Istana
Shuri di Okinawa merupakan antara khazanah warisan Jepun yang terkenal sehingga
disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada tahun 2000. Dan bagi
peminat Call of Duty terutama World at War, pasti perasan istana ini juga
merupakan sebahagian daripada kempen Breaking Point. Tetapi beberapa hari
lepas, ramai penduduk Okinawa berdukacita selepas mendapat khabar istana yang
pernah jadi simbol kekuasaan kerajaan Ryukyu musnah dalam satu kebakaran.
Rajah 1: Keadaan pintu gerbang Istana Shuri selepas kebakaran. Gambar diambil dua hari selepas kebakaran berlaku pada 31 Oktober lepas.
Rajah 2: Keadaan Istana Shuri dua hari selepas kebakaran. Gambar diambil dari bahagian bukit.
Berdasarkan
laporan media, kebakaran dikatakan bermula pada pukul 2.40 pagi dan hanya
berjaya dipadamkan pada pukul 1.30 petang Khamis lepas. Anda boleh lihat
bagaimana api memusnahkan Istana Shuri menerusi klip video ini:
Tujuh
bangunan kayu musnah terbakar merangkumi kawasan seluas 4,000 meter per segi.
Siasatan kebenaran sudah dijalankan sejak Jumaat lepas dengan fokus utama
siasatan tertumpu kepada dewan utama di mana kebakaran dikatakan bermula.
Pasukan penyiasat memberitahu stesen televisyen NHK pada Ahad salah seorang
daripada pengawal yang memberi respon terhadap loceng kecemasan melihat asap
tebal keluar dari tingkap aras pertama dewan utama. Mereka turut menemui sebuah
panel elektrik yang terbakar di atas lantai dan masih menyiasat sama ada ia
merupakan punca kebakaran atau tidak.
Yang
pasti, barang-barang pameran terutama hasil seni yang dipamerkan di Istana
Shuri berpotensi musnah dijilat api. Menurut Yayasan Churashima Okinawa, 420
daripada 1,500 hasil seni yang dipamerkan dikatakan musnah dalam kebakaran
berkenaan kerana tidak disimpan di repositori yang kalis api berikutan
ditempatkan di dewan utama Seiden dan kawasan lain sekitar istana. Ini
diumumkan dalam satu sidang media di Naha pada Jumaat lepas. Yayasan ini
bertanggungjawab mengendalikan aspek pengurusan dan pentadbiran Istana Shuri.
Daripada 1,000 barang yang disimpan dalam repositori, tiga merupakan barang berharga seperti sebuah lukisan yang dianggap harta warisan dan sebuah kraftangan yang berharga. Tetapi sejak Jumaat lepas, masih belum dipastikan sama ada barang-barang ini masih baik atau terjejas akibat kebakaran.
Begitu juga nasib dinding batu, batu asas dan sisa struktur dari struktur asal Istana Shuri sama ada ia terselamat daripada kebakaran atau tidak. Pihak berkuasa turut memindahkan 30 penduduk akibat kebakaran tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Tetapi bagi penduduk Okinawa, mereka kehilangan lambang kebanggaan wilayah itu seperti dinyatakan Datuk Bandar Naha, Mikiko Shiroma, “Saya amat terkejut. Kami telah kehilangan simbol kami.”
Selepas
kebakaran besar yang melanda Katedral Notre-Dame di Paris pada April lepas,
pihak kerajaan berkira-kira mengadakan pemeriksaan mengejut di semua tapak
khazanah warisan negara itu dan bersedia melaksanakan langkah tambahan termasuk
memasang sistem pemadam api. Tetapi selepas apa yang berlaku pada 31 Oktober
lalu, ia boleh dianggap sebagai terlambat. Bekas Menteri Pendidikan Jepun
Masahiko Shibayama menulis di Twitter, “Saya tiada kata-kata. Selepas kebakaran
Katedral Notre-Dame, kami baru sahaja memulakan langkah pencegahan kebakaran di
aset-aset kebudayaan.”
Kerajaan
Ryukyu muncul sebagai satu kerajaan yang berkuasa pada abad ke-15 selepas
menyatukan tiga kerajaan yang berperang sebelumnya. Pengaruhnya dikatakan
merentasi sempadan Okinawa termasuk di Kepulauan Melayu menerusi surat yang
dibawa Hang Tuah kepada pemerintah kerajaan itu antara tahun 1480 dan 1481.
Istana Shuri yang dibina 500 tahun lalu menggabungkan seni bina China dan Jepun
sekaligus memperlihatkan penglibatan aktif kerajaan itu dalam bidang
perdagangan dengan China.
Rajah 3: Istana Shuri sebelum berlakunya Perang Dunia Kedua.
Menelusuri
sejarahnya yang panjang, istana ini musnah beberapa kali termasuk semasa Perang
Dunia Kedua menerusi Pertempuran Okinawa seperti dipaparkan dalam Call of Duty:
World at War. Kerajaan kemudiannya menjalankan aktiviti pemulihan besar pada
setiap tapak bersejarah di Okinawa pada tahun 1990-an termasuk Istana Shuri.
Usaha pemulihan yang teliti menyebabkan UNESCO menganugerahkan beberapa tapak
bersejarah di Okinawa termasuk istana itu sebagai Tapak Warisan Dunia pada
tahun 2000.
Kini
dengan kebakaran ini, Tokyo berjanji akan membinanya semula. Tetapi ia tidak
akan mengembalikan mana-mana artifak yang musnah. Bagi Profesor Kurayoshi
Takara dari Universiti Ryukyu, berita kemusnahan artifak-artifak di Istana
Shuri merupakan sesuatu yang sukar diterimanya.
RUJUKAN:
1.
Katz, Brigit. (2019). Fire Ravages Japanese Heritage Site Shuri Castle.
Smithsonian Magazine. https://www.smithsonianmag.com/smart-news/fire-ravages-shuri-castle-japanese-heritage-site-180973446/
2.
The Straits Times. (2019). Japan’s Shuri Castle fire likely started from main
hall, at least 420 artworks destroyed. https://www.straitstimes.com/asia/east-asia/at-least-420-artworks-at-japans-shuri-castle-likely-destroyed-by-fire




No comments yet