RTM bayar berapa untuk dapat hak siaran Piala Dunia 2026?
Itu antara soalan pertama naik bila kerajaan umum Piala Dunia akan disiarkan di TV percuma. Untuk edisi 2026, kerajaan memperuntukkan RM24 juta bagi membawa siaran Piala Dunia FIFA 2026 ke Malaysia menerusi RTM dan Unifi TV.
RTM akan menyiarkan sebahagian besar perlawanan secara langsung dan tertunda, manakala Unifi TV pula akan menyiarkan kesemua 104 perlawanan. Siaran ini juga boleh ditonton melalui TV percuma, MYTV, RTM Klik dan Unifi TV.
Angka RM24 juta ini nampak besar, tapi sebenarnya jauh lebih rendah berbanding laporan awal bahawa FIFA pernah meminta bayaran sekitar puluhan juta dolar Amerika untuk hak siaran Piala Dunia 2026 di Malaysia.
Ada laporan menyebut angka asal sekitar AS$50 juta sebelum turun kepada AS$35 juta, tetapi masih dianggap terlalu tinggi.
Tapi menariknya, isu kos siaran Piala Dunia ini bukan benda baru di Malaysia.
Jauh sebelum orang bergaduh pasal langganan streaming, jauh sebelum Astro, Unifi TV, internet laju, TikTok highlight dan illegal stream dengan comentator Arab Yalla Yalla yang penuh iklan pelik-pelik, rakyat Malaysia pernah buat sesuatu yang hari ini kita panggil crowdfunding.
Ya, orang Malaysia pernah kumpul duit sorang RM1 semata-mata nak bantu RTM siarkan lebih banyak perlawanan Piala Dunia.
Kisah ini berlaku pada tahun 1982.
Waktu itu Piala Dunia berlangsung di Sepanyol. Nama-nama besar bola sepak dunia beraksi seperti Diego Maradona masih muda bersama Argentina. Brazil ada Zico, Socrates dan Falcao. Itali ada Paolo Rossi. Jerman Barat ada Karl-Heinz Rummenigge. Perancis ada Michel Platini.
Masalahnya, RTM waktu itu tidak mampu menyiarkan banyak perlawanan secara langsung. Siaran langsung Piala Dunia bukan semurah buka kamera dan tekan butang “live”. Ada kos hak siaran, kos teknikal, kos satelit dan segala urusan penyiaran.
Ketika itu RTM biasanya hanya mampu menyiarkan perlawanan pembukaan, separuh akhir dan final. Untuk peminat bola sepak, itu memang menyeksakan. Bayangkan Piala Dunia tengah panas, tapi kau hanya dapat rasa hujung-hujung cerita.
Di sinilah muncul seorang lelaki bernama Peter Teo.
Peter Teo bukan menteri. Bukan tauke besar. Bukan pemilik stesen TV. Beliau hanyalah seorang peminat bola sepak yang tidak sanggup melihat rakyat Malaysia hanya dapat menonton beberapa perlawanan sahaja.
Pada 14 Jun 1982, beliau menghubungi hotline The Malay Mail dan mencadangkan satu idea yang gila berani untuk zamannya.
Kalau RTM tak cukup duit, kenapa rakyat Malaysia tak bantu?
Cadangan Peter Teo sangat ringkas. Kalau setiap peminat bola sepak menyumbang RM1 seorang, bukankah jumlah itu boleh digunakan untuk membayar kos siaran tambahan?
Hari ini idea ini kita panggil crowdfunding. Tapi pada tahun 1982, istilah itu belum jadi budaya internet. Tiada GoFundMe. Tiada QR DuitNow. Tiada e-wallet. Tiada poster Canva yang boleh viral dalam masa lima minit.
Yang ada cuma surat khabar, telefon, pejabat berita dan semangat rakyat.
The Malay Mail kemudian membawa idea ini ke hadapan. Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Seri Mohd Adib Adam memberikan lampu hijau bahawa RTM boleh menerima sumbangan awam untuk menambah siaran langsung Piala Dunia dengan syarat ada pihak yang menguruskan kutipan dana tersebut.
Maka lahirlah satu tabung yang namanya People’s Live Telecast Fund atau PLTF.
Tabung ini dilancarkan pada 19 Jun 1982.
Dan dari situlah cerita menjadi luar biasa.
Orang ramai mula datang ke pejabat The Malay Mail di Balai Berita, Bangsar. Bukan seorang dua. Bukan sekadar peminat bola tegar. Orang tua datang. Anak muda datang. Lelaki, perempuan, pelbagai kaum, pelbagai pekerjaan, semuanya datang dengan tujuan sama nak tengok bola sepak Piala Dunia secara langsung di RTM.
Ada yang bawa RM1. Ada yang bawa lebih. Ada yang hantar cek, money order dan postal order. Nama penderma dan jumlah sumbangan pula disiarkan dalam akhbar setiap hari. Dah macam gerakan nasionalisme dah jadinya.
Paling menyentuh hati, seorang budak berusia enam tahun bernama Jason Lim Soo Boon datang membawa tabungnya sendiri dan menyumbang RM12.80. Untuk orang dewasa, RM12.80 mungkin nampak kecil. Tapi untuk budak enam tahun, itu boleh jadi seluruh harta karun hidup dia.
Sambutan itu makin hari makin besar. Menurut laporan, sasaran awalnya ialah RM60,000 untuk satu perlawanan. Dalam masa beberapa hari sahaja, kutipan sudah melepasi angka tersebut. The Malay Mail kemudian mencabar rakyat Malaysia untuk terus menyumbang supaya lebih banyak perlawanan boleh dibawa secara langsung.
Dan rakyat Malaysia sahut cabaran itu.
Antara tokoh besar yang turut menyumbang ialah Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Ahmad Shah yang menyumbang RM1,000. Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyumbang RM200. Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam menyumbang RM150.
Tapi dalam kisah ini, yang paling penting bukan jumlah orang besar. Yang paling penting ialah suasana rakyat biasa yang datang beramai-ramai kerana satu minat yang sama.
Malah The Malay Mail juga menganjurkan perlawanan bola sepak amal antara pasukan The Malay Mail dan artis Malaysia. Nama-nama seperti Datuk Soh Chin Ann, Wong Choon Wah, Datuk Dell Akbar Khan dan pelawak legenda Hamid Gurkha turut memeriahkan suasana. Ini sudah jadi pesta bola sepak rakyat Malaysia.
Akhirnya, PLTF berjaya mengumpul sekitar RM300,000. Namun ada juga catatan oleh R. Nadeswaran, wartawan yang terlibat dalam gerakan itu menyebut kutipan akhirnya melebihi RM400,000. Perbezaan angka ini mungkin datang daripada cara laporan mengira dana utama, lebihan kutipan atau jumlah akhir selepas penutupan tabung.
Tetapi yang jelas, jumlah itu cukup untuk membolehkan RTM menyiarkan beberapa lagi perlawanan Piala Dunia 1982 secara langsung termasuk perlawanan besar yang memang ditunggu-tunggu peminat bola sepak ketika itu.
Antara perlawanan yang disiarkan dengan dana itu termasuk England menentang Jerman Barat, Soviet Union menentang Poland, Itali menentang Brazil, England menentang Sepanyol, serta siaran FIFA World All-Star charity match selepas kejohanan. RTM juga dilaporkan mengetepikan sebahagian kos teknikal bagi membantu menjayakan siaran ini.
Tapi semua angka itu akhirnya kalah dengan satu ayat yang muncul di kaca TV.
“Ditaja Oleh Rakyat Malaysia.”
Kisah ini juga menunjukkan betapa kuatnya kedudukan RTM suatu masa dahulu. Sebelum Astro muncul, sebelum TV swasta berkembang besar, sebelum internet memecahkan dunia penyiaran, RTM ialah pintu utama rakyat Malaysia untuk melihat dunia luar.
Kalau RTM tak siarkan, majoriti rakyat memang tak dapat tengok. Maka apabila RTM kata dana tak cukup, rakyat tidak sekadar merungut. Mereka cari jalan.
Hari ini keadaan sudah berbeza. Kita ada siaran digital, aplikasi streaming, platform berbayar, media sosial dan highlight segera. Untuk Piala Dunia 2026, kerajaan memperuntukkan RM24 juta supaya rakyat boleh menonton melalui RTM dan Unifi TV. Ada orang akan sokong sebab bola sepak ini hiburan rakyat. Ada orang akan kritik sebab guna duit kerajaan hasil duit cukai rakyat dan mesti dijelaskan dengan telus.
Dua-dua pandangan itu ada benarnya.
Tetapi bila kita melihat kembali kisah 1982, kita akan nampak satu benda yang menarik. Dulu, rakyat sanggup keluar duit sendiri untuk bantu RTM bawa Piala Dunia ke rumah mereka. Sekarang, kerajaan pula menggunakan peruntukan kerajaan supaya rakyat tidak perlu membayar sendiri untuk akses asas kepada kejohanan terbesar dunia.
Piala Dunia 1982 pernah “Ditaja Oleh Rakyat Malaysia.”




No comments yet