Gila betul Kimi Antonelli ni.
Baru umur 19 tahun dah dapat pole position di Grand Prix China siap pecahkan rekod lama Sebastian Vettel sebagai pole sitter termuda dalam sejarah F1.
George Russell pulak sekali lap je masa Q3 terus dapat P2.
Macam mana sebenarnya Petronas boleh terjebak dalam F1?
Tapi untuk faham kenapa nama Petronas sangat penting dalam cerita ini, kita kena undur jauh ke belakang.
Cerita ini bermula pada 1995.
Pada masa itu, seorang lelaki Switzerland bernama Peter Sauber sedang mencari penaja untuk pasukan Formula 1 miliknya.
Sauber bukan pasukan kecil, tetapi ia juga bukan gergasi seperti Ferrari atau McLaren. Mereka perlukan rakan industri yang kuat untuk terus hidup dalam sukan yang sangat mahal ini.
Dalam masa yang sama, di Malaysia, Petronas yang dah bertapak sekitar dua dekad ditubuhkan. Syarikat ini diasaskan pada 1974 selepas kerajaan memberi hak kepada Petronas untuk mengurus semua sumber minyak dan gas negara.
Dari segi perniagaan, Petronas sudah mula berkembang ke luar negara. Tetapi dari segi jenama global, nama “Petronas” masih belum begitu dikenali di Barat.
Jadi kedua-dua pihak sebenarnya saling memerlukan.
Peter Sauber berjaya memenangi persaingan dengan beberapa pasukan lain seperti Jordan, Arrows dan Pacific untuk mendapatkan tajaan Petronas.
Pada Grand Prix Monaco 1995, jentera Sauber-Ford buat pertama kali membawa logo Petronas di sayap belakangnya.
Nilai tajaan itu sekitar USD4 juta untuk dua musim. Bagi Petronas, ini adalah langkah pertama untuk masuk ke pentas sukan paling elit dalam dunia automotif.
Pada masa itu, Malaysia sendiri sedang berada dalam fasa besar pembangunan. Tun Dr Mahathir Mohamad mahu Malaysia muncul sebagai negara industri dan negara pengeluar bahan mentah.
Projek seperti Proton, KLCC, Multimedia Super Corridor dan juga Litar Antarabangsa Sepang lahir daripada visi itu.
Sepang mula menganjurkan Grand Prix Malaysia pada 1999 dan perlumbaan itu sendiri membawa nama Petronas Malaysian Grand Prix.
Jadi pada waktu itu, Malaysia bukan sahaja mempunyai syarikat yang menaja pasukan F1, tetapi juga menjadi tuan rumah kepada salah satu perlumbaan utama dalam kalendar Formula 1.
Namun bagi pengurusan Petronas, F1 bukan sekadar soal glamor atau kebanggaan nasional.
Bekas pengerusi dan CEO Petronas, Tan Sri Azizan Zainul Abidin pernah mengingatkan bahawa dalam perniagaan, patriotisme sahaja tidak cukup. Setiap pelaburan mesti memberi pulangan. Prinsip itu penting kerana Petronas ialah syarikat komersial yang bertanggungjawab membangunkan nilai daripada sumber negara.
Sebab itu pembabitan Petronas dalam F1 dari awal lagi bukan sekadar meletakkan logo pada kereta lumba.
Mereka mahu belajar teknologi.
Pada 1996, Petronas dan Sauber menubuhkan satu usaha sama bernama Sauber Petronas Engineering.
Melalui platform ini, jurutera Malaysia mula terlibat secara langsung dalam pembangunan teknologi automotif tahap tertinggi.
Daripada kerjasama ini lahir satu projek yang ramai orang Malaysia hampir lupa hari ini iaitu enjin Petronas E01.
Enjin ini dibangunkan sekitar 1997 hingga 1998 oleh jurutera Petronas bersama pasukan Sauber di Switzerland dan Malaysia. Ia adalah enjin empat silinder 2.0 liter dengan variable valve timing dan blok aluminium ringan.
Ia mampu menghasilkan lebih 200 kuasa kuda, satu angka yang sangat mengagumkan untuk projek yang dibangunkan dalam masa kurang dua tahun.
Ada yang menyifatkan E01 sebagai “VTEC versi Malaysia”.
Malangnya, projek ini tidak mendapat sokongan yang mencukupi daripada industri automotif tempatan.
Proton ketika itu memilih untuk membangunkan enjin sendiri. Walaupun E01 menunjukkan potensi besar, ia tidak pernah masuk pengeluaran besar-besaran.
Namun pengalaman teknikal yang diperoleh melalui projek ini memberi kesan besar kepada pembangunan teknologi Petronas.
Dalam masa yang sama, perjalanan Petronas dalam Formula 1 terus berkembang.
Sepanjang akhir 1990-an dan awal 2000-an, jentera Sauber dengan logo Petronas dipandu oleh ramai pemandu terkenal seperti Jean Alesi, Johnny Herbert, Nick Heidfeld, Felipe Massa dan Giancarlo Fisichella.
Pada musim 2001, Sauber Petronas mengejutkan ramai apabila menamatkan musim di tempat keempat kejuaraan pembina bersama Heidfeld dan seorang rookie muda bernama Kimi Räikkönen.
Bagi peminat lama F1 di Malaysia, era ini sangat nostalgik.
Setiap kali Grand Prix Malaysia di Sepang, jentera Sauber dengan warna hijau Petronas pasti mendapat sorakan paling kuat daripada penonton tempatan.
Masuk 2005, satu lagi perubahan besar berlaku apabila pasukan Sauber dibeli oleh BMW dan dijenamakan semula sebagai BMW Sauber.
Petronas kekal sebagai rakan utama pasukan itu.
Kemuncaknya datang pada 2008 apabila Robert Kubica memenangi Grand Prix Kanada dan BMW Sauber menamatkan musim di tangga ketiga pembina.
Itu antara musim terbaik dalam sejarah kerjasama Petronas dengan Sauber.
Namun selepas musim 2009, BMW menarik diri daripada Formula 1.
Di sinilah Petronas membuat keputusan yang mungkin paling penting dalam sejarah pembabitan mereka dalam sukan ini.
Pada hujung 2009, Petronas menandatangani kerjasama strategik dengan Mercedes-Benz.
Musim 2010 menyaksikan kelahiran Mercedes GP Petronas yang kemudian dikenali sebagai Mercedes-AMG Petronas Formula One Team.
Pasukan ini menampilkan dua pemandu besar iaitu Michael Schumacher yang kembali daripada persaraan dan Nico Rosberg.
Pada awalnya, Mercedes belum menjadi pasukan dominan. Mereka sedang membina asas teknikal pasukan.
Segalanya berubah apabila seorang pemandu British menyertai pasukan itu pada 2013.
Namanya Lewis Hamilton.
Hamilton menjadi wajah utama Mercedes dan Petronas selama lebih satu dekad.
Bermula pada 2014, Mercedes memulakan era dominasi yang jarang berlaku dalam sejarah Formula 1.
Dari 2014 hingga 2021, Mercedes memenangi lapan kejuaraan pembina berturut-turut.
Hamilton pula memenangi enam kejuaraan dunia bersama pasukan itu, manakala satu lagi dimenangi oleh rakan sepasukannya Nico Rosberg pada 2016.
Dalam tempoh itu, nama Petronas sentiasa berada di tengah-tengah kejayaan tersebut.
Petronas juga membangunkan teknologi bahan api, pelincir enjin, pelincir gearbox, cecair penyejukan ERS dan sistem hidraulik untuk jentera Mercedes.
Dalam Formula 1 moden, setiap perincian kecil boleh menentukan kemenangan dan teknologi bendalir Petronas menjadi sebahagian penting daripada prestasi kereta Mercedes.
Itulah sebabnya apabila Mercedes menang, Petronas juga menang.
Hari ini, Formula 1 sudah memasuki era baharu.
Lewis Hamilton telah berpindah ke Ferrari dan Mercedes kini bergantung kepada generasi baharu pemandu iaitu George Russell dan Andrea Kimi Antonelli.
Di Grand Prix Australia, Mercedes-AMG Petronas membuka musim 2026 dengan keputusan P1–P2.
Russell menang perlumbaan, Antonelli di tempat kedua. Untuk pasukan yang beberapa tahun kebelakangan ini bergelut mengejar Red Bull, keputusan itu terasa seperti Mercedes mungkin sudah kembali.
Jika keputusan awal musim 2026 menjadi petunjuk, mungkin kita sedang menyaksikan satu lagi bab menarik dalam sejarah pasukan ini.
Adakah musim ini akan menjadi musim kebangkitan baharu untuk Mercedes-Petronas?




No comments yet