Semua tahu tentang kisah Nabi Nuh a.s terutama kisah bahtera baginda bagi mengharungi banjir besar yang melanda dunia ketika itu.  Tetapi lokasi sebenar bahtera baginda mendarat menjadi perdebatan bukan saja dalam kalangan ahli teologi tetapi dalam komuniti arkeologi. Bagaimanapun, seorang pengkaji percaya lokasi sebenar bahtera itu mendarat sebenarnya di kawasan pergunungan Ararat.

Sebelum ini, ramai berspekulasi dengan mengatakan Bukit Judi di Dokubayezid atau Gunung Ararat, sebuah gunung yang terletak di sebelah timur Turki. Tetapi bagi penyelidik dan penulis Robert Bowie Johnson, beliau percaya lokasinya di kawasan pergunungan Ararat dengan merujuk satu ayat dalam Book of Genesis, “…di atas pergunungan Ararat.” (Genesis 8:4).

Secara logik, Bowie Johnson Jr mengingatkan sebagai nakhoda kapal, baginda tidak akan mendaratkan kapal di tempat yang curam, tinggi dan merbahaya. Lokasi sebegini bukan saja menyukarkan para penghuni bahtera (umat Nabi Nuh a.s) untuk turun dari kapal. Malah, ia juga menyukarkan mereka untuk menurunkan semua kargo termasuk haiwan dan bekalan asas diperlukan untuk membina semula kehidupan pasca-banjir besar.

Pandangan Bowie-Johnson ini menyokong pandangan rakan lamanya dan penulis buku  Noah’s Ark—The Evidence: The Bible, The Flood, Gilgamesh & The Mother Goddess Origins, mendiang David Allen Deal. Allen Deal turut mengemukakan teori lokasi sebenar bahtera Nabi Nuh a.s mendarat iaitu di sebuah gunung yang mempunyai ketinggian 2,440 meter dari paras laut. Gunung ini terletak 17 batu di selatan Gunung Ararat.

Dalam catatannya, Allen Deal memberitahu kapal mendarat pada ketinggian 2,255 meter dan mudah diakses oleh semua orang selepas banjir surut. Badan kapal digunakan sebagai bahan mentah asas untuk membina semula kota pasca-banjir iaitu Mesha-Naxuan. Papan dan alang kapal digunakan untuk membina bumbung dengan bitumen (tar) atau kapar digunakan bagi menjadikan bumbung tidak bocor bila hujan. Kayu bukan saja digunakan untuk membuat perabot. Ia juga digunakan untuk menghasilkan api untuk pelbagai tujuan daripada memanaskan badan hinggalah memasak.

Rajah 1: Ilustrasi bahtera dan petempatan Mesha-Naxuan, petempatan pertama manusia pasca-banjir besar. Sumber: David Allen Deal.

Selepas gempa bumi mengakibatkan bahtera turun ke bahagian bawah bukit, tapak pengambilan kayu bahtera dipindahkan sejauh sebatu daripada kawasan gunung dan pada ketinggian lebih 2,000 meter di atas paras laut. Peristiwa ini berlaku 100 tahun selepas bahtera Nabi Nuh a.s dikatakan mendarat di lokasi yang dinyatakan Allen Deal. Dua bekas tapak kapal kekal di kawasan gunung iaitu tempat ia mendarat dan tempat ia turun pada ketinggian yang lebih rendah.

Jadi, bagaimana nama Mesha-Naxuan timbul? Naxuan atau Nax-xuan berkemungkinan terjemahan Yunani untuk perkataan Ibrani noach tsywn yang bermaksud kota Nabi Nuh a.s. Nama Naxuan berkemungkinan diberi oleh generasi-generasi seterusnya kepada kota pertama pasca-banjir besar itu Sementara Mesha pula merupakan variasi perkataan Moshe yang bermaksud diselamatkan melalui air seperti mana kisah Nabi Musa a.s/Moses yang diselamatkan dari Sungai Nil.

Menariknya, nama Nabi Nuh a.s turut disebut dalam kisah epik Mesopotamia, Epic of Gilgamesh. Dalam kisah berkenaan, Gilgamesh (Nimrod/Herakles) dikatakan mengembara ke pergunungan Mashu untuk berjumpa dengan Utnapishtim (Nabi Nuh a.s). Dalam epik berkenaan, baginda digambarkan sebagai figura yang membawa manusia melepasi musibah banjir besar yang melanda dunia sebelum itu. Sementara Gilgamesh pula bermaksud orang yang mendedahkan Mesha.

Genesis 10: 21 mendedahkan putera Nabi Nuh a.s, Sam atau Shem merupakan nenek moyang kepada semua lelaki Bani Israel. Kumpulan ini dikatakan menghuni Sephar, sebuah kawasan gunung yang terletak di sebelah timur setelah datang dari Mesha. Orang Kurdis menamakan dua gunung berkenaan sebagai Masher Dag dan Mashur Dag yang bermaksud gunung kiamat dan gunung kebangkitan.

Lokasi kumpulan Sam yang bermastautin ini dikenali sebagai Shemitic atau Dilmun yang bermaksud tempat tinggal yang kering. Ini berkemungkinan merujuk kepada orang yang tinggal di tempat tinggi dan kering pasca-banjir besar yang melanda dunia. Mesha dan Dilmun juga merupakan bukti terselamatnya Nabi Nuh a.s dan umatnya daripada peristiwa berkenaan.

Dengan melihat semua bukti yang ada termasuk cerita penduduk tempatan berkenaan lokasi didakwa bahtera Nabi Nuh a.s mendarat, agak sukar untuk Bowie Johnson Jr membayangkan bahtera mendarat di lokasi lain termasuk Gunung Ararat.

Satu lagi bukti untuk menyokong teori ini ialah kisah asal-usul isteri Ham bin Nuh, Naamah. Book of Genesis merujuk Naamah sebagai puteri keturunan Qabil/Cain yang kemudiannya mendorong manusia untuk meninggalkan ajaran tauhid dan kembali menyembah berhala dewa-dewi. Seperti penghuni bahtera lain, Naamah turun daripada bahtera di lokasi sama dipercayai oleh Allen Deal dan Bowie Johnson Jr.

Berdasarkan kajian Anne Baring dan Jules Cashford dalam buku mereka The Myth of the Goddess, kebanyakan dewi yang menjadi sembahan di Timur Tengah dan Mediterranean kembali kepada seorang figura: Nammu. Nammu merupakan variasi Bahasa Sumeria untuk Naamah. Ini bermakna dewi-dewi seperti Isis (Mesir Purba), Artemis dan Athena (Yunani) diinspirasikan daripada orang yang sama.

Rajah 2: Kisah dewi-dewi seperti Athena diinspirasikan daripada isteri Ham bin Nuh, Naamah.

RUJUKAN

Bowie Johnson Jr, R. (2021, 9 September). Evidence that Noah’s Ark Landed on a Mountain 17 Miles South of Ararat. Ancient-Origins.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply