Untuk trivia ini, kita berkenalan dulu jenis-jenis galaksi yang menghiasi alam semesta ini. Galaksi, seperti yang kita faham ialah kumpulan-kumpulan bintang, sama ada muda, tua, atau yang telah mati. Bukan bintang saja, planet juga banyak mengelilingi setiap bintang-bintang ini.
Terdapat tiga jenis galaksi berdasarkan rupa bentuknya. Tiga jenis galaksi itu ialah berpilin (spiral), bujur (elips), dan tidak tetap (irregular).
Galaksi berpilin ialah jenis galaksi yang biasa terbentuk. Galaksi ini terdapat dua ‘anggota’ iaitu pusat (bulge) dan lengan (arm). Pusat galaksi terdiri dari lubang hitam gergasi dan kumpulan bintang-bintang yange tua, manakala lengan galaksi pula biasanya terdiri dari bintang-bintang muda, termasuklah Matahari.
Galaksi yang tergolong dalam jenis berpilin ialah Bima Sakti, Andromeda iaitu jiran galaksi terdekat dengan kita, dan Mata Hitam iaitu galaksi yang terletak 24 juta tahun cahaya dari Bumi.
Jenis galaksi kedua ialah jenis bujur. Galaksi jenis ini tidak ada lengan. Kalau dari kaca mata kita, galaksi bujur hanya kelihatan macam cahaya berbentuk bujur saja, tapi tetap ada taburan bintang muda dan tua. Contoh galaksi bujur ialah Maffei 1.
Jenis galaksi terakhir ialah jenis tidak tetap. Berbeza dengan jenis berpilin dan bujur, galaksi jenis ini nampak bertaburan kerana wujudnya gas dan debu kosmik selain bintang. Rupa bentuknya seakan-akan awan besar. Contoh galaksi tidak tetap ialah Magellan Besar.
Sebenarnya ada juga jenis galaksi yang berlainan dengan tiga jenis galaksi yang utama ini. Contohnya ialah galaksi lenticular, iaitu jenis galaksi campuran bujur dan berpilin. Galaksi Centaurus A adalah salah satu galaksi jenis lenticular.




No comments yet