Kelmarin kami ada naikkan gambar pertama yang diambil NASA dengan menggunakan Teleskop Angkasa James Webb (JWST). Sudah pastinya ramai terpesona melihat keindahan alam semesta yang dicerap sejauh 13 bilion tahun cahaya. Sebagai pemain industri yang berkredibiliti, NASA sememangnya takkan berhenti dengan sekeping gambar semata-mata. Maklumlah – takkan teleskop bernilai AS$10 bilion dilancar untuk ambil sekeping gambar semata-mata.
Dalam tempoh beberapa jam sahaja, NASA mengudarakan beberapa keping gambar yang diambil JWST. Dan gambar-gambar ini membuktikan betapa kecil pengetahuan kita tentang alam semesta.
Berikut adalah “pergunungan” dan “lembah” yang berpinar-pinar dengan kerdipan bintang.
Carina Nebula
Untuk pengetahuan semua, permandangan ini berada di kawasan Carina Nebula yang terletak 8,500 tahun cahaya daripada Bumi (1 tahun cahaya = 9 trilion kilometer). Kawasan angkasa ini diutamakan NASA kerana ada banyak bintang sedang tercipta secara semulajadi. Jadi senang kata, ‘janin-janin bintang’ di sini membolehkan saintis faham tentang proses kelahiran Matahari.
Gambar itu sendiri adalah sebuah bahan radiasi daripada ‘anak-anak bintang’. Gas yang ada sememangnya panas.
Deep Field View
Di atas pula adalah medan jarak jauh. JWST mengambil masa beberapa minggu untuk mengumpulkan gambar dalam bentuk inframerah. Semua gambar kemudian diproses selama 12 jam 30 minit, yang membuahkan hasil sangat lumayan. Dalam gambar ada gugusan galaksi SMACS 0723 yang terletak 4.6 bilion tahun cahaya jauh. Kelihatan banyak gugusan lain berhampiran dengan SMACS 0723 – dan saintis NASA berpendapat banyak maklumat baru boleh disingkap pasal gugusan-gugusan ini dengan bantuan JWST.
Artist rendition.
Gambar di atas adalah WASP-96b, yang dilukis secara grafik. Ia bukan gambar asli JWST – cukup untuk sekadar buat bayangan tentang planet di luar sistem suria kita. WASP-96b didapati tiada awan… tetapi sentiasa berkabus tebal dengan saiz lebih besar untuk dibandingkan dengan Musytari (Jorgenson, 2018).
Dengan teknologi JWST, pihak NASA berjaya mengorek rahsia yang tersembunyi di sebalik kabus ini. Rupa-rupanya atmosfera WASP-96b mengandungi air.
Kiraan spektroskopi yang mendedahkan kandungan air.
Walaupun berair, planet ini sangat panas disebabkan kedudukannya begitu rapat dengan bintang WASP-96. Untuk mengelak kekeliruan, WASP-96 adalah bintang. Mengelilingi bintang ini adalah planet WASP-96b, yang JWST imbas dan menemui kandungan air.
JWST juga dapat mengimbas kematian sebutir bintang yang terletak di Lingkaran Selatan (Southern Ring). Berikut adalah gambar-gambarnya:
Kalau tanya orang ramai, pasti gambar-gambar ini dianggap suatu permandangan indah. Untuk pengetahuan semua, ini adalah ‘zon kematian’. Ada banyak maklumat saintis belum tahu. Jadi JWST membolehkan mereka faham perihal proses kematangan bintang (stellar evolution) yang sangat rumit dan rambang.
Ikut jangkaan saintis, gas berwarna-warni yang dilihat di ‘zon kematian’ ini akan hilang buat selamanya dalam tempoh ribuan tahun akan datang. Tempoh ini sangat lama untuk hayat manusia. Walau bagaimanapun, ia hanyalah sekelip mata saja kalau ambil kira perspektif angkasa.
Kalau tengok pada gambar, boleh nampak banyak kerdipan di keliling ‘zon kematian’ ini. Kerdipan-kerdipan ini adalah galaksi, bukannya bintang. Dan bercakap pasal galaksi pula, JWST juga ada ambil gambar Stephan’s Quintet yang merupakan gugusan lima galaksi. Ia dinamakan sempena Edouard Stephan, seorang sarjana Perancis yang menemuinya pada tahun 1877 (Harrington, 2010).
145 tahun sudah berlalu sejak Stephan menemui quintet ini. Jadi kalian boleh faham kenapa gugusan galaksi ini banyak dikaji saintis sampai JWST ambil gambar. JWST serba boleh menembusi debu dan gas tebal yang selama ini menjadi halangan besar untuk teleskop-teleskop angkasa.
Kami juga ada karya-karya fiksyen khas untuk para peminat pelbagai genre. – https://shopee.com.my/thepatriotsasia
RUJUKAN:
Harrington, P. (2010). Cosmic Challenge: The Ultimate Observing List for Amateurs. Cambridge University Press. Halaman 338.
Jorgenson, A. (2018, Mei 8). WASP-96b: the cloudless exoplanet. Astronomy.




No comments yet