Nama Timbuktu mungkin lebih dikenali disebabkan tindakan kumpulan pengganas Ansar Dine mencetuskan huru-hara di wilayah Mali itu beberapa tahun sebelumnya. Tetapi pada Zaman Keemasan Islam, kota tersebut merupakan pusat pengajian ilmu yang ulung dari abad ke-14 hingga abad ke-15. Ini menjadikan ia setaraf dengan kota Baghdad semasa menjadi pusat pentadbiran kerajaan Bani Abbasiyah.

Tapi Timbuktu ini wujud di mana ya? Timbuktu hari ini berada di bawah pentadbiran Mali, sebuah negara di rantau Afrika Barat. Kota ini terletak kira-kira 20 km di utara Sungai Niger dan mempunyai populasi seramai 54,000 orang.

Terdapat pelbagai teori bagaimana nama Timbuktu ini timbul. Ada mengatakan ia merupakan gabungan dua perkataan Barbar iaitu tim (dalam) dan boctou (gumuk pasir kecil). Mengikut legenda orang tempatan pula, pada satu ketika, pengembala-pengembala kambing biri-biri menggali sebuah perigi di situ.

Semasa ketiadaan mereka, kumpulan pengembala ini meminta bantuan seorang wanita tua bernama Buktu untuk menjaga perigi berkenaan. Dalam Bahasa Tamashek iaitu bahasa bagi orang Tuareg, Tin bermaksud tempat. Dengan menamakan kota yang diasaskan mereka Tin’ Buktu (kemudiannya dikenali sebagai Timbuktu) atau tempat Buktu, ia sebagai cara mengenang jasa wanita berkenaan.

Kawasan sekitar Timbuktu sememangnya aktif dengan aktiviti manusia sekurang-kurangnya pada zaman Neolitik dan Zaman Besi. Kawasan tersebut bukan saja sesuai untuk kegiatan bertani tetapi kaya dengan mineral berharga seperti tembaga. Tembaga dikatakan mula diperdagangkan di laluan Trans-Sahara seawal abad pertama Masihi. Bagaimanapun, ada pengkaji sejarah percaya perkara itu hanya berlaku pada abad ke-11.

Apabila orang Tuareg menerima cahaya Islam pada abad kelapan Masihi, ia disebarkan melalui jalan perdagangan Trans-Sahara termasuk Timbuktu. Dan Timbuktu semakin menonjol apabila menjadi sebahagian daripada Empayar Mali yang muncul sekitar abad ke-13 Masihi. Kerajaan ini diasaskan oleh Sundiata Keita, seorang putera raja berdarah Malinke dengan raja terkaya di Afrika, Mansa Musa merupakan cicit saudara baginda.

Di bawah kepimpinan Keita, Empayar Mali merangkumi bukan saja Timbuktu. Malah, ia turut merangkumi Walata (satu kota persinggahan pedagang di selatan Mauritania), Tadmekka (500 km di timur Timbuktu), kerajaan Sohai dan Ghana.

Selepas pemerintah kerajaan tersebut menerima Islam, mereka menjadi tonggak penting penyebaran Islam sekitar Afrika Barat. Kewujudan komuniti Islam tempatan menarik minat ramai cendekiawan dari sebelah utara sekaligus menjadikan empayar itu sebagai pusat perkembangan ilmu yang penting. Kekayaan kerajaan itu disumbang oleh aktiviti perlombongan emas yang ditemui di Black Volta (kini Burkina Faso) dan Hutan Akan (sebuah kawasan hutan tropika di Ghana).

Contoh kafilah dagang yang membawa kepingan garam di Timbuktu pada Disember 1985. Sumber: Holger Reineccius/CC BY-SA 3.0

Selain itu, garam batu juga merupakan komoditi berharga ketika itu dengan nilainya bersamaan seuncang serbuk emas. Jika ia dibawa dari Timbuktu ke kawasan luar kota berkenaan, nilainya akan berganda bersamaan dengan 450 gram emas.

Di samping emas dan garam batu, barang dagangan lain seperti gading gajah, barangan kaca, senjata, kuda, rempah ratus dan gula turut diniagakan di kota itu. Para pedagang biasanya mengamalkan sistem barter atau membayar mengikut nilai yang dipersetujui kedua-dua belah pihak. Antara bayaran yang diterima ialah tembaga, emas, kuantiti tertentu membabitkan garam atau gading dan siput kowri.

Timbuktu menjadi kota perdagangan penting Empayar Mali berikutan kedudukannya yang terletak di kelok Sungai Niger. Disebabkan kedudukannya itu, ia menerima kehadiran para pedagang yang datang dari sebelah timur dan barat sungai berkenaan. Selain itu, ia juga merupakan tempat permulaan laluan dagang Trans-Sahara dengan unta menjadi kenderaan utama kumpulan-kumpulan pedagang.

Kebiasaannya, kafilah dagang menyediakan lebih 1,000 unta untuk setiap perjalanan. Tetapi ada ketikanya, ia boleh saja mencecah 12,000 ekor. Kedudukan Timbuktu sebagai kota perdagangan turut dibantu dengan hubungan diplomatik yang terjalin antara Empayar Mali dengan kerajaan-kerajaan di sebelah utara dari Fez, Maghribi hinggalah Kaherah, Mesir.

Imej ilustrasi Mansa Musa

Usaha penyebaran ilmu di Timbuktu sudah bermula sejak abad ke-12 Masihi lagi menerusi pembinaan Masjid Sankore. Menjelang era pemerintahan Mansa Musa, peranannya sebagai pusat ilmu diperkukuh termasuk dianggotai ramai ulama sebagai tenaga pengajar.

Baginda turut membina sebuah masjid yang diberi nama Masjid Djinguereber/Jingereber dengan proses pembinaan dipantau oleh arkitek terkenal dunia Islam ketika itu, Abu Ishaq al-Sahili. Arkitek berdarah Andalusia itu menjadi sebahagian daripada pegawai Mansa Musa selepas bertemu baginda ketika mengerjakan haji pada 1324. Tertarik dengan kepetahannya semasa berbicara dan pengetahuan mendalam berkenaan hukum syariah, baginda mengurniakan sejumlah besar emas sebagai hadiah kepada al-Sahili.

Masjid Djinguereber. (KaTeznik / CC BY-SA 2.0)

Menjelang abad ke-15, kuasa pemerintahan dipegang pemerintah berdarah Tuareg, Akil Akamalwa. Semasa era pemerintahan baginda, Masjid Sidi Yahya dibina. Ketiga-tiga masjid itu terus berfungsi sebagai Universiti al-Quran Sankore sekaligus menjadikan ia sebagai institusi pendidikan tertua di Sub-Sahara Afrika.

Disebabkan lokasinya sebagai kota ilmu, ia mempunyai banyak perpustakaan, sekolah dan masjid. Ini menjadikan ia setaraf dengan kota-kota ilmu lain seperti Baghdad, Makkah, Madinah dan Kaherah. Atas sebab yang sama, nilai ilmu dilihat lebih bernilai daripada semua harta yang dikumpul di Timbuktu ketika itu. Buktinya, terdapat banyak buku bernilai dalam simpanan pemilik persendirian sama ada ulama atau koleksi keluarga.

Selain penerbitan banyak buku, tradisi penyebaran ilmu Timbuktu turut dibantu dengan tradisi ilmu lisan yang disampaikan oleh para ulama dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Peranan mereka hampir sama dengan griot, golongan penglipur lara Afrika Barat. Griot bukan sekadar dilihat sebagai penghibur semata-mata tetapi turut berperanan sebagai penyimpan maklumat sejarah kerajaan sekitarnya. Atas sebab itu, kedudukan mereka amat tinggi di samping pemerintah Afrika Barat termasuk menasihati mereka dari segi pemerintahan.

Contoh ilustrasi griot dari Senegal pada abad ke-19.

Menariknya, tradisi griot berasal daripada kumpulan etnik Malinke sekaligus berkongsi asal-usul dengan pengasas Empayar Mali, Sundiata Keita. Seperti mana tradisi pendidikan Islam dan pembikinan buku di kota berkenaan, griot diwarisi dari satu generasi ke generasi lain.

Sesiapa yang mahu menjadi griot mempunyai dua pilihan: lahir daripada keluarga griot atau perlu menjalani tempoh perantisan yang lama. Kebiasaannya, ramai griot datang daripada pilihan pertama. Ini disebabkan griot hanya berkahwin dalam kalangan mereka. Mungkin ada menganggap ini sebagai pelik. Tetapi disebabkan peranan mereka sebagai penyimpan rekod sejarah, sudah pasti mereka tidak mahu ia hilang ditelan zaman kerana tersilap memilih pasangan.

Dalam sesebuah keluarga griot berstatus bangsawan, mereka akan diiringi oleh ahli keluarga lain yang bertaraf raja/kerabat diraja yang dipanggil jatigi. Tanpa salah satu daripadanya, ia dianggap tidak lengkap. Di setiap kampung, terdapat seorang griot yang berperanan merekod semua peristiwa seperti kelahiran, kematian, perkahwinan dan pemburuan haiwan.

Disebabkan statusnya yang terkenal, Timbuktu banyak disinggahi oleh pengembara termasuk dari dunia Islam. Pengembara terkenal Ibnu Battuta pernah singgah di kota berkenaan pada 1324. Dalam catatan pengembaraannya yang kita kenali sebagai Rihlah Ibnu Battuta, beliau bercerita tentang kedudukan undang-undang syariah di Timbuktu, percampuran amalan Islam dan animisme dalam kalangan penduduk dan perihal kaum wanita di kota berkenaan.

Seorang lagi pengembara yang pernah sampai di situ ialah diplomat dan penulis Sepanyol, Leo Africanus. Dalam keterangan manuskrip geografinya yang terkenal iaitu Descrittione dell’Africa (Penerangan Tentang Afrika), beliau menggambarkan Timbuktu sebagai sebuah kota yang kaya. Mahakarya Africanus yang siap pada 1550 ini menjadi rujukan para ahli geografi selama bertahun-tahun berikutan keterangannya yang lengkap dan teliti.

Kulit muka hadapan Descrittione dell’Africa yang dikarang Leo Africanus.

Tidak mustahil tempohnya di Timbuktu mendorong Africanus atau nama sebenarnya al-Hasan bin Muhammad al-Wazzan al-Fasi berhijrah ke Afrika Utara pasca-Reconquista. Ini ditambah dengan situasi Tunis ditakluk Sepanyol pada 1535. Disebabkan pengalaman sama di kota Afrika Barat itu, ia mendorong beliau kembali kepada Islam bertahun-tahun selepas memeluk agama Kristian di hadapan penaungnya di Rome, Paus Leo X pada 1520.

Empayar Mali mula merosot pada abad ke-15 sebelum digantikan oleh Empayar Songhai. Di sebalik pertukaran tampuk pemerintahan, kedudukan Timbuktu sebagai kota perdagangan dan kota ilmu terus bertahan. Tetapi semua itu berubah apabila Dinasti Saadi yang memerintah Maghribi pada abad ke-16 dan ke-17 menyerang dan menjadikan ia sebahagian daripada jajahan mereka.

Tambah menyedihkan, tindakan pemerintah Saadi, Sultan Ahmad al-Mansur terhadap Timbuktu pada 1593. Pada tahun tersebut, baginda memilih untuk memenjara, membunuh atau membuang negeri ramai ulama Timbuktu atas alasan kesetiaan mereka diragui.

Ini mengakibatkan prestij Timbuktu sebagai kota ilmu merudum. Kedudukan kota itu sebagai kota perdagangan juga semakin terhakis menjelang abad ke-16. Berikutan terdapat banyak laluan dagang termasuk jalan laut, laluan Trans-Sahara dilupakan sebagai laluan dagang utama.

Rene Caillie.

Orang Eropah sudah lama mengetahui tentang kekayaan Timbuktu sama ada menerusi kisah Mansa Musa atau catatan Descrittione dell’Africa. Bukan sekali ekspedisi dilancarkan bagi mengesan kedudukan kota itu tetapi gagal. Mereka hanya berhasil pada 1828 selepas pengembara Perancis René Caillié berjaya sampai ke kota berkenaan dan kembali ke Eropah dengan selamat.

Menjelang akhir abad ke-19, kebanyakan kawasan Afrika Barat menjadi sebahagian daripada jajahan Perancis. Pemerintahan kuasa Barat itu di Timbuktu bertahan sehingga 1960 sebelum Mali meraih kemerdekaan. Timbuktu kemudiannya menjadi tumpuan dunia moden pada 2012 apabila banyak monumen berstatus Tapak Warisan Dunia UNESCO dimusnahkan kumpulan Ansar Dine. Selepas Timbuktu bebas daripada kumpulan berkenaan, ramai ahli kumpulan tersebut dibicarakan atas dakwaan memusnahkan monumen bersejarah.

Ancaman Ansar Dine pada tahun 2012 memaksa pengkaji sejarah berusaha keras untuk melindungi khazanah-khazanah ilmu Timbuktu yang tidak ternilai harganya. Hari ini, usaha mendigitalkan manuskrip bersejarah Timbuktu digiatkan bagi memastikan sejarah kegemilangan Timbuktu terus terpelihara sebagai tatapan generasi seterusnya.

Nota kaki

Ansar Dine – sebuah kumpulan pengganas yang berpangkalan di Afrika dan mempunyai hubungkait dengan al-Qaeda. Kumpulan tersebut kemudiannya diperangi kerajaan Mali terutama selepas Timbuktu jatuh ke tangan mereka pada 2012. Menjelang 2013, organisasi tersebut berjaya dilumpuhkan Mali dengan bantuan beberapa kuasa Barat termasuk Perancis.

Reconquista – gerakan merampas semula Sepanyol daripada tangan kerajaan-kerajaan Islam oleh kerajaan-kerajaan Kristian Sepanyol bermula pada abad ke-11. Kempen ini berjaya selepas Granada tumbang pada 1492.

RUJUKAN

Mora, K. (2022, 6 Jun). How Timbuktu Flourished During the Golden Age of Islam. History.

Cartwright, M. (2019, 22 Februari). Timbuktu. World History Encyclopedia.

Jarus, O. (2013, 22 Januari). Timbuktu: History of Fabled Center of Learning. Live Science.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply