Selalu tak dengar ayat ni?
“iPhone ni selamat, susah nak kena hack”
Tapi baru-baru ni, satu ancaman siber yang diberi nama DarkSword mula dikesan oleh penyelidik keselamatan dunia.
Dan yang lagi buat orang Malaysia patut ambil serius sebab negara kita sendiri pun termasuk dalam senarai sasaran.
Menurut laporan daripada penyelidik keselamatan termasuk Google, Lookout dan iVerify, ratusan juta pengguna iPhone berpotensi terdedah kepada serangan kalau mereka masih guna versi iOS lama yang belum dikemas kini.
Dan ya, serangan ini dah berlaku.
Penggodam yang dipercayai datang dari beberapa negara termasuk China dan Rusia telah menggunakan alat bernama DarkSword untuk mencuri data daripada iPhone.
Sasaran mereka termasuk pengguna di Ukraine, Arab Saudi, Turki dan Malaysia.
Apa sebenarnya DarkSword ni?
DarkSword ni adalah apa yang dipanggil sebagai exploit chain. Maksudnya, penggodam tak guna beberapa lubang keselamatan serentak untuk pecah masuk ke dalam sistem iPhone.
Menurut laporan Google, DarkSword menggunakan sekurang-kurangnya enam kelemahan berbeza dalam iOS untuk ambil alih peranti.
Cara dia pula cukup licik. Serangan biasanya bermula dari pelayar Safari. Pengguna cuma perlu klik satu link, itu je. Tak perlu download apa-apa pun.
Inilah yang dipanggil sebagai drive-by download. Sekali tekan, terus pintu terbuka.
Lepas tu, dalam masa beberapa saat saja, penggodam boleh tarik keluar pelbagai data penting. Antaranya termasuk password WiFi, mesej, sejarah panggilan, lokasi, data SIM, rekod pelayaran internet, malah data kesihatan dan nota peribadi.
Lagi ngeri, semua ini berlaku dengan pantas dan senyap. Lepas ambil data, sistem tu “bersihkan diri” dan hilang macam tak pernah wujud.
Macam pencuri masuk rumah, ambil barang, kemudian lap kesan jari dan keluar.
Itu level DarkSword.
Yang lagi membimbangkan, alat ini sudah digunakan sekurang-kurangnya sejak November 2025 oleh kumpulan pengawasan komersial dan juga pihak yang disyaki ditaja oleh negara.
Bukan budak-budak main hack.
Jadi iPhone mana yang berisiko?
Peranti yang menggunakan iOS versi 18.4 hingga 18.7 adalah antara yang paling terdedah.
Jumlahnya dianggarkan sekitar 270 juta peranti di seluruh dunia.
Namun laporan lain turut menunjukkan bahawa kelemahan ini juga berkait dengan versi iOS lebih lama seperti iOS 13 hingga iOS 17.2.1, terutamanya jika tidak dikemas kini dengan patch terbaru.
Maksudnya, kalau kau jenis malas update iPhone sebab takut bateri cepat habis atau storage penuh, inilah risikonya.
Dan sebab itulah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tampil beri amaran rasmi.
MCMC secara terbuka menggesa semua pengguna iPhone di Malaysia untuk segera kemas kini iOS masing-masing selepas penemuan exploit DarkSword ini.
Kalau tak update, risiko tetap ada.
Apple sendiri sebenarnya sudah tampal kelemahan ini dalam kemas kini terbaru mereka. Dalam dokumentasi keselamatan bertarikh 19 Mac 2026, Apple mengesahkan bahawa beberapa kelemahan kritikal telah diperbaiki.
Seperti biasa, Apple tak dedahkan secara terperinci bagaimana exploit itu berfungsi. Ini memang standard dalam dunia keselamatan siber untuk elakkan lebih ramai pihak menyalahgunakan maklumat tersebut.
Google pula mengesahkan bahawa semua kelemahan yang digunakan oleh DarkSword telah ditampal sepenuhnya dalam iOS 26.3.
Dan Apple juga keluarkan kemas kini tambahan untuk iOS 15 dan iOS 16 bagi melindungi pengguna peranti lama.
Jadi sekarang, kalau peranti kau dah berada pada versi seperti iOS 15.8.7, iOS 16.7.15, iOS 17.7.7, iOS 18.7.6 atau iOS 26.3.1 ke atas, risiko serangan sebenarnya jauh lebih rendah.
Tapi kalau kau masih guna iOS 13 atau iOS 14?
Itu dah kira zon merah.
Sistem tu dah tak dapat perlindungan moden. Ibarat guna pintu kayu reput untuk rumah atau memang tunggu masa je nak pecah masuk.
Apa yang patut pengguna buat sekarang?
Update.
Itu saja.
Masuk Settings, pergi General, tekan Software Update dan install versi terbaru.
Kalau atas sebab tertentu kau tak boleh update, contohnya guna iPhone lama, Apple cadangkan untuk aktifkan satu fungsi khas yang dipanggil Lockdown Mode.
Ini adalah mode keselamatan ekstrem yang direka untuk lindungi pengguna daripada ancaman digital tahap tinggi.
Memang bukan untuk semua orang, tapi dalam situasi macam ni, ia boleh jadi benteng terakhir.
Dalam masa sama, pengguna juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dengan link yang diklik terutama yang datang dari sumber tak dikenali.
Sebab dalam kes DarkSword, satu klik saja dah cukup untuk buka pintu kepada penggodam.
Realitinya, ini bukan kali pertama sistem Apple diuji.
Tapi kes DarkSword ini menunjukkan tak ada sistem yang betul-betul kebal.




No comments yet