Dunia hari ini sering disajikan dengan siri syarahan moral dari sebuah negara besar di blok Barat.
Amerika Syarikat begitu gemar menobatkan diri mereka sebagai 'polis dunia' dan bapa pelindung hak asasi manusia sejagat.
Namun, di sebalik sut mewah ahli politik di Washington dan bangunan megah Rumah Putih, tahukah anda bahawa tiang seri negara gergasi ini sebenarnya terpacak di atas lautan darah?
Mari kita selak lembaran sejarah hitam pada abad ke-19, sebuah kisah rompakan tanah yang sangat kejam, terancang, dan dilindungi sepenuhnya oleh orang politik.
Kisah ini bermula di sebuah wilayah pergunungan yang sangat indah dan mendamaikan, dikenali sebagai Black Hills atau Paha Sapa.
Bagi kaum asli Lakota dan Sioux, Black Hills bukanlah sekadar tanah biasa. Ia adalah tanah suci, tempat bersemadinya roh nenek moyang dan pusat spiritual mereka.
Menyedari hakikat ini, kerajaan Amerika Syarikat pada asalnya telah memeterai sebuah perjanjian rasmi yang dinamakan Perjanjian Fort Laramie pada tahun 1868.
Di atas kertas perjanjian yang ditandatangani oleh para jeneral dan pemimpin politik Washington, mereka berjanji bahawa Black Hills adalah hak milik kekal kaum asli sampai bila-bila.
Tiada seorang pun pendatang kulit putih dibenarkan menceroboh, menetap, atau merampas tanah suci tersebut.
Tetapi, janji orang politik hanyalah dakwat murah di atas kertas.
Beberapa tahun kemudian, sebuah berita menggemparkan telah tersebar luas. Ekspedisi tentera yang diketuai oleh Jeneral George Custer telah menemui ketulan emas yang sangat banyak di Black Hills.
Bau emas ini telah membangkitkan nafsu serakah para penjarah.
Beribu-ribu pelombong haram, samseng jalanan, dan pendatang kulit putih mula berpusu-pusu menceroboh masuk ke tanah suci kaum asli ini.
Mereka datang tanpa sebarang rasa bersalah.
Mereka menebang pokok usang, meracun sungai yang jernih dengan sisa lombong, dan membina kem-kem pelacuran serta perjudian di atas tanah pusaka orang lain.
Bayangkan perasaan kaum asli Lakota pada waktu itu.
Mereka melihat tanah suci yang dipelihara ratusan tahun dijarah dan dikotorkan di depan mata.
Apabila pahlawan kaum asli bangkit mempertahankan hak dan tanah air mereka, menyuruh puak penceroboh ini keluar, satu senario yang amat menjijikkan mula berlaku.
Puak penjarah dan pelombong haram ini mula bermain wayang 'play victim'.
Mereka menulis surat kepada surat khabar di bandar-bandar besar, menangis dan meratap kononnya mereka sedang diburu, dizalimi, dan dibunuh tanpa belas kasihan.
Media cetak yang dikawal oleh pihak elit mula melukis karikatur yang memaparkan pendatang kulit putih yang suci sedang disembelih oleh 'orang asli yang ganas, buas, dan tidak bertamadun'.
Lalu, di manakah ahli politik dan pemimpin kerajaan ketika ketidakadilan ini berlaku?
Di sinilah bermulanya tahap kejahatan yang paling iblis.
Presiden Amerika Syarikat pada waktu itu, Ulysses S. Grant, yang sepatutnya menegakkan undang-undang dan mematuhi Perjanjian Fort Laramie, telah memilih untuk bersekongkol dengan penjenayah.
Ahli-ahli politik di Washington mula masuk campur. Mereka tidak menangkap pelombong haram yang mencuri tanah.
Sebaliknya, mereka membuat sidang media secara terbuka dan mendakwa bahawa kaum asli mempunyai 'terlalu banyak tanah' dan kawasan emas itu perlu diserahkan demi kemajuan negara.
Pemilik tanah yang sah langsung tidak diberi ruang untuk bersuara.
Apabila kaum asli enggan menyerahkan Black Hills, ahli politik di Washington dengan angkuhnya telah membatalkan perjanjian keamanan tersebut.
Mereka menghantar pasukan kavalri tentera darat yang lengkap dengan senapang dan meriam untuk melindungi pelombong haram yang mencuri!
Tuan tanah asal hanya mampu terkelip-kelip biji mata melihat jeneral tentera bersalaman, bergelak tawa, dan minum arak bersama ketua pelombong haram yang merampas rumah mereka.
Penceroboh dilindungi, manakala pemilik rumah diisytiharkan sebagai pengganas yang perlu diburu.
Kekejaman ini memuncak dengan siri peperangan dan pembunuhan beramai-ramai yang amat kejam, sepertimana yang berlaku dalam Tragedi Wounded Knee.
Khemah-khemah kaum asli dibakar pada waktu subuh. Wanita yang sedang menggendong bayi ditembak mati dari jarak dekat.
Kanak-kanak yang berlari ketakutan di dalam salji diburu dan disembelih tanpa sebarang belas ihsan.
Kesemua pembunuhan kejam ini mendapat lesen besar dan tepukan gemuruh daripada ahli politik yang duduk goyang kaki di kerusi empuk Rumah Putih.
Akhirnya, kaum asli yang terselamat telah diusir keluar seperti anjing kurap, dikurung di dalam kawasan tanah rizab yang gersang, tandus, dan tiada hasil bumi.
Peristiwa ini meninggalkan satu parut sejarah yang sangat mendalam dan berdarah. Tetapi, adakah perjuangan kaum Sioux ini mati di situ sahaja?
Tidak sama sekali.
Pada tahun 1980, Mahkamah Agung Amerika Syarikat akhirnya terpaksa mengakui dosa lampau kerajaan mereka sendiri.
Mahkamah memutuskan bahawa Black Hills telah dirampas secara haram dan mengarahkan kerajaan AS membayar pampasan bernilai ratusan juta dolar kepada kaum Sioux.
Hari ini, wang pampasan berdarah itu telah beranak pinak di dalam akaun amanah kerajaan sehingga mencecah lebih dua bilion dolar!
Adakah kaum asli ini gelap mata dan mengambil wang tersebut untuk keluar dari kemiskinan hidup di kem pelarian?
Jawapannya, tidak. Sehingga ke saat ini, setiap generasi kaum Sioux dengan keras dan tegas menolak wang berbilion ringgit itu.
Mereka memegang satu prinsip keramat yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit, iaitu "Black Hills tidak untuk dijual".
Bagi mereka, menerima wang tersebut bermaksud mereka menghalalkan rompakan dan pembunuhan nenek moyang mereka. Mereka hanya mahukan tanah suci mereka dikembalikan, titik.
Sikap kental kaum Sioux ini membuktikan bahawa harga sebuah tanah air, keturunan, dan maruah bangsa tidak akan sesekali boleh dinilaikan dengan wang kertas sang penjajah.
Apa akan berlaku jika kita terus membiarkan pemimpin korup dan ahli politik yang bernafsu syaitan ini berleluasa?
Kehancuran sesebuah negara itu tidak bermula dari senjata musuh di sempadan. Ia bermula dari dalam.
Ia bermula apabila ahli politik mula melindungi perompak dan menghukum mangsa.
Ia bermula apabila undang-undang negara boleh dijual beli di atas meja rundingan, dan jeritan rakyat marhaen yang dizalimi ditutup dengan pelbagai alasan 'pembangunan'.
Jika pemimpin sebegini dibiarkan terus berkuasa tanpa ditegur, mereka akan mengorbankan apa sahaja demi poket dan proksi mereka.
Hari ini tanah jiran kita yang dirampas, esok lusa giliran rumah kita pula yang akan dibakar.
Oleh sebab itulah, pemimpin negara-negara lain, ahli akademik, cendekiawan, dan seluruh masyarakat dunia tidak boleh kekal diam membisu!
Membisu di hadapan kezaliman adalah satu pengkhianatan kepada kemanusiaan.
Pemimpin yang mempunyai iman dan harga diri wajib bangkit bersuara.
Mereka mesti menggunakan pentas antarabangsa untuk menekan, menghukum, dan mendedahkan wajah sebenar puak penjarah ini.
Kita tidak boleh membiarkan taktik 'play victim' musuh mengaburi mata dunia berulang kali.
Setiap kebisuan kita hanya akan memberikan peluru percuma kepada penjahat untuk terus meratah nyawa golongan yang lemah.
Subhanallah. Jika kita renungkan kembali nasib yang menimpa kaum asli di benua Amerika ini, ia adalah satu cerminan yang sangat tepat dengan apa yang sedang berlaku kepada saudara seagama kita di Timur Tengah pada saat ini dan mungkin juga kepada kita.
Skripnya tetap sama. Penjenayah merampas tanah, 'play victim' apabila dihalau, dan akhirnya puak peng**nas ini mendapat perlindungan mutlak dari ahli politik dan para pemimpin.
Tuan-puan, sejarah dunia adalah guru yang paling jujur tetapi amat kejam. Jangan sesekali kita membenarkan ahli politik yang korup untuk memperjudikan tanah air kita.
Berdirilah teguh mempertahankan hak, bersuaralah menentang kezaliman, dan jangan pernah sesekali tunduk kepada naratif palsu sang penjajah.




No comments yet