Pada awal abad ke-20 di China, muncul seorang lelaki yang berpengaruh dan berkedudukan penting. Dia telah mencapai tahap tertinggi dalam bidangnya, meraih banyak penyokong setia untuk kepentingan peribadi, dan tak kurang juga beberapa musuh.

Semua ini mencantumkan laluan perjalanannya untuk mengungguli satu gelaran bersejarah yang paling tinggi dalam ketamadunan China. — Maharaja China.

Namun, bak kata pengasas Dinasti Han, Liu Bang: “seorang maharaja tidak pernah dilahirkan, melainkan diangkat rakyatnya” . Lelaki ini terlebih dahulu perlu melepasi beberapa fasa berbeza sebelum menjadi maharaja.

Selepas Dinasti Qing dibubarkan, sebuah kerajaan sementara ditubuhkan mewakili politik Republik China, semua ini adalah hasil usaha peneraju revolusi 1911, Sun Yat-sen.

Namun, tanpa diduga, lelaki ini mahu menjadi presiden. Dia berjaya mendapatkan kepercayaan Sun Yat-sen yang merupakan calon presiden yang dijangkakan semua pihak. Dengan meraih kepercayaan dari Sun, lelaki itu pun mendapat jawatan tertinggi.

Tetapi apa yang disangkakan nikmat, rupanya menjadi beban. Lelaki ini gagal untuk bekerja dengan baik dalam sebuah institusi yang memang direka khas untuk mengehadkan kuasa eksekutif, dan pemerintahan autoritarian yang telah mengekalkannya jawatannya sebelum itu tidak sesuai dengan sistem demokrasi.

Popularitinya merosot. Pesaing-pesaingnya yang berpotensi mula bersedia untuk mengambil alih kedudukannya. Kecewa dengan keterbatasan kuasanya, dia menggagalkan proses demokrasi dan meletakkan kepentingan peribadi dan nasibnya sendiri mendahului kepentingan negaranya.

Yuan Shikai

Ya, lelaki yang dimaksudkan ini adalah Yuan Shìkai, salah seorang tokoh yang terpenting dalam dekad terakhir dinasti Qing dan tahun-tahun awal Republik China. Yuan berkhidmat sebagai presiden pertama China, tetapi kerjayanya berakhir dengan penuh aib.

Kita akan melihat kembali hari-hari selepas 11 Disember 1915, apabila badan perundangan China melaporkan kepada Yuan bahawa dia telah dipilih secara sebulat suara, tak lebih dan tak kurang untuk diberi mandat sebagai Maharaja, membatalkan revolusi Republik 1911 dan mengembalikan monarki China.

Ada banyak hal perlu digali, tetapi kita hanya tumpukan pada babak terakhir di mana, ia menyebabkan setiap buku sejarah sama ada semasa China diperintah oleh Kuomintang mahupun Komunis, kedua-duanya mencerca Yuan sebagai pengkhianat revolusi dan bertanggungjawab melemahkan China dan menjadi punca perpecahan selama beberapa dekad.

Tak susah pun nak faham mengapa sejarah China mengantagoniskan Yuan Shikai tanpa kompromi. Sun Yat-sen adalah watak utama semasa Revolusi 1911. Berkerjaya sebagai doktor dan dibesarkan di Hawaii, Sun mengunjurkan kosmopolitan internasionalosme yang dicari-cari para pendokong republikan.

Tentera China berbaris di hadapan Yuan Shikai.

Yuan, sebaliknya, adalah seorang panglima tentera yang telah memupuk kesetiaan peribadi dalam mendaki hirearki melalui pelbagai pangkat.

Upacara korban sempena pertabalan.

Al-kisahnya bermula dengan prinsip dan wawasan Sun Yat-sen yang mencetuskan semangat revolusi tahun 1911, tetapi, tanpa senjata dan tentera di bawah perintah Yuan Shikai, Republik China tak mungkin akan pernah wujud. Dikatakan kerana sebab inilah Yuan Shikai boleh menjadi presiden Republik China.

Imej Yuan sebagai perampas kuasa ini akhirnya menenggelamkan pelbagai peranan-peranan penting yang pernah disumbangkannya, antaranya semasa Perαng Sino-Jepun 1894, Reformasi Wuxu 1898, Pemberontakan Boxer, Dasar-dasar Baharu Qing, dan banyak lagi.

Imej Yuan yang simplistik ini mengaburkan sumbangan-sumbangannya yang positif seperti pembangunan ekonomi dan reformasi pendidikan.

Ketika menjadi presiden, Yuan adalah seorang tokoh yang popular hingga dibandingkan dengan George Washington kerana peranannya dalam menerajui Republik China.

Bagaimanapun, dia tak melihat pluralisme politik. Sejak dia menduduki jawatan presiden, dia bekerja untuk memusatkan kuasa, bercanggahan dengan dasar bekas sekutu revolusinya dari Parti Nasionalis China (Kuomintang) yang mengangkat demokrasi sebagai salah satu prinsip utama China.

Yuan Shikai bersama para pegawai dan diplomat asing.

Para pemimpin Kuomintang termasuk Sun Yat-sen, mengutuk amalan autokratik yang dipraktikkan Yuan, sebagaimana semasa mereka menentang Dinasti Qing.

Semasa salah seorang pengasas Kuomintang, Song Jiaoren, mula memenangi sokongan popular dan mencabar Yuan sebagai Perdana Menteri, Yuan telah membuηuh Song lalu mendorong sayap bersenjata Kuomintang melancarkan Revolusi Kedua pada tahun 1913.

Yuan menundukkan gerakan itu, mengharamkan parti Kuomintang hingga ramai ahli-ahli parti melarikan diri  dan hidup dalam buangan baik di dalam atau luar negara. Apabila situasi mula tenang, Yuan Shikai membubarkan parlimen pada Januari 1914.

Dalam pemikirannya, ancaman terbesar yang dihadapi China ialah ketidakstabilan negara, dan atas sebab itu dia tak teragak-agak menyegerakan penguatkuasaan langkah-langkah pemusatan kuasa.

Sun Yat-sen

Berdasarkan tindakan autokratik berterusan Yuan, kita boleh katakan sebenarnya Yuan sudah membentuk monarki mutlaknya jauh sebelum dia mengisytiharkan dirinya sebagai maharaja.

Walaupun sudah jelas, tapi Yuan masih mengekalkan sokongannya terhadap republikan dan menafikan sebarang khabar angin tentang hasrat dia yang mahu mewujudkan semula negara monarki China, penafian ini berterusan walaupun ketika dia sedang menghapuskan pesaing-pesaingnya.

Tekanan untuk mengembalikan sistem monarki datang daripada sumber lain, antaranya dari Yang Du, bekas pegawai Qing yang menerbitkan seruan Raja Berperlembagaan, dan Profesor Columbia, Frank Goodnow, yang menasihati Yuan dan mengkritik perubahan mendadak negara China dari monarki ke demokratik melalui risalah “On Republicanism and Monarchy,”

Menjelang tahun 1915, ramai anggota-anggota kabinet Yuan teruja untuk mengembalikan monarki.  Dalam taktik politik yang hari ini dikenali sebagai “astroturfing”, pegawai seperti menteri kewangan, Liang Shiyi membiayai dan menganjurkan kumpulan yang mendakwa mereka mewakili golongan tertentu, seperti penarik beca, kaum wanita, ilmuan Confucianisme, dan “pengemis” yang mahu Yuan menjadi maharaja.

Hingga kini masih tak ada kepastian, sama ada Yuan sebenarnya didesak oleh para penasihat yang berpengaruh atau tekanan melalui demonstrasi jalanan popular, atau adakah selama ini dia memang mahu menjadi maharaja, tetapi menjelang musim luruh, dia mula membiasakan diri memakai jubah diraja.

Bendera Empayar China.

Daripada sekadar mengungguli kuasa, Yuan Shikai mencipta mekanisme kuasi-demokratik yang rumit untuk mencapai matlamatnya. Setelah membubarkan parlimen, Yuan memutuskan “Himpunan Perwakilan Negara” akan mengumpul satu undi dari setiap daerah di China, yang akan menentukan jawapan mengenai persoalan memulihkan monarki.

“Pilihan raya” ini dikawal dengan teliti: para perwakilan telah ditapis untuk memastikan mereka menyokong cadangan itu, dan kos perjalanan ke ibu kota wilayah mereka ditanggung kerajaan sepenuhnya.

Proses bermula pada bulan Oktober, dan pada 11 Disember 1915, keputusan pilihan raya diumumkan. p Daripada 1,993 undian, tidak lebih dan tidak kurang, kesemua mereka mengundi Yuan untuk menjadi maharaja China.

Dengan bermain ‘wayang’, sokongan sebulat suara yang telah direkayasa ini dipersembahkan kepada Yuan, lalu mengukuhkan lagi strateginya yang menjadikan autokratik kelihatan demokratik, di mana dia pada mulanya menolak pelawaan itu.

Persiapan majlis pertabalan.

Hanya selepas jemputan kedua yang menyebut penghargaan dan pujian kepada Yuan di atas setiap pencapaiannya sambil menegaskan bahawa dirinya tiada galang ganti, barulah dia bersetuju.

Pada 13 Disember, dia menerima pelawaan menjadi maharaja secara terbuka. Pada 1 Januari 1916, era baharu dinamakan sebagai era Hongxian, pemerintahan baru yang dinamakan sebagai Empayar China Agung pun bermula.

Setahun sebelum Yuan Shikai membuat perisytiharannya, Empayar Jepun telah mengisytiharkan perαng terhadap Jerman pada bulan Ogos 1914 lalu mereka merebut pangkalan tentera laut luar negeri Jerman yang penting di Tsingtao, semenanjung Shantung China melalui serangan amfibia.

Pada Januari 1915, menteri luar Jepun yang pro-imperialis, Kato Takaaki, mengirimkan kepada China 21 Tuntutan, ia meliputi perluasan kuasa Jepun secara langsung ke atas wilayah-wilayah di Shantung, Manchuria selatan, dan Mongolia Dalam timur dan pengambilalihan beberapa wilayah, termasuklah pulau-pulau di Pasifik Selatan yang dikuasai oleh Jerman.

Sekiranya tuntutan-tuntutan ini diterima China sepenuhnya, ia pada dasarnya akan menjadikan China sebagai sebuah negara protektorat Empayar Jepun. Bahkan Yuan Shikai yang berpengaruh itu pun akhirnya terpaksa menerima setiap tuntutan yang radikal itu.

Walau bagaimanapun, Yuan Shikai ini licik, dia memanfaatkan sentimen kemarahan rakyat China terhadap apa yang berlaku di antara China-Jepun ini untuk membenarkan tindakannya yang mahu mengembalikan sistem pemerintahan monarki mutlak dan mengisytiharkan dirinya sebagai maharaja.

Yuan memerintah dengan kuasa dan pengaruhnya semasa dalam tentera, ini menyebabkan dia mendapat sokongan dari wilayah-wilayah yang ditadbir secara ketenteraan di seluruh negara sebelum ditentang.

Pegawai-pegawai kerajaan.

Tak dinafikan, sumbangan Yuan Shikai dalam kerjaya politiknya tak boleh dipertikaikan, tetapi dalam kes ini, terdapat kata sepakat: memulihkan kembali sistem monarki adalah satu malapetaka. Dah tentu kaum republikan, revolusioner dan intelektual menolak perubahan itu.

Sun Yat-sen menyeru penentangan terhadap kebangkitan semula imperialis China itu, dan mengerahkan pasukan tentera yang menduduki beberapa kota di Shandong. Pihak lain yang turut menentang permainan politik ini menggerakkan tentera wilayah untuk menentang kerajaan pusat.

Malah di saat ini, kebanyakan pegawai yang setia dan bergantung sepenuhnya kepada kuasa Yuan mula merasakan Yuan sudah mengambil langkah yang bodoh.

Yuan Shikai atau Maharaja Hongxian

Mereka yang sebelum ini bertoleransi dengan pemusatan kuasa Yuan dan pembubaran institusi negara mula beranggapan bahawa langkah mengembalikan sistem monarki adalah tindakan yang tidak mengambil kira akan kesan dan akibatnya.

Kebangkitan drastik penentangan terhadapnya menyebabkan Yuan terpaksa melepaskan impian monarki walaupun sebelum dia ditabalkan (upacara yang telah dirancang telah ditangguhkan dan kemudian dibatalkan).

Selepas 83 hari, ‘Maharaja Hongxian’ turun dari takhta pemerintahan Empayar China pada 23 Mac 1916, tetapi meneruskan semula peranannya sebagai presiden, satu langkah yang tak membantu langsung, bahkan semakin menaikkan kemarahan penentangnya.

Berpuluh wilayah-wilayah selatan mengisytiharkan kemerdekaan, dan mereka bukan satu-satunya pihak yang akan melancarkan pemberontakan terbuka atau menuntut Yuan meletak jawatan.

Tapi Yuan Shikai tak pernah berhenti. Apabila autoriti kuasa kerajaan pusat runtuh dan pemberontakan kian merebak, Yuan Shikai meninggal dunia pada 6 Jun 1916, pada usia 56 tahun.

Tindakan terakhirnya adalah melantik Lí Yuanhong sebagai penggantinya, ia merupakan satu cubaan terakhir untuk menstabilkan kerajaan, tetapi sudah terlambat.

Upacara pengebumian Yuan.

Keranda Yuan yang diselimuti dengan jubah maharaja yang tidak pernah sempat disarungkan secara rasmi telah merumuskan gambaran kesan yang akan dia tinggalkan terhadap negara China.

Walaupun wilayah yang memberontak bersumpah setia kepada Li Yuanhong, institusi kerajaan pusat telah musnah dan tidak mampu diperbaiki semudah itu. Era ‘warlord’ bermula lagi di China, ia akan kekal selama satu dekad sebelum China akhirnya memiliki kerajaan pusat yang kukuh.

Sejarah mungkin nampak sebegitu mudahnya menyalahkan rampasan kuasa Yuan Shikai di atas kegagalan republik pertama itu. Banyak kontingensi dan tindakan lain memainkan peranan.

Namun kebenaran tak boleh ditipu, dalam kaedah yang bergema, apabila pemimpin politik melemahkan institusi yang mereka sendiri berdiri di atasnya, kesannya sentiasa berpanjangan – dan sering kali berulang.

China mungkin tak pernah sesuai dengan demokrasi. Kuasa sentiasa bertukar tangan, revolusi demi revolusi dilancarkan, tetapi ia tak pernah menghapuskan konsep pemerintahan autokratik, dan mereka tak pernah mengamalkan demokrasi.

Dalam kes ‘Empayar China’ ini, ia hampir serupa seperti sejarah Dinasti Xin yang diasaskan Wang Mang atau Dinasti Zhongshi yang diasaskan oleh Yuan Shu, di mana, kedua-dua dinasti ini ditubuhkan pada dua era berbeza tetapi di dalam satu empayar yang sama iaitu Dinasti Han.

Dan apa yang menjadikan dua dinasti ini sama seperti empayar yang ditubuhkan Yuan? Pertama, ketiga-tiganya adalah dinasti yang diasaskan tanpa perancangan strategik dan tergesa-gesa. Kedua, dinasti-dinasti ini wujud tanpa pewaris, bermakna, maharaja pertama yang mengasaskannya juga adalah maharaja terakhir yang memerintah.

Dinasti Xin

Dinasti Xin ditubuhkan ketika Dinasti Han Barat sedang berada dalam kemelut korupsi di kalangan para pegawainya. Wang Mang muncul selaku penyelamat golongan petani dan orang miskin, hingga dia dianggap sebagai pemerintah pertama di dunia yang menubuhkan sebuah kerajaan yang menjalankan dasar-dasar sosialisme.

Namun, sebenarnya kalau diikutkan, Maharaja Wudi Han sebelum itu juga pernah menerapkan dasar-dasar harta bersama dan pembahagian tanah.

Dinasti Zhongshi pula diasaskan oleh Yuan Shu semasa China di bawah Dinasti Han Timur sedang berada di tengah-tengah salah satu konflik paling berdarah dalam sejarah manusia, iaitu Perαng Tiga Kerajaan.

Yuan Shu mengisytiharkan kedaulatannya secara tergesa-gesa selepas dia menemui dan memperoleh cap mohor maharaja Han (ketika itu penemuan sebegitu rupa dianggap sebagai mandat dari syurga).

Walau bagaimanapun dia tak pernah sempat menyusun struktur pemerintahannya kerana pengisytiharan kedaulatannya berlaku semasa dia sedang dikepung oleh tentera kerajaan. Jadi, boleh dikatakan Dinasti Zhongshi mungkin hanya sempat diisytiharkan saja sebelum Yuan Shu terbunηh.

 

Dinasti Zhongshi ditandakan dengan warna.

Secara teknikalnya, Aisin-Gioro Puyi atau dikenali sebagai Maharaja Xuantong yang menjadi maharaja Dinasti Qing yang terakhir itu bukanlah maharaja imperialis China yang terakhir dan Dinasti Qing pula sepatutnya bukanlah empayar monarki China yang terakhir.

Walaupun Puyi kemudian akan bangkit kembali sebagai maharaja di Manchuria (Manchukou), namun statusnya hanyalah sekadar maharaja boneka Imperialis Jepun, dan dia tidak memerintah China yang bersatu, kerana Puyi hanyalah berperanan sebagai Maharaja Manchukou di Manchuria sahaja.

Apa yang menarik tentang Yuan Shikai adalah pengaruh kuasanya. Walaupun hanya menjadi maharaja dalam masa yang singkat, Yuan secara tidak langsung boleh dianggap sebagai maharaja China yang terakhir, kerana ketika itu dia sempat memerintah hampir keseluruhan wilayah-wilayah China yang bersatu, di bawah Empayar China.

Ini menjadikan Empayar China sama seperti Dinasti Xin tetapi berbeza dengan Dinasti Zhongshi kerana Zhongshi tidak memerintah tanah besar China yang bersatu.

Jadi benarlah, sebenarnya sejak tiga ribu tahun yang lalu hingga ke hari ini, China sentiasa diperintah oleh kuasa imperialisme. Yang membezakan hanyalah antara monarki dengan republik sahaja, tetapi sama ada mereka adalah sebuah dinasti, sebuah negara nasionalis, mahu pun sebuah negara komunis, China sentiasa akan diperintah secara kuasa mutlak dan imperialisme.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Leave A Reply