Kerukunan antara majikan dan pekerja sentiasa menjadi agenda utama manusia. Baik pada zaman dahulu mahupun sekarang.  Tanpa pengurusan yang berkesan, pasti akan berlaku kekacauan – sama ada rusuhan, penggulingan, atau bahkan peperangan.

Sejarah merakamkan banyak pergelutan antara dua kelas ini. Baik mogok pertama pada era Ramses III, rusuhan saat Revolusi Perancis, mahupun mogok terbesar era moden yang melibatkan 250 juta orang pekerja di India.

Rata-rata berpunca daripada kelewatan bayaran, pemotongan upah, dan pembuangan pekerja tanpa alasan munasabah. Hal sebegini bukanlah perkara asing hatta di negara kita. Tahun ini sahaja sudah timbul isu membabitkan syarikat p-hailing Lazada dan Shopee, rentetan berlaku perubahan dalam skim pembayaran, yang tentunya bakal menjejaskan golongan pekerja.

Keadaan ini lantas mengingatkan kita kepada apa yang berlaku di New York pada penghujung abad ke-19. Saat itu, bandar tersebut sedang pulih dari Perang Saudara (1861-1865) – baik dalam ekonomi mahupun infrastruktur.

Beban mencari pendapatan justeru turut dipikulkan pada kanak-kanak. Yang perempuan biasanya menjual mancis, bunga, pakaian, dan ambal. Sementara yang lelaki pula menggilap kasut dan menjaja surat khabar.

Mereka ini sama ada hidup sendiri di jalanan atau membantu keluarga dengan bekerja sebelum dan selepas pulang dari sekolah. Jadi setiap pagi, mereka akan bangun awal untuk beli surat khabar secara pukal – berharga $0.50 untuk 100 naskhah lalu menjual semula dengan harga satu sen senaskhah.

Secara purata, sehari mereka boleh raih dalam $0.26 ($8 nilai hari ini). Ia bergantung pada kadar jualan. Selalunya untuk habiskan 100 naskhah, mereka perlu menjual sampai jam 1 pagi. Tetapi pada tahun-tahun terakhir, jualan dapat dihabiskan dengan pantas.

Gambar penjaja kanak-kanak berbantalkan surat khabar yang dijual, circa 1912

Ini rentetan beberapa faktor. Pertama, revolusi industri membuatkan ramai bekerja jauh dari tempat tinggal. Jadi, surat khabar menjadi peneman wajib dalam setiap perjalanan. Kedua, ‘jurnalisme kuning’ yang mementingkan sensasi berbanding isi semakin menjadi pilihan pembaca. Ketiga dan paling utama, Perang Sepanyol-Amerika (1898) sedang menggila justeru ramai mahu ambil tahu perkembangan di Caribbean (Cuba) dan Asia (Filipina).

Sepanjang tempoh perang, harga pukal surat khabar dinaikkan kepada $0.60 bagi 100 naskhah. Kenaikan ini memang diketahui oleh penjaja. Cuma disebabkan jualan laku keras, mereka tidak terlalu ambil pusing.

Masalah bagaimana pun mula timbul seusai tamat perang. Saat itu, semua penerbit kembali turunkan harga kepada asal. Hanya dua penerbit gergasi sahaja terkecuali, iaitu The Journal (dimiliki oleh William Randolph Hearst) dan The World (dimiliki oleh Joseph Pulitzer).

Masing-masing enggan kerana saling bersaing – berlumba-lumba menghasilkan muka hadapan menarik, yang hal ini bererti menambah kos penghasilan. Lantas untuk menyerap kos tersebut, mereka pun menaikkan harga pukal. Pihak yang terkesan tidak lain tidak bukan tentulah penjaja.

Oleh kerana itu, mereka pun melancarkan mogok. Ikutkan, sebelum itu memang pernah berlaku mogok. Cuma ia tidaklah berskala besar seperti yang berlaku di New York pada Julai-Ogos 1899 ini.

Insiden bermula di Long Island City pada 18 Julai. Ia berlaku selepas penjaja-penjaja di situ dapat tahu yang pengedar The Journal menipu jumlah jualan – yakni menjual kurang dari 100 naskhah kepada mereka. Dek berang dengan perkara itu, mereka pun terbalikkan gerabak dan curi kesemua surat khabar dari pengedar.

Berita tentang kejadian tersebut kemudian tersebar ke Manhattan dan Brooklyn. Lantas keesokan hari, mereka pun berkumpul di City Hall Park untuk membentuk sebuah persatuan lalu melancarkan mogok.

Ada beberapa nama utama yang muncul dalam mogok ini. Antaranya ialah Boots McAleenan, Young Mush, Crutchy Morris, Bob the Indian, dan Racetrack Higgins. Namun antara semua, individu yang dianggap ketua ialah Louis ‘Kid Blink’ Baletti (18 tahun) dan David Simons (21 tahun).

Pada hari-hari awal, mogok berjalan dengan agak kasar. Mereka bukan setakat menyasarkan gerabak-gerabak pengedar, bahkan mana-mana penjaja yang didapati menjual surat khabar dari dua penerbit itu pun turut disasarkan. Gerabak dan reruai mereka diterbalikkan. Naskhah pula dikoyak dan dibasahkan.

Penjaja perempuan bagaimana pun tidak diapa-apakan. Bahkan segelintir mereka juga ikut mogok. Sepanjang tempoh itu, mereka edarkan risalah di sekitar bandar, menyeru orang ramai supaya bantu mereka memboikot The Journal dan The World.

Pesan mereka, “Kalau bersimpati pada kami, bantu kami dengan boikot penerbit ini. Jangan baca akhbar mereka dan jangan bubuh iklan di dalamnya.” Pesanan tersebut turut disiarkan dalam akhbar-akhbar lain seperti The Evening Sun, The Telegram, dan The Daily News.

Keratan The Sun edisi 25 Julai 1899 tentang protes di Irving Hall

Pada mulanya, rusuhan tersebut tidak diendahkan. Kata Don Seitz, ketua penyunting The Journal, ia hanya bersifat sporadik dan terkawal. Namun pada 22 Julai, nadanya mula cemas. “Mogok dah jadi makin mengancam. Boleh kata semua penjaja di New York dan bandar berhampiran dah berhenti menjual,” kata Seitz.

Memang tiada siapa pun jangka ia akan jadi serius. Pada 18 Julai, ia sekadar serangan kecil. Masuk 22 Julai, jumlah yang berhimpun cuma 100 orang. Tetapi pada 25 Julai, tiba-tiba ia melonjak sehingga 5,000 orang. Perhimpunan di Irving Hall itu malah siap ditaja oleh senator negeri sendiri, bernama Thimothy D. Sullivan, di samping menerima sokongan daripada ramai usahawan dan politikawan.

Dalam perhimpunan itu, Kid Blink sempat sampaikan satu ucapan; “Nilai 10 sen sama penting untuk kita dan untuk jutawan macam Hearst. Jadi kalau dia tidak boleh tolak ansur, mengapa mesti kita? Jujur kata, saya tak boleh hadam bagaimana 50 sen untuk 100 naskhah boleh jadi lebih bernilai untuk jutawan macam dia berbanding untuk budak-budak surat khabar macam kita. Langsung tak munasabah.”

Ucapannya itu menerima tepukan hangat. Cuma lumrah dalam mana-mana perjuangan, penyelewengan mesti ada berlaku.

Beberapa hari sesudah itu, timbul khabar angin yang mengatakan Kid Blink dan David Simons mengambil rasuah daripada penerbit. Walaupun mereka cuba nafikan tuduhan itu, semua pun sedar perubahan pada pemakaian mereka berdua yang lebih mahal berbanding biasa. Rentetan itu, jawatan mereka dilucutkan dan mereka dihalau dari bandar.

Filem terbitan Disney berjudul ‘Newsies’ yang mengadaptasi peristiwa ini

Apapun, mogok yang dijalankan oleh mereka berjaya menjejaskan dua syarikat gergasi itu. Jumlah edaran The World misalnya menjunam teruk dari 360,000 naskhah kepada 125,000 dalam masa dua minggu. Ini memaksa Hearst dan Pulitzer untuk duduk dan berbincang.

Akhirnya pada 2 Ogos 1899, persetujuan berjaya dicapai. Masing-masing sepakat untuk menurunkan harga seperti sediakala. Lebih daripada itu, masing-masing turut bersedia untuk memberi pulangan bayaran bagi naskhah tak terjual. Dengan itu, penjaja tidak perlu lagi khuatir akan rugi jika jualan tidak habis, justeru tidak perlu lagi menjual sampai lewat malam.

Peristiwa mogok ini bukan sahaja mempengaruhi mogok serupa di Hartford, Connecticut (1909), Butte, Montana (1914), dan Louisville, Kentucky (1920-an), tetapi apa yang lebih utama, ia mendorong National Child Labor Committee untuk membasmi buruh kanak-kanak secara serius dan menyeluruh.

RUJUKAN:

Fraga, Kaleena. (2021, 6 October). The True Story of the 1899 Newsboy Strike that Saw Newsies Take on Publishing Tycoons – and Win. All That Interesting.

Mandukian, Marina. (2021, 15 January). The Untold Story of the Newsboy’s Strike of 1899. Grunge.

Teng, Jhemmylrut. (2021, 27 June). Newspaper Boys Won Against America’s Two Business Tycoons. Lessons from History.

Weird History. (2019, 11 January). Newsboys’ Strike of 1899 | The Kids Who Beat Pulitzer and Hearst.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Leave A Reply