Selama bertahun-tahun, wujud polemik siapa yang asaskan Kuala Lumpur. Ada yang dakwa ia diasaskan oleh Yap Ah Loy atau Raja Abdullah tetapi ia tidak disokong oleh fakta sejarah yang tepat. Kalau sebut nama Haji Abdullah Hukum, ia terhad kepada beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur. Justeru, pengasas sebenar Kuala Lumpur bukan tiga individu ini tetapi seorang figura Mandailing bernama Sutan Puasa.

Sutan Puasa atau nama sebenarnya Sutan Naposo merupakan seorang bangsawan berdarah Mandailing dari suku Lubis. Beliau berasal dari Tobang, sebuah kawasan yang terletak di Mandailing Atas, Sumatera. Sutan Puasa bersama-sama orang Mandailing lain berhijrah ke Tanah Melayu sekitar awal abad ke-19 selepas tercetusnya Perang Padri di Sumatera.

Perang Padri mendorong ramai orang Pagaruyung dan sekitarnya melarikan diri termasuk Sutan Puasa.

Secara ringkas, Perang Padri merupakan perang yang tercetus antara golongan ulama Wahabi dengan pemerintah Pagaruyung (Minangkabau). Golongan ini mencetuskan huru-hara pada ketika itu termasuk membunuh ulama dan cendekiawan yang tidak sehaluan dengan mereka. Akibat konflik yang tercetus lebih 30 tahun itu, ramai orang Minang dan Mandailing meninggalkan tanah air mereka bagi membina kehidupan baru termasuk Sutan Puasa sendiri.

Semasa tiba di Kuala Lumpur sekitar 1820-an, Sutan Puasa ketika itu belum lagi bergelar pemimpin orang Mandailing. Ini kerana pemimpin orang Mandailing semasa era berkenaan ialah Raja Duri yang lebih tua dan lebih kanan berbanding beliau. Tetapi dari segi adat Mandailing, Sutan Puasa juga selayaknya diberi penghormatan disebabkan status sama dengan Raja Duri.

Sebelum menyentuh soal pembukaan Kuala Lumpur, kena lihat dulu sebab orang Mandailing suka membuka petempatan baru. Ini sebenarnya berkait dengan tradisi pemimpin kaum berkenaan yang dipanggil mamungka huta atau buka negeri. Apabila sesebuah petempatan baru dibuka, pemimpin Mandailing akan membawa bersama undang-undang adat yang dibawa dari tanah asal mereka.

Apabila orang Mandailing membuka sesebuah petempatan di Semenanjung Tanah Melayu, terdapat beberapa persamaan dari segi lokasi yang dipilih. Pertama, lokasi petempatan terpencil tetapi mempunyai akses kepada air (sama ada tasik atau sungai). Ini bagi membolehkan aktiviti penanaman padi dan perlombongan dapat dijalankan di situ.

Kedua, ia merupakan sebahagian daripada misi kebudayaan mereka bagi menubuhkan sebuah kerajaan atau kawasan pentadbiran sendiri. Dan ketiga, jika berlaku ketegangan di kampung baru, sesetengahnya akan berhijrah dan membuka petempatan baru di tempat lain yang dikenali sebagai kampung anak. Ini berlaku kepada Raja Bugis dan Raja Mengampang di Hulu Langat, Selangor.

Semasa mereka berhijrah, mereka akan membawa bersama kaum kerabat semasa proses ini berlaku. Tetapi paling penting, ketua puak yang berhijrah perlu mempunyai hubungan dengan raja/pemimpin yang mentadbir petempatan Mandailing utama. Sejak abad ke-18, orang Mandailing Selangor dipimpin oleh Namora dan Natoras (bangsawan dan pemimpin tradisional Mandailing) dengan sesetengah daripadanya dikurniakan gelaran Dato Dagang oleh pihak Bugis yang menguasai Kesultanan Selangor.

Teluk Intan merupakan antara kawasan yang dibangunkan oleh orang Mandailing. Sumber: Mohd Fazlin Mohd Effendy Ooi/CC BY 2.0

Antara bangsawan yang membuka petempatan di Selangor ialah Sutan Puasa (Kuala Lumpur), Tok Bunus (Kampung Baru), Raja Baranang (Ampang) dan Kajang (Raja Barayun). Sementara di Perak pula, seorang wanita Mandailing bernama Mak Intan mengasaskan Teluk Intan (kemudiannya dikenali sebagai Teluk Anson semasa penjajahan British).

Mungkin ada yang kurang percaya keupayaan orang-orang Melayu membuka kota moden setanding dengan piawaian pihak Barat ketika itu. Tetapi Kampar yang diasaskan oleh Imam Perang Jabarumun sebagai bukti terbaik. Imam Perang Jabarumun pada asalnya mengetuai komuniti Mandailing di Selangor tetapi berhijrah ke Perak selepas Perang Klang tercetus.

Menurut catatan Sir George Maxwell, kebijaksanaan beliau mengatur pelan lantai Kampar menjadikan ia sebagai antara bandar yang paling membangun di Lembah Kinta. Hal ini turut diakui oleh Majistret dan Pengutip Cukai Kinta, J.B.M. Leech. Disebabkan susun atur Kampar yang bertepatan dengan piawaian perbandaran barat yang dibuat oleh Imam Perang Jabarumun, ini menjadikan kawasan tersebut cepat berkembang.

Kuala Lumpur atau lebih tepat Sungai Lumpur sebenarnya telah diduduki oleh orang Mandailing sejak 1800 lagi. Selepas tahun berkenaan, aktiviti perlombongan terutama bijih timah menjadi kegiatan ekonomi utama di situ. Tetapi yang menariknya di sini ialah kedudukan orang Mandailing (Kuala Lumpur) yang terletak di kawasan pedalaman.

Bagi orang-orang Mandailing, ini bersesuaian dengan falsafah pembukaan petempatan baru mereka. Selain itu, ini juga mengelak mereka daripada terjebak dengan sebarang konflik membabitkan bangsawan dan kerabat diraja Melayu dan Bugis yang selalunya duduk di kawasan pesisir pantai Selangor. Konflik antara kedua-duanya sentiasa timbul terutama pada abad ke-19 dengan kemuncaknya ialah Perang Klang.

Setelah beberapa tahun di Kuala Lumpur, Sutan Puasa mula membangunkan kawasan-kawasan di situ. Ini termasuk mengundang beberapa pelombong China iaitu Hiu Siew dan Ah Sze Keledek untuk membangunkan aktiviti perlombongan bijih timah di Ampang. Ini selepas beliau menyakinkan mereka tentang potensi keuntungan yang boleh diraih dengan melombong di situ.

Menjelang 1850, Haji Abdullah Hukum merekodkan semasa beliau tiba di situ, Sutan Puasa telah diberi kebenaran oleh Sultan Selangor untuk mengutip cukai di Kuala Lumpur. Pada ketika itu, rumah-rumah kedai dan beberapa batang jalan telah wujud. Ini menunjukkan kemajuan di bakal ibu kota negara sebenarnya berlangsung lama sebelum ketibaan Kapitan Yap Ah Loy yang selalu didakwa sebagai pengasas Kuala Lumpur.

Semua ini tidak akan berlaku tanpa sokongan semua komuniti yang ada di Kuala Lumpur daripada orang Mandailing hinggalah kapitan China dan aristokrat Melayu dan Bugis. Kebanyakan pemimpin Mandailing seperti Raja Usman, Raja Barayun dan Raja Asal menyokong beliau sepenuhnya. Dalam kes Raja Asal, Sutan Puasa merupakan orang kanannya dalam pelbagai perkara termasuk ekonomi dan hubungan luar serta sebagai panglima perang.

Selain itu, beliau turut menyemarakkan aktiviti ekonomi sekitar Kuala Lumpur termasuk perlombongan. Bukan satu rahsia ramai pelombong China diberi modal oleh Sutan Puasa setiap kali mereka melombong di Kuala Lumpur. Apabila aktiviti perlombongan mereka dari Ampang hingga Kanchang mendapat keuntungan, secara tidak langsung ini menjadikan beliau sebagai antara orang terkaya di kawasan berkenaan. Semua ini sekaligus melayakkan Sutan Puasa sebagai pengasas sebenar Kuala Lumpur, bukannya Yap Ah Loy, Raja Abdullah atau Haji Abdullah Hukum.

Tetapi semuanya berubah akibat Perang Klang. Di satu pihak ialah Raja Abdullah, Raja Ismail (putera Raja Abdullah) dan Tengku Kudin, menantu Sultan Abdul Samad dan Yamtuan Selangor. Sementara di sebelah sana ialah kerabat diraja Selangor yang menyokong Raja Mahadi. Di Kuala Lumpur, pilihan telah dibuat dengan Sutan Puasa menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Raja Mahadi.

Ramai orang menyangka Perang Klang ialah perang bagi merebut hak ekonomi lumayan di negeri Selangor termasuk Kuala Lumpur semata-mata. Tetapi hakikatnya, ia juga merupakan pertarungan hidup dan mati Sultan Abdul Samad untuk terus kekal bertakhta. Bukan satu rahsia semasa baginda menaiki takhta, tidak semua yang menyokongnya.

Malah, tempoh untuk menabalkannya sebagai Sultan Selangor mengambil masa selama dua tahun. Justeru, tidak hairanlah pada akhirnya, tanpa sokongan orang-orang Mandailing termasuk Raja Barayun dari Kajang, baginda tidak akan bertakhta. Tetapi ini turut menunjukkan potensi mereka sebagai duri dalam daging kepada pemerintahan Sultan Abdul Samad lagi-lagi dengan hakikat kedudukan baginda yang lemah. Atas sebab itulah, dengan melantik Tengku Kudin sebagai Yamtuan Selangor, ia diharap dapat mengukuhkan kedudukannya.

Tengku Kudin (duduk)

Tengku Kudin membawa tentera luar dari Selangor bagi menghadapi tentangan Raja Mahadi. Bantuan yang datang dari Kedah membolehkan Klang yang dikawal Raja Mahadi jatuh pada 1870. Tetapi itu tidak membuatkan baginda putus asa. Sebaliknya, Raja Mahadi terus memberi tentangan terhadap Tengku Kudin termasuk menakluk Kuala Lumpur pada 1872.

Terdesak, anak raja Kedah itu mendapatkan bantuan Bendahara Wan Ahmad dari Pahang. Ini selepas Tengku Kudin mendapat tahu orang-orang bekas pesaing Wan Ahmad, Wan Mutahir dengan sokongan orang Mandailing menjadi kunci kekuatan tentera Raja Mahadi. Lantas, beliau mengutuskan lebih 1,500 orang tentera bagi menyokong Tengku Kudin yang turut disokong oleh tentera British bagi mendapatkan semula Kuala Lumpur.

Pertempuran sengit di Kuala Lumpur menyaksikan Yamtuan Selangor itu berjaya mengalahkan lawannya itu. Akibatnya, Raja Mahadi terpaksa melarikan diri ke Johor sebelum mangkat di sana. Tetapi bagi orang Mandailing, ini cuma permulaan derita mereka.

Tindakan tentera Pahang membantai mereka habis-habisan berkemungkinan sebagai tindak balas terhadap tentangan yang diberi mendorong mereka berhijrah ke luar Selangor. Antara lokasi yang dituju ialah Perak, Melaka, Batu Pahat, Johor dan Asahan di Sumatera Timur. Tidak mustahil akibat tindakan kejam tentera Pahang di Kuala Lumpur, Wan Ahmad yang kemudiannya bergelar Sultan Ahmad al-Muazzam Shah berdepan masalah besar akibat perihal British bertahun-tahun kemudian.

Sutan Puasa cuba memberontak bagi mendapatkan keadilan bagi orang Mandailing tetapi ia digagalkan di Hulu Langat pada 1875. Akibatnya, beliau dipenjarakan selama setahun sebelum dibebaskan dengan jaminan $5,000. Setelah itu, Sutan Puasa tinggal seketika di Jalan Batu sebelum memilih duduk di satu perkampungan Mandailing di Jalan Chow Kit.

Beliau terus bekerja sebagai peraih bijih timah dan peniaga sehinggalah kembali ke rahmatullah pada 1905. Sutan Puasa kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, tempat sama ramai figura Mandailing yang terkenal dikebumikan.

Kami juga ada karya-karya fiksyen khas untuk para peminat pelbagai genre. – https://shopee.com.my/thepatriotsasia

RUJUKAN

Sabatin, M.A. dan Yusop, S.H. (2018, 8 April). Sutan Puasa pengasas sebenar Kuala Lumpur?. Berita Harian.

Lubis, A.R. (2013). Sutan Puasa: The Founder of Kuala Lumpur. Journal of Southeast Asian Architecture. Jil. 12. Muka surat 25-38.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply