Sebut saja Jepun, ia amat sinonim dengan pahlawan samurainya. Siapa yang tak tertarik dengan kisah samurai yang menuntut bela kematian tuan mereka (47 Ronin) atau kisah filsuf samurai paling terkenal dalam sejarah, Miyamoto Musashi. Tetapi ada satu pahlawan yang jarang didendangkan iaitu sohei atau pahlawan sami Buddha.
Jangan sangka penganut Buddha Jepun hari ini sama macam orang dahulu. Di sana terutama pada zaman Heian (794 hingga 1185 Masihi), terdapat pelbagai mazhab Buddha dan mereka saling bersaing bagi mendapatkan lantikan politik tertinggi di kuil-kuil. Nak dapat lantikan bukan senang, kena ada sokongan daimyo-daimyo (kelompok bangsawan Jepun) yang berpengaruh. Takde sokongan, lupakanlah niat nak jadi sami terkenal!
Atas sebab itulah, dalam tempoh empat abad tersebut, pendukung-pendukung mazhab Buddha berbeza ini sentiasa bertelagah. Fiil sama seperti pertelagahan geng Roman Katolik dengan geng Protestan sampai cetus perang selama lebih beberapa abad (contohnya Perang 30 Tahun). Tetapi motif pertelagahan bersifat politik bukan bersifat agama seperti yang berlaku pada Zaman Pertengahan Eropah.
Sebelum itu, kami cadangkan korang untuk dapatkan KITAB TAMADUN JEPUN. Dengan sejarah negara itu yang panjang, banyak perkara yang kita tidak ketahui tentang Negara Matahari Terbit itu. Nak tahu lagi, kena dapatkannya sekarang! Beli di Shopee: https://shopee.com.my/The-Patriots-Kitab-Tamadun-Jepun-i.238336777.17556954102
Di sebalik kecenderungan mereka yang saling bertelagah, jangan pandang mudah pengaruh mereka dalam arena politik Jepun ketika itu. Ini kerana kelibat sohei amat digeruni oleh para samurai setiap kali berada di medan perang.
Dan jangan memandai nak cari pasal dengan mereka. Disebabkan pengaruh agama yang kuat, sohei boleh saja menyumpah sesiapa yang tak disukainya. Jika itu berlaku, memang malanglah jadi orang yang kena sumpah! Kalau tak, takkanlah Maharaja Jepun abad ke-12, Go-Shirakawa buat komentar ini bila ditanya tentang sohei, “Terdapat tiga perkara yang berada di luar kawalan beta: arus Sungai Kamo, pergerakan dadu di tempat judi dan para sami yang menetap di gunung-ganang.”
Dari satu segi, pakaian perang sohei tidaklah berbeza sangat dengan pakaian perang samurai lain. Bila mereka di medan perang, mereka memakai pakaian termasuk kimono berwarna putih atau safron (kuning cempaka). Baju perisai mereka sama seperti perisai samurai dan ia biasanya ditutup dengan jubah berwarna gelap.
Selain pakaian putih atau safron, mereka juga dikenali kerana menutup muka mereka dengan kain putih. Satu-satunya bahagian muka yang dapat dilihat ialah bahagian mata. Bagaimanapun, ada sesetengah sohei lebih suka menutup muka mereka dengan ketopong (perkataan lain untuk topi) perisai.
Dari segi persenjataan pula, senjata pilihan sohei ialah naginata. Sekali pandang, ia merupakan pilihan senjata yang aneh apatah lagi ia banyak digunakan oleh samurai wanita. Tetapi disebabkan ia mempunyai pemegang yang panjang, penggunanya terutama askar berkuda boleh saja membunuh pihak lawan dari jarak yang selamat.
Selain naginata, sohei juga turut membawa pedang katana dan tanto yang diikat pada pinggang mereka. Kedua-duanya boleh menjadi senjata sokongan sekiranya naginata yang digunakan patah. Sohei juga turut diketahui sebagai pemanah yang handal. Dengan kecekapan menggunakan pelbagai senjata di medan perang, tidak hairanlah mengapa para daimyo dan samurai kecut perut dengan sohei.
Tetapi kalau ini pun tak buat orang kecut perut, maka mereka hanya perlu takut ini: tempat keramat bergerak. Barang ini dibawa ke medan perang setiap kali sohei turun bertempur. Pihak lawan hanya ada satu pilihan kalau nampak objek tersebut: menyerah tanpa melawan. Kalau lawan juga, memang kena sumpah berbakul-bakullah jawabnya. Sebabnya, perbuatan ganas termasuk peperangan depan objek keramat sebegitu merupakan perbuatan terlarang di sisi agama mereka.
Antara kuil-kuil terkenal yang mempunyai sohei ialah Negoroji, Nara, Miidera dan Gunung Hiei. Bagi para daimyo, sokongan sohei amat penting kerana ia menentukan sama ada kempen mereka berjaya atau tidak. Tetapi bagi para samurai, mereka dilabel akuso (sami jahat) kerana mempergunakan fahaman Buddha untuk meraih sokongan politik. Walaupun di belakang sohei diumpat macam-macam, ada juga samurai yang pilih untuk sokong dengan harapan dapat restu dewa-dewi bila berperang.
Bagi individu yang bakal meletakkan batu asas penyatuan Jepun, Nobunaga Oda, beliau mempunyai sebab kuat untuk membenci sohei. Ini kerana sohei-sohei didapati menyokong keluarga Asai dan Asakura yang merupakan pesaing-pesaingnya.
Justeru, ini menjelaskan mengapa Nobunaga menyerang mereka terlebih dahulu pada 1570 dengan tujuan melemahkan kekuatan sohei. Tetapi pada akhir tahun sama, sohei melancarkan serangan balas sekaligus menunjukkan mereka bukan lawan mudah. Berang dengan kedegilan mereka, Nobunaga mengutus Hideyoshi Toyotomi untuk menundukkan mereka pada 1571.
Selepas dikalahkan, sebahagian sohei ini berundur ke Gunung Hiei selepas dipelawa oleh para sami yang menetap di situ. Tetapi Nobunaga tidak mahu mereka membina semula kekuatan. Lantas, pada September 1571, 30,000 orang tentera dikerah ke gunung tersebut untuk memusnahkan saki-baki sohei yang ada di sana. Serangan tersebut menyaksikan 20,000 orang termasuk wanita dan kanak-kanak dibunuh di situ.
Sejak itu, bilangan sohei tidak lagi ramai seperti dulu. Di sebalik itu, mereka masih tetap turun ke medan perang terutama dalam pertelagahan antara bakal pengasas Keshogunan Tokugawa, Tokugawa Ieyasu dengan penyokong Hideyoshi. Setelah Tokugawa berkuasa, riwayat sohei sebagai pahlawan sami berakhir.
Dua buku best-seller The Patriots kini kami gandingkan sekali dalam versi bahasa Inggeris untuk kalian semua:
World Without Walls III: https://bit.ly/3PR2Ep9
The Human’s Complex: https://bit.ly/3J2GoGF
RUJUKAN
Kikoy, H. (2018, 28 Julai). Sohei: The Warrior Monks of Medieval Japan. War History Online.
Turnbull, S. (2003). Japanese Warrior Monks AD 949-1603. Osprey Publishing.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih