Selepas jatuhnya Semenanjung Iberia ke tangan Bani Umayyah menerusi kempen ketenteraan Tariq bin Ziyad, Islam menjadi anutan rasmi wilayah di selatan Eropah itu. Tetapi tidak ramai tahu, pada satu ketika, ada satu negara boleh saja menyertai Andalusia sebagai sebuah wilayah Islam. Negara yang dimaksudkan ialah England semasa era Raja John (24 Disember 1166 – 19 Oktober 1216).

Idea radikal ini timbul tatkala John berdepan pelbagai masalah baik domestik mahupun luar negara. England dibelenggu masalah hutang yang tinggi terutama selepas menebus kekanda John, Raja Richard I/Richard the Lionheart yang dipenjarakan atas titah Maharaja Rom Suci (Holy Roman) ketika itu, Henry VI. England kehilangan pendapatan negara selama dua tahun selepas terpaksa mengumpul 150,000 syiling perak sebagai bayaran tebusan kepada baginda.

Imej makam John di Katedral Worcester.

Ini tidak dibantu oleh tindakan Richard I yang membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk kempen Perang Salib Ketiga (Third Crusade). Walaupun berjaya menakluk Cyprus dan Sicily semasa dalam perjalanan ke Jerusalem, England tak dapat satu sen pun pulangan daripada ekspedisi ketenteraan baginda. Malah, kos ekspedisi Richard I ditanggung menerusi kenaikan kadar cukai dan menjual semua gelaran kepada individu yang berminat dengan harga tinggi.

Bagi mendapatkan semula wang untuk mengisi perbendaharaan England, baginda memerangi Perancis yang diperintah Raja Philip II pada 1193. Bagaimanapun, usaha Richard I terbantut selepas baginda mangkat akibat jangkitan kuman pada luka selepas sebatang anak panah mengenai bahunya. Bukan kena leher ya macam yang dipaparkan dalam filem Robin Hood (2010).

Bila John menaiki takhta, kempen terhadap Philip II diteruskan walaupun selepas memeterai Perjanjian Le Goulet pada 1200. Sikap baginda yang berkelakuan buruk terhadap bangsawan-bangsawan Perancis mengakibatkan ramai yang memilih bersekutu dengan raja Perancis itu. Selain itu, kedudukan kewangan Perancis yang lebih kukuh membolehkan Philip II terus menekan John tanpa henti.

Hal ini tidak dibantu dengan isu pertelagahan antara John dengan Paus Innocent III berkenaan siapa yang patut dilantik sebagai Archbishop of Canterbury. Baginda mahukan John de Gray, Bishop of Norwich sebagai archbishop yang baru tetapi Innocent III yang dianggap agresif dan bercita-cita tinggi mahukan sub-prior archbishop sebelumnya, Reginald. Keengganan John mengikut kehendak Paus berkenaan mengakibatkan pihak Rom memutuskan semua hubungan dengan baginda pada 1209.

Dalam England pula, bangsawan-bangsawan makin panas hati dengan kerenahnya sebagai pemerintah. Ini membawa kepada tercetusnya Perang Baron antara John dengan kelompok aristokrat. Bagi meredakan kemarahan mereka, baginda menandatangani perjanjian Magna Carta yang menjadi batu asas pertama kepada perlembagaan Britain moden. Tetapi itu masih tak cukup dengan pihak pemberontak mendapat sokongan Putera Louis of France yang menginginkan takhta John.

Dengan baginda kini dikeliling ramai musuh ditambah dengan ketiadaan wang dalam tangan, John terpaksa memikirkan satu solusi radikal: bergabung dengan kerajaan Muwahidun yang menguasai Maghribi, sebahagian Tunisa dan Andalusia ketika itu. Walaupun dianggap sebagai musuh kerajaan-kerajaan Kristian Sepanyol, Muwahidun sentiasa bercita-cita meluaskan jajahan mereka. Jika cita-cita ini direalisasikan, kekalahan di Tours beberapa ratus tahun sebelumnya dapat dipadamkan dan digantikan dengan perluasan wilayah Islam di Perancis.

Bagi John pula, mempunyai sekutu seperti Muwahidun amat membantu dalam menangani ancaman Philip II. Selain mengukuhkan kedudukannya sebagai pemerintah, ini turut membantu dari segi perdagangan kerana membuka akses hubungan dengan kerajaan-kerajaan Islam lain termasuk Ayubiyah (Mesir) dan Bani Abbasiyah di Iraq. Ini dapat memulihkan semula perbendaharaan England yang kosong akibat peperangan selama bertahun-tahun.

Justeru, tugas duta ke Muwahidun yang berpangkalan di Rabat diserahkan kepada seorang paderi bernama Robert of London. Semasa menghadap pemerintah Muwahidun ketika itu, Muhammad al-Nasir, Robert menyatakan hajat John untuk berbaiah kepada kerajaan dan sanggup menganut Islam sebagai agama rasmi England. Bagaimanapun, secara rahsia, beliau memberitahu al-Nasir bahawa John merupakan seorang pemerintah yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Sebagai menghargai kejujuran Robert, baginda mengurniakannya banyak hadiah. Pada masa sama, al-Nasir turut menyatakan penolakan terhadap gagasan John itu. Pada hemat baginda, jika ia dipersetujui sekalipun, tidak mustahil raja England itu akan menikam baginda dari belakang sekiranya keadaan memihak kepadanya. Ini menjadikan John jauh lebih merbahaya daripada raja-raja Kristian Sepanyol.

Sebaik pulang, Robert menipu John bahawa diskusi England-Muwahidun berjalan lancar dengan menunjukkan hadiah-hadiah al-Nasir. Sebagai ganjaran, baginda mengurniakan lebih banyak hadiah kepada Robert dan melantiknya sebagai abbot di St Albans. Bagaimanapun, pembohongan beliau terbongkar selepas Robert terlepas cakap kepada seorang pendeta bernama Matthew Paris. Paris kemudiannya merekodkan Robert kemudiannya ditahan atas dakwaan menyeleweng dana gereja.

Yang pasti, idea pakatan ini tidak pernah menjadi kenyataan. Ini selepas al-Nasir mangkat pada 1213 dengan John pula menyusul beberapa tahun kemudian. Walaupun ramai sejarawan Inggeris menolak kisah ini sebagai mitos, ia tak sepatutnya diketepikan begitu saja.

Kalau tak, apa kejadahnya para pemerintah Inggeris/British di kemudian hari seperti Elizabeth I memilih berpakat dengan Turki Uthmaniyah? Ini menunjukkan bahawa kerajaan Islam dan pemerintahnya boleh dipercayai sebagai sekutu yang setia dan boleh diharap – sesuatu yang cuba dicapai John beratus tahun sebelumnya. Andai ini direalisasikan, sejarah Eropah yang dikenali hari ini akan berubah 360 darjah.

RUJUKAN

Stewart, G. (2008, 16 Februari). The king who wanted Sharia England. The Times.

SideQuest. (2022, 7 Mei). That Time England Almost Converted to Islam.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply