Setiap kali malam raya, takbir raya pasti berkumandang.
“Allahuakbar… Allahuakbar…”
Tapi kita jarang tanya, dari mana sebenarnya datangnya takbir raya ni?
Ramai ingat ia sekadar amalan biasa waktu raya. Tapi kalau kita selak sejarah, rupa-rupanya takbir ini lahir dari satu detik paling tegang dalam sejarah Islam iaitu semasa Perang Khandak.
Perang ni berlaku dalam bulan Syawal tahun ke-5 Hijrah. Waktu tu, Madinah hampir jatuh. Gabungan tentera Quraisy bersama kabilah Arab lain datang kepung kota Madinah. Jumlah mereka hampir 10,000 orang.
Tentera Islam? Hanya sekitar 3,000.
Bezanya terlalu jauh.
Dalam keadaan terdesak tu, datang satu idea luar biasa daripada Salman al-Farisi dengan gali parit besar sebagai benteng. Dari situlah nama “Khandak” (parit) tu datang.
Musuh tak pernah jumpa strategi macam ni.
Tapi cabaran sebenar bukan setakat tentera depan mata.
Masalah datang dari belakang.
Bani Quraizah yang sepatutnya sekutu umat Islam tiba-tiba belot. Mereka rancang nak serang dari belakang Madinah. Waktu tu, umat Islam betul-betul dalam keadaan terhimpit.
Al-Quran sendiri gambarkan situasi ni:
هُنَالِكَ ابْتُلِيَ الْمُؤْمِنُوْنَ وَزُلْزِلُوْا زِلْزَالًا شَدِيْدًا
“Di situlah diuji orang-orang mukmin dan digoncangkan dengan goncangan yang dahsyat.”
(Surah Al-Ahzab: 11)
Bayangkan, depan musuh, belakang pengkhianat.
Makanan makin habis. Semangat makin goyah.
Tapi di saat paling kritikal tu, datang pertolongan Allah.
Seorang pemimpin musuh, Nua’im bin Mas’ud masuk Islam secara senyap. Rasulullah SAW arahkan dia guna strategi untuk pecah-belahkan pakatan Ahzab.
Dan ia berjaya.
Kemudian datang satu lagi bantuan yang lebih luar biasa.
Allah turunkan ribut taufan.
Angin kuat hancurkan khemah, padamkan api, huru-harakan seluruh kem musuh. Dalam satu malam je, tentera yang datang dengan penuh yakin terus jadi kacau-bilau.
Al-Quran rakamkan:
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا اذْكُرُوْا نِعْمَةَ اللّٰهِ عَلَيْكُمْ اِذْ جَاۤءَتْكُمْ جُنُوْدٌ فَاَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيْحًا وَّجُنُوْدًا لَّمْ تَرَوْهَا
“Wahai orang beriman, ingatlah nikmat Allah ketika tentera datang kepada kamu, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang kamu tidak melihatnya…”
(Surah Al-Ahzab: 9)
Esok pagi, musuh berundur.
Tanpa pertempuran di medan perang tapi kemenangan itu tetap milik Islam.
Dan di sinilah lahirnya takbir.
Rasulullah SAW bersabda:
“Allahuakbar, bergembiralah wahai orang-orang Muslimin…”
Tentera Islam terus melaungkan:
اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ
Dan dari situlah, takbir ini terus diwariskan.
Sampai hari ni, setiap kali datang Syawal, kita ulang balik lafaz yang sama sebagai tanda kemenangan selepas sebulan berpuasa.
Kalau kita dengar versi penuh takbir raya, sebenarnya ia terus merujuk kepada peristiwa ni:
اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا
وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
لَا إِلٰهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ
صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ
وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ
“Allah Maha Besar…
Dia menepati janji-Nya,
menolong hamba-Nya,
memuliakan tentera-Nya,
dan mengalahkan pakatan Ahzab…”
Nampak tak?
Ayat “وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ” tu jelas tentang Allah yang kalahkan pakatan Ahzab.
Itulah Perang Khandak.
Itulah asal usul takbir raya.
Menariknya, di Malaysia kita dengar takbir ni dalam versi yang mendayu-dayu. Perlahan, syahdu, kadang sampai orang menangis.
Berbeza dengan negara Arab yang lebih lantang dan bersemangat.
Kenapa jadi macam tu?
Sebab kita warisi taranum jiharkah, satu alunan bacaan Al-Quran yang berasal dari Parsi dan dikembangkan di Hijjaz. Alunan ni memang terkenal dengan nada sedih, lembut dan menusuk jiwa.
Biasanya digunakan untuk ayat-ayat doa, kiamat atau rintihan.
Bila takbir dibaca dengan gaya ni, automatik ia jadi sayu.




No comments yet