomyris mengetuai askarnya tanpa sebarang formasi, taktikal atau seumpama dengannya. Dia membawa seluruh tentera Massegatae turun ke medan perang dengan rasa yang dendam yang sedang terbakar. Tentera Parsi tidak dapat menahan amuk bangsa-bangsa berkuda ini lalu dihabiskan nyawa mereka satu persatu. Lagipun di belakang mereka ialah Sungai Araxes yang menghalang lagi mereka untuk melarikan diri. Akhirnya, lelaki yang telah menakluk Timur dan Barat ini tewas di tangan seorang wanita yang mengamuk kerana kehilangan anak lelakinya.

Dicatatkan bahawa Tomyris telah menjumpai mayat Cyrus The Great, memenggal kepala lelaki itu lalu memandikannya dalam mangkuk yang penuh dengan darah. Tomyris telah membenarkan janjinya untuk menghapuskan rasa tamakkan darah Cyrus The Great dan memberikan darah kepada Cyrus The Great dalam jumlah dia sendiri tidak mampu menanggungnya. Bukan itu sahaja, bahkan dikatakan juga bahawa Tomyris telah mencabut otak Cyrus dari tempat asalnya lalu menjadikan tengkorak kepalanya sebagai mangkuk arak sepanjang hayat Tomyris sendiri.

RUJUKAN:

Badass of the Week: Tomyris. (n.d.). Diakses Pada 10 Ogos 2016, dari http://www.badassoftheweek.com/tomyris.html

Civilization VI: Tomyris Leads Scythia (n.d) Diakses Pada 10 Ogos 2016, dari http://civilization.com/news/entries/civilization-vi-tomyris-leads-scythia


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

1 Comment

Leave A Reply