Ada satu spesis ikan kuno ni saintis anggap dah pupus selepas kepupusan dinosaur pada 66 juta tahun lalu. Rupa-rupanya ikan ni masih berenang bebas di perairan Afrika Selatan! Spesis ikan apakah yang mengejutkan para saintis ini?
Spesis ikan kuno tersebut ialah ikan coelacanth dari kumpulan besar Sarcopterygii, iaitu kumpulan ikan bersirip bulat. Menurut saintis, kumpulan ikan ini melahirkan kumpulan haiwan tetrapod iaitu berkaki empat. Jadi, boleh dianggap kumpulan Sarcopterygii ni adalah ‘moyang’ kepada haiwan berkaki empat sekarang
Ikan coelacanth hidup pada 400 juta tahun dulu dan saiznya mampu mencecah 2 meter dan berat mencecah 90 kilogram. Usianya pula mampu mencecah lebih 60 tahun. Tambahan lagi, ikan ini hidup secara nokturnal (hidup waktu malam) dan memburu secara memecut apabila nampak mangsanya di hadapan.
Kali terakhir ikan ini ditemui melalui kajian fosil, ikan coelacanth hidup pada zaman dinosaur, lepas berlaku kepupusan dinosaur, ikan ni dah tak wujud. Jadi, saintis andaikan ikan coelacanth dah pupus ikut dinosaur. Kisah ikan ini tamat di situ saja.
Tapi pada 23 Disember 1938, pemancing dan pemilik kapal bernama Hendrick Goosen telah menangkap ikan yang serupa dengan ikan coelacanth di Sungai Chalumna, Afrika Selatan. Kemudian penjaga muzium bernama Marjorie Countenay-Latimer terpanggil untuk melihat ikan yang aneh menurut nelayan tersebut.
Setelah berita ini disampaikan kepada saintis ikan dari Rhodes University, ternyata inilah ikan coelacanth yang telah dianggap sebagai spesis pupus! Masuk tahun 1938 hingga 1975, sebanyak 84 ekor ikan coelacanth telah ditangkap untuk tujuan penyelidikan.
Di Indonesia pun ada juga ikan coelacanth yang masih berenang bebas! Seorang saintis bernama Mark V. Erdmann telah menemui ikan sebijik dengan ikan coelacanth yang dijual di pasar ikan pada tahun 1997. Setelah meminta bantuan nelayan untuk menangkap ikan tersebut, ia dikaji dan sememangnya itulah ikan kuno yang dianggap pupus!
Jadi, ikan coelacanth sekarang ada dua spesis dari genus Latimeria: Coelacanth India Barat (Latimeria chalumnae) dan Coelacanth Indonesia (Latimeria menadoensis). Terdapat persoalan penting, macam mana ikan coelacanth ni boleh hidup begitu lama?
Sebenarnya, ikan coelacanth tak perlu beradaptasi pun. Cara hidup dia yang hanya memburu waktu malam dan tak guna banyak tenaga berenang menjadikan ikan ini tidak berubah rupa bentuk. Dengan kelebihan ini, ikan coelacanth dipilih secara alamiah, menjadi ikan yang masih hidup sampai sekarang!




No comments yet