Konflik Russia – Ukraine kembali hangat dan mendapat liputan pelbagai media antarabangsa. Perang saudara di Ukraine, pendudukan Russia di Crimea sejak 2014, permohonan Ukraine untuk menyertai pembesaran NATO, potensi kehilangan zon penampan dan pangkalan Tentera Laut Russia (ibu pejabat Armada Laut Hitam TLR ).

Geopolitik Eropah Timur ini tidak pernah sunyi sejak kejatuhan Soviet Union 1991. Situasi ini mewujudkan “power vacuum” dan pelbagai pertembungan dari segi ketenteraan, diplomatik dan tuntutan wilayah antara negara-negara bekas Kesatuan Soviet.

Dengan memahami garis masa sejarah dan geografi setiap lokasi panas ini mampu memberi kita satu kefahaman bermula dari era Empayar Tsarist Russia, Soviet Russia (1918-1922), Kesatuan Soviet (1922-1991), Persekutuan Russia (1991- kini).

Beli buku terbaru Patriots di Shopee berkenaan perjuangan Komando 69 Melawan Komunis: http://bit.ly/PertempuranDiHutanShopee

Kekalahan Jerman dan Kuasa Paksi serta Pasca-Perang Dunia Kedua (WWII)

Selepas Jerman menyerah kalah pada Mei 1945, kebanyakan kawasan yang diduduki Jerman sebelum ini di Eropah Timur ditawan oleh pihak Soviet ketika 1944-1945. Negara-negara seperti Poland, Ukraine, Belarus, Estonia, Romania dan Lithuania menerima pendudukan tentera Soviet. Dari segi pembinaan semula pasca-WWII, negara-negara ini menerima pengaruh terus dari Soviet terutama dari segi pentadbiran awam yang menyokong ideologi mereka iaitu Sosialis dan Komunisme.

Soviet mempunyai pengalaman pahit akibat pencerobohan kuasa asing. Dalam tempoh kurang seabad, Rusia pernah diserang angkatan perang Napoleon Bonaparte pada 1812 dengan sebahagian besar kota Moscow dibakar. Ini disusuli serangan tentera Jerman atas titah Kaiser Wilhelm II pada 1914 – tahun sama Perang Dunia Pertama tercetus.

Tetapi itu tidak boleh mengatasi impak Operasi Barbarossa yang dilancarkan pada musim panas 1941. Bagi rejim Nazi Jerman, Rusia digelar Lebensraum atau ruang kehidupan. Ini kerana dengan wilayahnya yang luas, ia dapat membekalkan pelbagai sumber daripada makanan hinggalah bahan mentah yang amat diperlukan untuk jentera peperangan mereka.

Operasi Barbarossa menyaksikan angkatan Wehrmacht mereka berjaya mara sejauh Moscow. Bagaimanapun, pada Disember 1941, angkatan perang Soviet yang diketuai Jeneral Georgy Zhukov berjaya memaksa mereka berundur sejauh 200 km dari Moscow. Peristiwa ini juga menyebabkan pelbagai industri terpaksa dipindahkan ke tempat terpencil termasuk Pergunungan Ural bagi membolehkan jentera perang Soviet terus berfungsi.

Melihat kepada tiga peristiwa ini, Soviet melihat pentingnya mempunyai zon penampan bagi mengekang sebarang ancaman luar terutama dari Eropah Barat. Ini bagi mengelakkan kemusnahan terus pada tanah air, populasi mereka dan memberi masa untuk mereka bertindak balas. Ukraine juga termasuk dalam rencana ini dan merupakan sebahagian daripada hemegoni mereka.

Pakatan Warsaw vs NATO

Kekalahan Nazi Jerman pada akhir WWII telah menjadikan Amerika Syarikat (AS) dan Soviet sebagai dua kuasa besar dunia era moden. AS di mana tanah air mereka tidak terjejas akibat peperangan kerana dipisahkan lautan Atlantik dan Pasifik, telah menjadi kuasa industri yang besar dan memimpin ideologi demokrasi, kapitalis dan pasaran bebas.

British (UK) dan Perancis pula yang sebelum ini merupakan kuasa Eropah pra-WWII sudah tidak lagi  mampu menyaingi AS dan Soviet. Ini kerana kedua-duanya bergelut dengan pembangunan semula dan pemberontakan kelompok nasionalis di koloni jajahan masing-masing.

Kesatuan Soviet pula dilihat sebagai kuasa besar yang memimpin ideologi Sosialis dan Komunisme. Dengan keluasan wilayahnya yang besar, populasi yang ramai dan saiz kekuasaan tentera yang besar, ini membolehkannya menyerap negara-negara Eropah Timur di bawah pengaruhnya.

Bagi AS dan negara-negara Eropah Barat, Soviet merupakan ancaman baru yang patut diberi perhatian. Ini kerana mereka agresif menyebarkan pengaruh mereka dan ini berpotensi membawa kepada tindakan ketenteraan.

Memandangkan Eropah dalam proses pembangunan semula dan dilihat lemah berhadapan Soviet, insiatif untuk menjamin keselamatan negara Eropah dimulakan seawal 1947 melalui  Perjanjian Dunkirk (Treaty Of Dunkirk). Menerusi perjanjian ini, UK dan Perancis berjanji akan saling membantu menghadapi serangan Jerman atau Soviet pasca-WWII. Dari situ, ia dikembangkan menjadi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (North Atlantic Treaty Organization(NATO) pada 1949.

NATO pada dasarnya ialah pakatan ketenteraan antara negara-negara Eropah dan AS. Objektif mereka ialah semua negara anggota akan saling membantu sekiranya diserang Kesatuan Soviet. Penubuhan NATO menjadi titik tolak bermulanya Perang Dingin (Cold War) selama 50 tahun sebelum disusuli dengan perlumbaan senjata nuklear di peringkat global.

Penubuhan NATO bagaimanapun menimbulkan keresahan dalam kalangan negara-negara Eropah Timur dan Kesatuan Soviet. Lantas, tindak balas mereka ialah menubuhkan pakatan ketenteraan sesama mereka yang dikenali sebagai Pakatan Warsaw (Warsaw Pact).

Pakatan ini diketuai oleh pihak Soviet dan dianggotai oleh negara-negara seperti Poland, Belarus, Ukraine,Jerman Timur, Czechoslovakia, Hungary dan Romania. Jika dilihat dari peta, ianya jelas dilihat sebagai langkah strategik mengelakkan Eropah Tengah dan Eropah Timur digunakan musuh Soviet selain dipacu kebersamaan ideologi sosialis antara satu sama lain.

Menariknya, negara pertama yang mengusulkan penubuhan Pakatan Warsaw ini ialah Czechoslovakia. Mereka berpandangan sekiranya Jerman bangkit kembali termasuk membangunkan semula kekuatan ketenteraan mereka, maka Jerman boleh saja menakluk kembali negara itu. Pakatan ini dimeterai pada 1955 di Warsaw, Poland.

Jerman Timur, medan pertama di sebalik Tembok Berlin dan Eropah Barat, telah dibangunkan dari segi ketenteraan oleh pihak Soviet. Ia juga mempunyai aset-aset ketenteraan moden dalam kalangan negara-negara anggota dan berperanan sebagai penampan pertama sekiranya berlaku serangan dari pihak NATO. Sementara Ukraine pula berperanan sebagai enjin pertumbuhan ekonomi, pusat teknologi dan pembangunan aset ketenteraan strategik Kesatuan Soviet.

Ukraine Era Kesatuan Soviet

Ukraine mempunyai sejarah yang panjang dari segi pendudukan pelbagai kuasa asing. Dalam sejarah modennya, ia pernah diduduki oleh rejim Nazi Jerman dan menjadi salah satu objektif utama Operasi Barbarossa. Selepas tamat WWII, ia diserap kembali Kesatuan Soviet dan menjadi salah satu republik sosialisnya.

Semasa era Soviet, Ukraine dijadikan sebagai pusat pembangunan pelbagai industri ketenteraan dan strategik. Semasa Perang Dingin, ia dianggap sebagai antara kuasa perindustrian utama Eropah. Malah, loji tenaga nuklear Chernobyl yang terkenal akibat bencana loji berkenaan pada 1986 juga terletak di Ukraine.

Hampir 30% penghasilan jentera perang Soviet dihasilkan kilang-kilang di Ukraine dengan 40% aktiviti kajian saintifik Soviet turut dilakukan di situ. Ini termasuk pembangunan Peluru Berpandu Balistik Antara Benua (ICBM) dihasilkan di kilang Yuzhmash di Dnipro.

Antara industri ketenteraan yang wujud di Ukraine ialah kilang kereta kebal di Kharkiv (kereta kebal siri T-80 dan T-84 dengan jenis kereta kebal ini pernah ditawarkan kepada Malaysia oleh Ukraine) dan Antonov (penghasilan pesawat pengangkut taktikal dan strategik Antonov). Ini tidak termasuk indusri senjata ringan, bom, artileri, pesawat dan industri kapal perang.

Dari segi kereta kebal, Ukraine mempunyai 2,000 aset kereta kebal terdiri daripada 350 kereta kebal T-80, 1,000 kereta kebal T-72 dan 700 kereta kebal T-64.

Bagaimanapun, apabila Tirai Besi jatuh pada 1991 dan hilangnya ancaman perang di Eropah, kewujudan beribu-ribu aset kereta perisai terutama kereta kebal merupakan satu beban dari segi operasi, bajet dan sumber manusia.

Tambahan pula, wujud satu dimensi baru peperangan di mana satelit, internet dan kuasa udara termasuk pengeboman strategik menjadi fokus utama. Menerusi doktrin ketenteraan baru ini, ia mengakibatkan pergerakan kumpulan kereta perisai seperti disaksikan di Kursk sudah tidak lagi relevan.

Kemajuan dan kepentingan strategiknya juga dapat dilihat menerusi pemilikan 1,700 senjata nuklear pelbagai jenis tinggalan Soviet pada 1991. Satu pertiga daripada senjata nuklear Soviet masih ada di Ukraine pada ketika itu. Antara aset nuklear Soviet yang ada ialah 130 buah UR-100N ICBM, 46 buah RT-23 Molodets ICBM dan 33 Pesawat Pengebom Berat (Heavy Bombers – Nuclear Capable).

Ukraine kemudiannya memeterai Protokol Lisbon dan mematuhi Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT). Dengan mematuhi NPT, negara itu memindahkan kesemua senjata nuklearnya ke Russia untuk proses pelupusan. Pemindahan semua komponen ini termasuklah kepala peledak, peluru berpandu jarak dekat dan peluru berpandu udara dan ICBM selesai pada 2001.

Malah, Ukraine sendiri mempunyai dan menguruskan 15 loji nuklear legasi Soviet untuk memenuhi 50% bekalan tenaganya. Selama ini, Ukraine memperoleh bekalan bahan bakar nuklear dari Russia. Tetapi semua itu berubah dengan mereka mendapatkan bekalan dari Westinghouse, US atas sebab pergeseran geopolitik. Negara itu turut melahirkan ramai pemimpin kanan Soviet, saintis dan ahli sukan yang menyumbang pada kemajuan Soviet selama berdekad lamanya.

Rusia Pasca-Kesatuan Soviet

Kesatuan Soviet mula goyah dan dibelenggu pelbagai masalah domestik sejak melancarkan operasi ketenteraan di Afghanistan pada tahun 80-an. Dengan perbelanjaan yang tinggi dan tekanan antarabangsa, masalah ekonomi dalaman dan sosial mula mengundang masalah kepada pihak Soviet.

Pemimpin Soviet terakhir, Mikhail Gorbachev berusaha menggerakkan reformasi ekonomi dan sosial yang drastik iaitu “Glasnost” dan “Perestoroika”. Keputusan beliau membenarkan kewujudan pelbagai parti, mengadakan institusi presiden Kesatuan Soviet dan membawa demokrasi secara perlahan-lahan mengakibatkan ketidakstabilan pada kawalan komunis dan kejatuhan Kesatuan Soviet pada 1991.

Presiden Russia yang pertama, Boris Yeltsin menerajui Persekutuan Russia terpaksa mendepani pelbagai masalah tinggalan pasca-Soviet termasuk reformasi ekonomi, kewujudan oligarki dan keruntuhan perkhidmatan sosial. Rusia juga berdepan pemberontakan di wilayah-wilayah seperti Chechnya dan Caucasus. Era ketidakstabilan ini berterusan sehinggalah Vladimir Putin meneraju Russia.

Walau bagaimanapun, Russia masih dilihat sebagai mini Soviet dan merupakan kuasa besar nuklear serta ketenteraan dunia. Ia masih berpengaruh dan mempunyai hemegoninya yang tersendiri. Ini membawa kepada penubuhan Commonwealth Of Independent States/Komanwel Negara-Negara Bebas (CIS) oleh Rusia usai sahaja pembubaran Kesatuan Soviet. Objektif CIS menjurus kepada kerjasama ekonomi, perdagangan, ketenteraan, politik dan kerjasama pencegahan jenayah rentas sempadan.

Ia dianggotai oleh sembilan negara ahli. Dalam CIS, Ukraine merupakan negara peserta tetapi bukan berstatus negara ahli. Negara itu keluar dari CIS pada 2018 akibat ketegangan berterusan dengan Rusia terutama di Donbass dan Crimea pada 2014.

Crimea Semenanjung Berdarah

Crimea, merupakan kawasan tanah semenanjung di selatan Ukraine dan salah satu lokasi penting akses Laut Hitam. Crimea juga menjadi saksi perang Crimea antara UK, Perancis dan Turki Uthmaniah pada 1853 bagi mengekang kebangkitan Empayar Tsar Russia ketika itu. Kempen tersebut membantu memanjangkan hayat Turki Uthmaniyyah untuk tempoh 70 tahun lagi.

Semasa WWII, Sevastopol di Crimea ketika itu berperanan sebagai pangkalan tentera laut Soviet dan berperanan sebagai ibu pejabat Armada Laut Hitam Soviet. Serangan besar-besaran rejim Nazi Jerman semasa Operasi Barbarossa ke atas bandar berkenaan memaksa pihak Soviet berundur. Sevastopol kemudiannya diserap sebaga jajahan takluk Nazi Jerman sehingga diserahkan kembali kepada mereka selepas tamat WWII.

Sepanjang era Soviet, Sevastopol merupakan lokasi strategik Tentera Laut Soviet dan memangkin pembangunan pelbagai indusri maritim bagi menyokong operasinya. Malah, populasi etnik Rusia meningkat dan signifikan di Crimea. Tetapi semua itu berubah apabila Nikita Khrushchev menyerahkan Crimea kepada Ukraine pada 1954. Dengan penyerahan tersebut, ia merupakan permulaan pergolakan wilayah kita saksikan pada era moden ini.

Referendum kemudiannya dijalankan di Crimea pada 2014 bagi menyokong wilayah itu dimasukkan sebagai sebahagian daripada Rusia. Hal ini membawa kepada pelbagai justifikasi antarabangsa dengan tentera Rusia masih berada di situ atas arahan Vladimir Putin. Segala urusan domestik dan antarabangsa Crimea kini dikawal sepenuhnya oleh Kremlin dengan bendera negara itu dikibarkan di setiap mercu tanda wilayah berkenaan.

Beli buku terbaru Patriots di Shopee berkenaan perjuangan Komando 69 Melawan Komunis: http://bit.ly/PertempuranDiHutanShopee

Krisis 2022 dan Jangkaan

Ketegangan sempadan antara Ukraine dan Rusia ini tercetus akibat perubahan geopolitik sejak Perang Dingin lagi. Rusia ingin mengekalkan zon penampan untuk mengelak sebarang serangan dilancarkan dari barat. Sekiranya Ukraine bergelar ahli NATO, aset-aset pertubuhan itu boleh ditempatkan di sempadan Rusia. Ini boleh mengakibatkan mimpi ngeri WWII mereka kembali berulang.

NATO pula terus mengembangkan pakatannya termasuk membenarkan kemasukan negara-negara bekas Kesatuan Soviet. Ini mengundang rasa kurang senang Rusia kerana secara tidak langsugn mencabar pengaruhnya sebagai kuasa besar.

Poland, Georgia dan negara-negara Baltik yang mesra NATO melihat ini peluang untuk memodenkan peralatan dan jentera ketenteraan mereka. Ini termasuk memperbaharui doktrin operasi sekaligus meninggalkan semua legasi ketenteraan silam Soviet di belakang.

Bagaimanapun, tidak semua negara NATO senang dengan tindak-tanduk AS yang dilihat agresif menambah bilangan ahli NATO. Salah satu daripadanya ialah Perancis yang berusaha menjadi pendamai semasa konflik Rusia-Ukraine tercetus. Malah, bukan sekali Presiden Emmanuel Macron berhubung dengan Putin bagi mencari penyelesaian konflik kedua-dua negara.

Eropah, suka atau tidak, memerlukan bekalan gas Rusia bagi menjana ekonomi mereka. Ketika ini, mereka mencari bekalan gas alternatif untuk mengurangkan kebergantungan kepada Rusia. Tetapi jika ada sekalipun, ia tidak akan mengisi kelompangan bilangan gas yang dibekalkan Rusia.

Jika peperangan berlaku sekalipun, ianya berskala terhad seperti Russia vs Ukraine 2014 dan Russia vs Georgia 2008. Paling penting, ia tidak melibatkan pertembungan kuasa besar NATO vs Rusia seperti diramal sesetengah pihak.

Pergerakan tentera dan aset besar-besaran oleh NATO dan Rusia dilihat sebagai “gunboat diplomacy”atau “show of force” sahaja. Begitupun, perkara sebegini boleh saja akan membawa kepada kerugian global lebih teruk terutama bila dunia cuba pulih daripada pandemik Covid-19. Perkara yang dibimbangi akhirnya berlaku pada penghujung Februari lepas apabila Rusia menyerang Ukraine.

Memahami garis masa dan sejarah geopolitik Eropah Timur akan membantu kita mendapat gambaran menyeluruh setiap peristiwa yang berlaku. Apapun ia memberikan pengajaran yang jelas agar Malaysia, tidak hanya mengharapkan air liur menyebut diplomasi semata-mata sahaja dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Artikel dikirimkan oleh Muhammad Faiq Shaf’ii untuk The Patriots. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply