Sebut saja Okinawa, ramai akan membayangkan imej berbeza pulau Jepun yang paling selatan itu. Bagi pengkaji sejarah Perang Dunia Kedua (WWII), ia merupakan lokasi pertempuran paling berdarah dalam teater Pasifik. Tetapi bagi pengkaji sejarah terutama Alam Melayu, ia merupakan sebuah kerajaan kecil tetapi penting bernama Ryukyu sekitar abad ke-14 hingga ke-16 sebelum diserap Jepun pada 1609.

Orang pertama yang menghuni kawasan kepulauan itu tiba di situ kira-kira 32,000 tahun lalu. Tidak mustahil kelompok penghijrah sama yang membentuk orang Yamato (orang Jepun moden) membentuk populasi wilayah yang terdiri daripada 100 buah pulau itu.

Selain mereka, ada juga penduduk Ryukyu yang mempunyai darah orang China dan Asia Tenggara. Mereka berkemungkinan pelayar atau nelayan yang terkandas di wilayah berkenaan selepas kapal-kapal mereka karam. Melihat tiada harapan untuk pulang ke tanah air tercinta, orang yang terkandas ini membina kehidupan baru di situ termasuk membina keluarga dengan orang tempatan. Ini menghasilkan budaya Ryukyu yang unik daripada semua budaya yang wujud di Asia Timur ketika itu.

Dapatkan siri Kitab Tamadun kami melalui pautan:
https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Menjelang abad ke-14, terdapat tiga buah kerajaan yang wujud di situ iaitu Hakuzan di sebelah utara, Chuzan (di bahagian tengah) dan Nanzan (di sebelah selatan). Setiap daimyo yang menguasai bahagian berkenaan memerintah dari istana masing-masing iaitu Nakijin, Shuri dan Ozato. Seperti di pulau-pulau utama Jepun, persaingan sesama mereka mengakibatkan Chuzan menyingkirkan kedua-dua jirannya dan muncul sebagai kuasa dominan di Ryukyu sekitar 1429.

Semasa tempoh inilah, Ryukyu muncul sebagai pusat perdagangan penting Asia Timur. Ini kerana ia terletak di antara laluan perdagangan Siam dan rantau Melayu dengan China, Jepun dan Semenanjung Korea. Dan ini menjana keuntungan lumayan bagi kerajaan Chuzan yang memerintah ketika itu.

Antara barang dagangan Ryukyu yang dibawa ke Asia Tenggara termasuk rantau Nusantara ialah belerang dan kuda (kedua-duanya dari wilayah itu), barang porselin, sutera dan broked (China), pedang, baju besi dan emas (Jepun). Sementara barang dagangan Asia Tenggara yang dibawa ke Ryukyu pula ialah rempah-ratus, emas, kapur barus, arak Melaka, kain batik, candu dan pelbagai barang kraftangan dari rantau berkenaan.

Malah, kerajaan Chuzan juga dikatakan turut menyimpan rekod kewujudan Laksamana Hang Tuah. Ini berdasarkan penemuan lebih 30 surat membabitkan kedua-dua kerajaan yang disimpan dalam Rekidai Hoan (Dokumen-Dokumen Berharga Untuk Generasi Seterusnya).

Rekidai Hoan, koleksi dokumen diplomatik Ryukyu dengan kerajaan-kerajaan luar termasuk Kesultanan Melayu Melaka (KMM).

Ia merupakan kompilasi dokumen diplomatik kerajaan Ryukyu dengan kerajaan-kerajaan luar seperti Joseon (Semenanjung Korea), China (Dinasti Ming), Melaka (Kesultanan Melayu Melaka) dan Jawa (Majapahit). Salah satu surat yang disebut dalam dokumen berkenaan jelas menyebut nama laksamana Melayu terkenal itu.

Disebabkan status dan kedudukan Ryukyu ketika itu, China yang diperintah Dinasti Ming dan Jepun yang diperintah Keshogunan Ashikaga melihat Ryukyu sebagai orang tengah yang boleh diharapkan. Kedua-dua kerajaan ketika itu mempunyai hubungan yang baik terima kasih kepada usaha keras Shogun Ashikaga Yoshimitsu. Sebagai mengiktiraf peranannya kepada hubungan kedua-dua kerajaan, Maharaja Yongle mengiktirafnya sebagai Raja Jepun.

Di sebalik semua ini, Jepun atau lebih tepat puak Satsuma yang memerintah Kyushu menganggap Ryukyu sebahagian daripada wilayah mereka. Malah, salah satu gelaran yang diberi kepada ketua puak Satsuma ialah Penguasa 12 Pulau Selatan. Gelaran ini diberi seawal tahun 1206 dengan Ryukyu menjadi sebahagian daripada pulau-pulau yang ditadbir mereka. Bagaimanapun, puak Satsuma tidak mempunyai kekuatan tentera diperlukan untuk menguatkuasakan tuntutan mereka.

Menjelang 1467, ia merupakan permulaan era Sengoku (tempoh berperang dalam kalangan daimyo dan penguasa untuk menguasai Jepun). Kemuncaknya ialah pada 1587 apabila Toyotomi Hideyoshi berjaya menyatukan seluruh Jepun di bawah penguasaannya selepas Kyushu ditakluk. Dan ini menukar status puak Satsuma sebagai pemerintah vasal bagi pihak Hideyoshi.

Atas sebab itulah, suka atau tidak, puak Satsuma terpaksa akur dengan semua permintaan beliau. Ini termasuk membekalkan 10,000 orang tentera bagi kempen penaklukan di Semenanjung Korea dan China dari 1592 hingga 1597. Ryukyu juga turut mendapat dekri sama tetapi tidak mahu sebarang tindakan mereka mengundang kemarahan kerajaan Joseon dan Ming ketika itu. Bagi memenuhi permintaan Hideyoshi, Ryukyu hanya menghantar sedikit saja bekalan makanan kepada tentera Jepun semasa kempen berlaku.

Bagi puak Satsuma, prestij mereka sebagai pemerintah Kyushu semakin terhakis. Sudahlah tewas di tangan Hideyoshi, kemudian mereka diatasi oleh bakal pengasas Keshogunan Tokugawa, Ieyasu di Sekigahara pada 1600. Jadi, puak Satsuma mencari semua peluang untuk mengembalikan prestij mereka sebagai daimyo dan kembali dihormati oleh semua termasuk Ieyasu. Ryukyu dianggap sesuai untuk usaha mereka kerana kerap menolak sebarang usaha penguatkuasaan kuasa Keshogunan Tokugawa selama bertahun-tahun.

Shimazu Tadatsune

Peluang terhidang pada 1609 apabila ketua puak Satsuma, Shimazu Tadatsune mempersembahkan usul untuk menakluk Ryukyu kepada pengganti Ieyasu, Hidetada. Selepas mendapat lampu hijau dari Edo (pusat pemerintahan Keshogunan Tokugawa yang kini merupakan Tokyo moden), Tadatsune mengumpul 3,000 tentera dan samurai, 3,000 pelayar dan 2,000 pekerja untuk ekspedisi ini. Kesemua mereka merupakan veteran bukan saja untuk kempen di Korea tetapi juga dalam kempen pemberontakan menentang Ieyasu sebelum ini.

Dari satu segi, Ryukyu mempunyai kubu-kubu kukuh yang mampu menahan asakan pihak Satsuma. Ini kerana kebanyakan istana dan kubu terletak di kawasan tanah tinggi dan diperbuat daripada batu. Ini menjadikan sebarang usaha untuk menembusi kubu-kubu ini berdepan kesukaran seperti disaksikan tentera Amerika Syarikat semasa WWII.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan struktur kayu di atasnya yang membolehkan pengawal dan tentera segera mengesan dan mengasingkan kedudukan musuh. Tetapi reka bentuk ini mempunyai satu kelemahan: ia tidak mempunyai ruang-ruang untuk mereka menembak atau mengintai pihak musuh. Kelemahan ini bijak dimanfaatkan oleh tentera Satsuma yang dilengkapkan dengan senapang lantak dan pengalaman pertempuran di Semenanjung Korea.

Di samping itu, pihak Ryukyu juga menggunakan strategi rantai besi bagi melindungi pelabuhan utama mereka iaitu Naha. Strategi ini menyaksikan rantai akan diturunkan bagi memberi ruang kepada kapal-kapal berlabuh di situ. Bagaimanapun, jika ada kapal musuh yang cuba berlabuh di situ, maka rantai akan dinaikkan sekaligus menghalang mereka daripada masuk. Ini merupakan strategi sama yang digunakan pihak Byzantine bagi melindungi Constantinople selama beberapa abad sebelum diatasi oleh pihak Uthmaniyah pada abad ke-15.

Tetapi tentera Ryukyu dianggap lemah jika dibandingkan dengan pihak Satsuma. Ini kerana selain tidak mempunyai pengalaman pertempuran yang berlaku kira-kira 200 tahun sebelumnya, senjata yang dimiliki dianggap lapuk termasuk senapang yang digunakan. Senapang versi China mereka jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan senapang lantak pihak Satsuma yang dibeli daripada pedagang-pedagang Portugal.

Pihak Satsuma mendarat di Ryukyu pada 11 April dan mula menggerakkan penaklukan mereka. Menjelang 24 April, pihak Satsuma mendarat di Tokunoshima yang terletak di sebelah selatan. Walaupun dianggap lemah di atas kertas, pihak Ryukyu memberi tentangan sengit terhadap mereka sebelum ditewaskan mereka. Sebarang cubaan untuk menjarah rumah-rumah penduduk pula menyaksikan golongan petani menyerang tentera Satsuma dengan pelbagai alat termasuk kapak dan cangkul.

Untuk beberapa minggu berikutnya, orang Ryukyu menjadi saksi kepada kegigihan dan kekejaman pihak Satsuma terhadap wilayah mereka. Di sebalik tentangan sengit mereka, satu persatu kubu dan istana jatuh ke tangan pihak musuh. Dan sasaran mereka seterusnya ialah Istana Shuri, tempat pemerintah Chuzan bersemayam.

Di sinilah, pihak Ryukyu buat satu kesilapan besar. Disebabkan kedudukan pelabuhan Naha yang strategik, maka fokus utama mereka ialah melindungi pelabuhan tersebut. Tetapi ini mengakibatkan bilangan tentera yang melindungi Istana Shuri amat sedikit. Ini disebabkan serangan mengejut ke atas pelabuhan berkenaan pada 4 Mei.

Raja Ryukyu, Sho Nei

Dengan kebanyakan tentera sibuk melindungi Naha, pihak Satsuma menyerang Istana Shuri pada tarikh sama. Walaupun pihak Ryukyu dapat tunduk mengelak serangan senjata api pihak musuh, pihak Satsuma membawa tangga tinggi bagi membolehkan mereka memanjat dan masuk ke dalam istana. Raja Ryukyu ketika itu, Sho Nei memilih untuk menyerah diri bagi menyelamatkan ribuan rakyatnya daripada menjadi korban pihak Satsuma.

Dua tahun selepas kempen Satsuma bermula, pihak Satsuma membawa Sho Nei dan para pembesar Ryukyu ke Edo untuk menghadap Hidetada dan Ieyasu. Berpuas hati dengan kejayaan Tadatsune, ia sedikit sebanyak mengembalikan prestij puak Satsuma di mata pihak Tokugawa. Sebelum dibenarkan berangkat pulang, Sho Nei dan para pembesar Ryukyu perlu melafazkan sumpah taat setia terhadap mereka. Salah seorang pembesar yang enggan berbuat demikian kemudiannya dipancung atas arahan shogun.

China yang mengetahui apa yang berlaku sedar mereka berdepan pilihan sukar. Ini kerana di atas kertas, Jepun dan China tidak mempunyai hubungan bersifat ufti dan telah berulang-kali menolak sejak era awal Dinasti Ming. Walaupun telah mengiktiraf kedudukan Ashikaga Yoshimitsu sebagai Raja Jepun, itu tidak bermakna Jepun sanggup membayar ufti. Jadi, apa nak buat dengan Ryukyu ini?

Bagi Tadatsune, solusinya mudah. Setiap kali kapal China tiba, mereka akan bersembunyi dan muncul kembali selepas mereka meninggalkan Ryukyu. Helah itu diteruskan selama 30 tahun sebelum tampuk pemerintahan China beralih dari Dinasti Ming kepada Dinasti Qing. Menjelang 1655, hubungan Ryukyu-China disambung semula dengan restu Keshogunan Tokugawa. Bagaimanapun, semua keuntungan masuk dalam kocek puak Satsuma sekaligus menjadikan mereka vasal kepada puak berkenaan.

Tetapi beberapa ratus tahun selepas itu, semuanya berubah dengan kehadiran Komodor Matthew Perry di Ryukyu pada abad ke-19. Kehadirannya di situ termasuk mengadakan lawatan ke Istana Shuri mencetuskan keributan dalam kalangan pihak Jepun seterusnya mencetuskan kejatuhan Keshogunan Tokugawa. Ia kemudiannya diganti dengan era Pemulihan Meiji.

Ryukyu menyangka inilah peluang mereka untuk kembali bergelar sebagai sebuah kerajaan yang bebas. Tetapi itu tidak bertahan lama menerusi pengilhakan wilayah itu pada 1879. Selepas Ryukyu diilhak, ia dinamakan semula sebagai Okinawa dengan semua bahasa dan budaya wilayah berkenaan dihapuskan.

Selepas tamat WWII, Okinawa diletakkan di bawah kawalan AS selama bertahun-tahun. Ia hanya dipulangkan kembali kepada Jepun pada 1972. Dengan penyerahan tersebut, maka musnahlah harapan untuk melihat ia kembali sebagai wilayah merdeka yang dinikmati beberapa ratus tahun sebelumnya.

Kami juga ada karya-karya fiksyen khas untuk para peminat pelbagai genre. – https://shopee.com.my/thepatriotsasia

RUJUKAN

Musa, H. (2016, 29 September) Hubungan kesultanan Melaka dengan kerajaan Ryukyu Jepun / Hashim Musa. In: Seminar Institusi Raja dalam Manuskrip Melayu (SIRaj 4), Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia.

Musa, H. et al. (2018). Surat Hang Tuah Kepada Raja Ryukyu: Kebijaksanaan Ilmu Diplomasi MelayuTradisional. Jurnal Melayu Sedunia Jilid. 1 Isu 1. Muka surat 162-190.

Haynes, M.G. (2021, 7 Julai). SAMURAI INVASION: JAPAN’S 1609 CONQUEST OF RYUKYU. Historynet.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply