Nampaknya dalam dunia hari ini, banyak perkara yang dianggap rahsia tapi bocor juga. Daripada rahsia resepi ayam KFC hinggalah identiti kekasih, ada saja cara perkara ini diketahui orang. Jadi, mengapa China memilih merahsiakan lokasi bangkai kapal berusia 800 tahun selama beberapa dekad?

Bangkai kapal yang dimaksudkan ialah bangkai kapal era Dinasti Song Selatan sekitar 1100. Bangkai kapal ini ditemui secara tidak sengaja oleh pasukan pencari dari Maritime Exploration pada tahun 1987. Syarikat yang berpangkalan di Britain itu diupah oleh sebuah syarikat China, Guangzhou Salvage untuk mencari sebuah kapal lama abad ke-18.

Mengikut keterangan klien mereka, kapal yang dicari dilaporkan karam antara perairan Hong Kong dengan Pulau Hailing di Guandong. Berpandukan maklumat yang diberi, Maritime Exploration menghantar sepasukan penyelam untuk meninjau lokasi bangkai kapal yang dicari.

Tetapi lain yang dicari, lain yang dijumpai. Mungkin itu ekspresi pasukan penyelam sebaik menemui kapal jong yang berukuran 100 kaki panjang berkenaan. Susulan itu, bangkai kapal era Dinasti Song Selatan itu dinamakan sebagai Nanhai No.1 berikutan ia merupakan kapal pertama yang ditemui di Laut China Selatan. Sementara Nanhai pula merupakan perkataan Cina untuk Laut China Selatan.

Ini mungkin kali terakhir anda dapat menikmati harga semua buku kami ini dengan harga promosi serendah ini! –
https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Pada 1125, Dinasti Song kehilangan pengaruh di utara China. Ini memaksa dinasti itu berundur ke sebelah selatan dan menubuhkan ibu kota mereka di Lin’an (kini Hangzhou). Musuh-musuh Dinasti Song Selatan menyangka kedudukan mereka akan menjadi lemah berikutan tidak mempunyai akses terhadap Laluan Sutera – laluan perdagangan utama yang menghubungkan kerajaan-kerajaan timur dan barat.

Tetapi dinasti itu mendapati kedudukan Lin’an amat strategik kerana ia memberi mereka akses kepada laluan perdagangan maritim merentasi Laut China Selatan. Lantas, Dinasti Song Selatan memberi fokus kepada aktiviti perdagangan maritim dan semua kerja yang berkait dengannya termasuk pembinaan kapal-kapal. Pengkaji arkeologi maritim percaya Nanhai No. 1 ini sepatutnya berlayar ke luar tetapi karam sebelum sempat meninggalkan Lin’an.

Dapatan pasukan penyelam mendapati terdapat banyak artifak di Nanhai No. 1 masih dalam keadaan baik. Antara artifak yang ditemui ialah barangan porselin, duit syiling era Dinasti Song dan jongkong-jongkong perak. Bagaimanapun, Maritime Exploration tidak dapat membawa keluar semua artifak atas kekangan kewangan dan teknologi yang wujud ketika itu.

Kolam khas yang menempatkan bangkai kapal Nanhai No. 1. Sumber: Zhangzhugang/CC BY-SA 4.0

Ini mengakibatkan Nanhai No. 1 terus bersemadi di dasar Laut China Selatan selama lebih 20 tahun. Sebaik menerima laporan bangkai kapal era Song wujud di lokasi yang dinyatakan, China memastikan lokasi Nanhai No. 1 dipantau oleh tentera laut mereka. Ini bagi mencegah sebarang cubaan mengeluarkan artifak-artifak daripada bangkai kapal berkenaan.

Jika nelayan tempatan tertanya-tanya dengan kehadiran tentera laut China di situ, mereka hanya diberitahu terdapat bom era Perang Dunia Kedua (WWII) yang berpotensi mengancam keselamatan mereka. ‘Bohong sunat’ Beijing membantu mereka menjaga Nanhai No.1 tanpa sebarang masalah selama lebih 20 tahun.

Menjelang 2002, pasukan pengkaji arkeologi telah menemui cara sesuai untuk menyelamatkan Nanhai No. 1. Caranya ialah dengan menurunkan sangkar besi khas seberat 3,000 tan ke lokasi bangkai kapal berkenaan. Bagi membantu mereka mengenalpasti lokasi Nanhai No. 1 dengan tepat, penderia-penderia dipasang di sepanjang lantai laut. Ini bertujuan memandu sangkar khas ini sampai ke bangkai kapal tanpa merosakkan artifak berharga yang ada di dalamnya.

Dari situ, blok-blok konkrit akan diletakkan di atas sangkar berkenaan bagi menolak bahagian bawahnya melepasi lanar (silt) dan meletakkan ia di bawah Nanhai No. 1. Kemudian, pasukan penyelam akan memasukkan alang-alang pada lubang-lubang bahagian bawah sangkar bagi menutup bahagian berkenaan. Setelah blok-blok konkrit dialihkan, barulah sangkar yang mengandungi Nanhai No.1 diangkat keluar secara perlahan-lahan.

Sumber: China Daily

Usaha ini direalisasikan pada Disember 2007 dengan Nanhai No.1 kemudiannya dipindahkan ke Muzium Laluan Sutera Maritim Guangdong di Pulau Hailing. Bagi mengelakkan bangkai kapal terjejas akibat pendedahan dengan unsur luar, Nanhai No. 1 diletakkan dalam kolam air khas dengan suhu air sama dari tempat ia diambil. Nampak remeh tetapi ia membantu pengkaji-pengkaji arkeologi meneruskan kajian terhadap Nanhai No. 1.

Sejak itu, terdapat banyak artifak yang dikeluarkan daripada bangkai kapal berkenaan. Ini termasuk 100 artifak yang diperbuat daripada emas dan duit syiling era Song. Tetapi yang paling banyak sudah pastinya 60,000 barangan seramik era dinasti sama.

Contoh ukiran pada barang seramik yang menunjukkan tempat ia dibuat. Sumber: Gedi Jakovickas / Field Museum

Kebanyakan barang seramik ini turut diukir dengan lokasi asal tempat ia dihasilkan. Kebanyakan barang seramik ini dihasilkan di Jianning Fu, Fujian, China. Bagaimanapun, ada berpandangan ia dinamakan semula sebagai Jianning Lu sebagai merujuk kepada peristiwa pencerobohan Mongol pada 1278. Tidaklah salah untuk mengatakan ini merupakan versi terawal Made in China (Buatan China).

Laluan laut yang menjadi talian hayat ekonomi Dinasti Song Selatan dikenali sebagai Laluan Sutera Maritim. Muncul pada masa sama Rom bangkit sebagai kuasa dominan di sebelah barat, ia menghubungkan Kepulauan Nusantara dengan India, Semenanjung Tanah Arab dan dunia Yunani-Rom di rantau Mediterranean.

Maharaja Xiaozong

Kebanyakan duit syiling Song mempunyai simbol yang dikaitkan dengan era Xiaozong, maharaja ke-11 Dinasti Song dan kedua Dinasti Song Selatan. Xiaozong memerintah dari 1162 hingga 1187 tetapi hanya mendapat kuasa penuh sebagai maharaja selepas ayahandanya Maharaja Gaozong mangkat pada 1187. Bagaimanapun, kemangkatan ayahandanya itu mengakibatkan Xiaozong tidak mampu memerintah secara berkesan.

Lantas, semua urusan kerajaan ketika itu diuruskan oleh putera mahkotanya, Zhao Dun. Menjelang 1189, Xiaozong turun takhta dan menabalkan puteranya sebagai maharaja Song baru dengan gelaran Guangzong. Baginda mengikut jejak langkah Gaozong sebagai Taishang Huang (maharaja yang telah bersara) dengan kuasa pemerintahan secara tidak langsung masih di tangan baginda. Xiaozong mangkat pada 1194 dengan Guangzong disingkirkan dan digantikan oleh puteranya, Zhao Kuo (Ningzong).

Jadi, mengapa China sanggup merahsiakan hal ini selama lebih 20 tahun sebelum Nanhai No. 1 dikeluarkan pada 2007? Ia berkait dengan prestij mereka sebagai sebuah negara. Semasa 1987, Perang Dingin semakin berada di penghujung dengan China perlahan-lahan bangkit sebagai kuasa ekonomi baru. Menjelang 2007, kedudukan China sebagai kuasa ekonomi dunia sudah tidak boleh dicabar.

Lantas, dengan mengeluarkan Nanhai No. 1 dari tempat persemadiannya di Laut China Selatan, ia menunjukkan tradisi perdagangan China sudah wujud sejak zaman-berzaman. Dengan inisiatif Belt and Road China sedang berjalan, Nanhai No. 1 bukan saja melambangkan kejayaan silam China sebagai negara pedagang. Malah, ia juga menonjolkan cita-citanya menerusi banyak projek yang diusahakan dengan negara-negara lain.

Kami juga ada karya-karya fiksyen khas untuk para peminat pelbagai genre. – https://shopee.com.my/thepatriotsasia

RUJUKAN

Nield, D. (2018, 18 Mei). A “Made in China” Label Solved The Mystery of an 800-Year-Old Shipwreck. ScienceAlert.

Zhong, K. (2022, 14 Jun). China kept this 800-year-old shipwreck a secret for decades. National Geographic.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply