Khamis, 22 Oktober 202622 Okt 2026
Kembara Patriot

Orang Betawi Guna Buaya Sebagai Lambang Kesetiaan?

Kalau di Malaysia kita panggil lelaki kaki perempuan sebagai “buaya darat”, di Betawi pula buaya jadi lambang cinta, kesetiaan dan rumah tangga yang kukuh.

Pelik kan?

Tapi dalam adat Betawi, buaya dijadikan simbol penting dalam perkahwinan. Sampai hari ini, dalam majlis kahwin adat Betawi, mesti ada satu benda yang sangat unik dibawa oleh pihak pengantin lelaki.

Namanya roti buaya.

Ya, roti berbentuk buaya.

Bukan kecil-kecil comel macam roti bun dekat kedai. Roti buaya ni kadang-kadang boleh jadi panjang sekitar 50 sentimeter, malah ada yang sampai hampir satu meter. Biasanya ia dibawa sebagai sebahagian daripada hantaran atau seserahan pihak lelaki kepada pihak perempuan.

Inilah menariknya budaya Betawi. Mereka mengambil satu haiwan yang hari ini sering disalah faham, lalu menjadikannya lambang rumah tangga. Pada zahirnya nampak pelik. Kenapa buaya? Kenapa bukan burung merpati? Kenapa bukan bunga? Kenapa bukan sesuatu yang lebih lembut dan romantik?

Jawapannya ada pada sejarah hidup orang Betawi itu sendiri.

Orang Betawi ialah masyarakat asal yang terbentuk di sekitar Batavia iaitu Jakarta hari ini. Hidup mereka sejak dahulu sangat rapat dengan sungai, paya, rawa dan sumber air. Jakarta lama bukanlah kota konkrit macam sekarang. Kawasan itu dahulu dipenuhi sungai dan tanah lembap. Dalam dunia seperti itu, buaya ialah sebahagian daripada alam sekitar mereka.

Menurut cerita tradisi, buaya dianggap sebagai penjaga kawasan air. Bagi masyarakat yang hidup bergantung kepada air, sumber air ialah nyawa mereka. Air untuk minum, mandi, memasak, membasuh, menangkap ikan dan meneruskan hidup.

Sebab itu, kalau ada orang merosakkan kawasan air, mengotorkan sumber air atau melanggar pantang larang sekitar sungai, masyarakat lama boleh menganggapnya sebagai gangguan terhadap tempat yang dijaga.

Dari sinilah buaya masuk ke dalam budaya Betawi.

Tapi kenapa sampai jadi roti?

Di sinilah pengaruh sejarah Batavia masuk. Selepas kedatangan orang Eropah khususnya Portugis dan Belanda, budaya membuat roti dan pastri mula berkembang di Batavia. Sebelum itu, bentuk buaya dalam adat tempatan dipercayai pernah dibuat daripada bahan seperti keladi atau ubi kayu. Bila budaya roti semakin masuk, bentuk buaya itu akhirnya diterjemahkan menjadi roti.

Maka lahirlah roti buaya.

Roti buaya ini sebenarnya menggambarkan pertembungan budaya yang menarik. Bentuknya datang daripada simbol tempatan Betawi. Bahannya pula dipengaruhi budaya roti Eropah di kota kolonial Batavia. Sebab itu, roti buaya menjadi bukti bagaimana masyarakat tempatan mengambil unsur luar, lalu menjadikannya milik budaya sendiri.

Lebih menarik, roti buaya ini muncul dalam ruang paling penting dalam hidup manusia iaitu perkahwinan.

Dalam majlis kahwin Betawi, pihak pengantin lelaki membawa sepasang roti buaya. Biasanya ada roti buaya jantan dan roti buaya betina. Ada juga versi yang meletakkan roti buaya kecil di atas roti buaya besar sebagai simbol zuriat.

Orang Betawi percaya buaya ialah haiwan yang setia kepada pasangan. Dalam kepercayaan budaya mereka, buaya dikatakan hanya mempunyai satu pasangan. Sebab itu, roti buaya dibawa dalam perkahwinan sebagai doa dan simbol supaya pasangan yang berkahwin itu kekal setia sampai akhir hayat.

Inilah ironi paling menarik.

Dalam bahasa Melayu dan Indonesia moden, “buaya darat” membawa maksud lelaki tak setia. Tapi dalam adat Betawi, buaya pula menjadi lambang kesetiaan.

Cuma di sinilah kita kena bezakan antara kepercayaan budaya dengan fakta sains moden. Kajian terhadap buaya Amerika di Rockefeller Wildlife Refuge, Louisiana mendapati sehingga 70 peratus buaya betina yang dikaji memilih pasangan yang sama untuk beberapa musim mengawan.

Maksudnya, memang ada bukti bahawa sesetengah buaya boleh menunjukkan kesetiaan terhadap pasangan iaitu kecenderungan memilih pasangan yang sama berulang kali. Tapi ini tidak bermaksud semua buaya di dunia hanya mengawan dengan seekor pasangan sahaja sepanjang hidup. Kajian itu lebih tepat dibaca sebagai bukti bahawa buaya sebenarnya haiwan yang lebih kompleks daripada sangkaan orang ramai.

Malah, dunia buaya memang tidak sesimple yang kita sangka. Buaya bukan haiwan bodoh yang cuma tahu nganga mulut tepi sungai. Kajian tentang keluarga buaya menunjukkan haiwan ini sebenarnya mempunyai tingkah laku yang lebih kompleks daripada sangkaan ramai. Buaya ada cara berhubung sesama sendiri, ada tingkah laku ketika musim mengawan, menjaga sarang dan melindungi anak.

Ada spesies buaya betina yang sangat garang mempertahankan sarangnya daripada ancaman. Anak buaya pula boleh mengeluarkan bunyi dari dalam telur sebelum menetas. Bila si ibu dengar bunyi itu, ia akan membantu menggali sarang dan membawa anak-anaknya ke kawasan air.

Dalam sesetengah keadaan, anak-anak buaya juga akan berkumpul dalam satu kumpulan kecil yang dijaga oleh induknya. Jadi, tanggapan bahawa buaya ini haiwan ganas yang tidak ada naluri “keluarga” sebenarnya tidak tepat.

Sebab itu, bila orang Betawi memilih buaya sebagai simbol perkahwinan, mereka melihat sifat buaya yang sabar menunggu, kuat bertahan, hidup di air dan darat, menjaga kawasan, serta dikaitkan dengan kesetiaan. Semua sifat ini kemudian diterjemahkan ke dalam harapan rumah tangga.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet