Kalau artikel sebelum ni kita dah sembang pasal kenapa highway direct dari KL ke Kelantan lambat sangat nak siap, kali ni kita masuk satu lagi soalan yang dah lama bermain dalam kepala orang Pantai Timur.
Kalau kita tengok atas peta, perkara ni memang nampak pelik. LPT1 dah sambung dari Karak ke Jabor. LPT2 pula dah sambung dari Jabor sampai Kuala Nerus dekat Kuala Terengganu dan dibuka penuh pada 31 Januari 2015.
Jadi secara logik, fasa seterusnya memang patut terus naik ke Kelantan.
Tapi sampai hari ni LPT3 ni tak nampak bayang.
Masalah sebenar LPT3 ni ialah projek ini terlalu lama hidup atas kertas, terlalu banyak kali disebut, terlalu banyak kali dikaji, terlalu banyak kali diolah semula sampai rakyat pun susah nak bezakan mana pengumuman sebenar, mana kerja awalan, mana kajian dan mana sekadar janji politik.
Sebenarnya, idea LPT3 sudah dibincangkan lama. Pada 2015, semasa LPT2 baru sahaja siap, jawapan rasmi di Parlimen sudah menyebut bahawa keputusan dasar mengenai LPT3 tertakluk kepada kelulusan Rancangan Malaysia Kesebelas.
Pada Ogos tahun yang sama pula, Najib Razak menyatakan kerajaan sedang mengkaji jajaran LPT3 dari Gemuruh ke Pengkalan Kubor, tetapi kelulusan akhir masih bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan pusat. Maksud mudahnya, dari awal lagi masalah utama LPT3 bukan “nak atau tak nak”, tetapi “mampu atau tidak”. 
Lepas itu datang pula episod kerajaan bertukar. Pada 2018, ketika kerajaan Pakatan Harapan ambil alih pusat, projek LPT3 disebut semula.
Pada September 2018, kerajaan kata LPT3 akan diberi keutamaan berbanding beberapa projek mega lain untuk kemudahan rakyat Terengganu dan Kelantan.
Sebulan sebelumnya pula, dilaporkan keputusan sama ada projek itu diteruskan atau tidak akan diumumkan dalam Belanjawan 2019. Ertinya, masa PH memerintah, LPT3 bukan dibuang terus ke laut. Ia masih ada dalam radar kerajaan. 
Pada April 2019, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi memaklumkan bahawa kajian terhadap pembangunan seterusnya LPT3 sedang dilaksanakan. Beberapa bulan kemudian, menurut jawapan rasmi yang diumumkan pada 2020, pelaksanaan kerja awalan LPT3 telah diluluskan melalui surat EPU bertarikh 3 Julai 2019 dengan jumlah kos kerja awalan RM35 juta.
Lepas kerajaan bertukar lagi pada 2020 dan PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan melalui Perikatan Nasional, projek ini sekali lagi bergerak di atas kertas. Pada 3 Ogos 2020, Menteri Kerja Raya ketika itu, Fadillah Yusof mengumumkan bahawa pelaksanaan pembinaan LPT3 telah diluluskan dari segi kerja-kerja awalan dan kerja itu bermula pada Ogos 2020 serta dijangka siap pada April 2022.
Dalam erti kata lain, masa PAS ada bersama kerajaan pusat, memang ada perkembangan nyata pada peringkat kerja awalan. Jadi kalau orang kata era itu langsung tak buat apa-apa, itu tak tepat.
Masalahnya, apa yang bergerak ketika itu ialah kerja awalan, ukur, siasatan tanah dan penyediaan laporan, bukan kerja pembinaan fizikal lebuh raya. 
Dalam tempoh yang sama juga, kerajaan negeri Kelantan turut mengemukakan cadangan sendiri. Pada November 2020, Kelantan dilaporkan mengemukakan dua pilihan pelaksanaan.
Cadangan pertama ialah memanjangkan jajaran ke Taman Perindustrian Tok Bali, menjadikan panjang sekitar 100 km dengan anggaran kos RM3 bilion termasuk naik taraf FT482 dari Tok Bali ke Pasir Puteh.
Cadangan kedua pula ialah melaksanakan keseluruhan jajaran 155 km secara Private Financial Initiative dengan anggaran sekitar RM4.34 bilion.
Di sini kita sudah nampak satu masalah besar LPT3. Dari dulu lagi projek ini tidak benar-benar stabil dari segi bentuk akhir. Ada cadangan terus ke Pengkalan Kubor. Ada cadangan singgah Tok Bali. Ada cadangan PFI untuk keseluruhan laluan. Bila hujung projek pun masih berubah-ubah, pelaksanaan memang susah nak dimuktamadkan. 
Masuk 2021 dan 2022, cerita LPT3 masih belum jadi lebih jelas. Dalam sesi libat urus pasca RMK-12, dokumen rasmi perancangan kerajaan menunjukkan LPT3 dilihat dalam dua komponen besar iaitu Kuala Terengganu ke Tok Bali dan Tok Bali ke Pengkalan Kubor. Ini menunjukkan kerajaan memang menganggap jajaran ke utara Kelantan itu penting dalam perancangan wilayah.
Pada 6 September 2022 pula, Fadillah memaklumkan bahawa kajian pembinaan LPT3 sudah siap dan telah diserahkan kepada EPU. Beberapa hari kemudian, Ismail Sabri Yaakob pula mengumumkan kerajaan bersetuju meneruskan empat projek utama di Pantai Timur, dan LPT3 termasuk dalam senarai itu.
Tetapi di sinilah masalah paling besar LPT3 terserlah. Walaupun kajian siap, walaupun diumum hendak diteruskan, projek itu tetap tidak masuk ke fasa pembinaan fizikal. Ada banyak lagi lapisan masalah lain yang lebih besar daripada slogan politik.
Antara masalah paling besar ialah model pembiayaan. Pada Mac 2024, Ahmad Maslan memaklumkan bahawa cadangan pembinaan LPT3 akan menggunakan model BOT, iaitu bina, kendali dan pindah. Maksudnya, syarikat swasta perlu membiayai pembinaan melalui pinjaman bank, kemudian mendapatkan pulangan melalui kutipan tol sebelum menyerahkan semula projek kepada kerajaan selepas tempoh tertentu.
Kenyataan itu sendiri memberi bayangan jelas bahawa kerajaan tidak mahu menanggung kos terus daripada dana awam seperti projek jalan biasa. Ia mahu cari model yang tidak terlalu menekan fiskal kerajaan. 
Kenapa jadi macam itu? Sebab kos projek ini sudah melambung terlalu tinggi. Mengikut jawapan rasmi di Dewan Rakyat pada November 2024, kos cadangan LPT3 dianggarkan meningkat kepada RM9.8 bilion berbanding anggaran RM2.867 bilion pada 2009.
Kementerian Kerja Raya menjelaskan bahawa kerana kajian asal dibuat kira-kira 15 tahun lebih awal, kementerian telah menjalankan kerja awalan pada 2020 untuk memperincikan semula jajaran dan kos.
Maksudnya, kajian lama sudah tak boleh pakai bulat-bulat sebab harga tanah, bahan binaan, reka bentuk dan realiti trafik semua sudah berubah. Projek yang dulu nampak “boleh buat” pada harga bawah RM3 bilion kini sudah jadi projek hampir RM10 bilion. 
Bila kos dah naik macam itu, satu lagi masalah muncul iaitu pulangan pelaburan. Lebuh raya bertol memerlukan trafik yang cukup tinggi untuk meyakinkan konsesi dan bank. Dalam penjelasan rasmi 2024 dan 2025, kerajaan berkali-kali menyebut bahawa perkara yang masih diteliti ialah minat dan kemampuan syarikat konsesi, model pembiayaan serta implikasi kadar tol kepada pengguna.
Ertinya, kerajaan sendiri belum jumpa formula yang meyakinkan semua pihak. Kalau tol terlalu tinggi, rakyat bising. Kalau tol rendah, konsesi tak berminat. Kalau kerajaan tanggung semua, fiskal pula terbeban. 
Satu lagi benda yang orang selalu terlepas pandang ialah jajaran dan panjang projek pun berubah ikut masa. Dalam kenyataan-keterangan lama, LPT3 kerap disebut sebagai laluan dari Gemuroh ke Pengkalan Kubor atau Tumpat, dengan panjang sekitar 147 hingga 155 km. Tapi dalam jawapan-jawapan rasmi mutakhir pada 2024 dan 2025, projek ini digambarkan sebagai laluan 122 km dari Kampung Gemuroh di Kuala Terengganu ke Kampung Tunjong di Kota Bharu.
Bila hujung projek sendiri berubah daripada Pengkalan Kubor/Tumpat kepada Tunjong, itu menunjukkan kerajaan masih belum benar-benar memuktamadkan skop akhir. Dan bila skop tak muktamad, kau tak boleh terus lompat ke tender pembinaan penuh. 
Kemudian datang pula faktor persaingan keutamaan dalam pembangunan Pantai Timur. Kerajaan berulang kali menyebut tumpuan semasa ialah menyiapkan projek lain terlebih dahulu seperti Central Spine Road dan Lebuhraya Kota Bharu–Kuala Krai.
Dalam masa yang sama, ECRL juga sedang bergerak sebagai projek rel besar yang menghubungkan Pantai Timur dengan Lembah Klang.
Dari sudut perancangan kerajaan, semua projek ini bersaing untuk bajet, perhatian dan justifikasi ekonomi. LPT3 bersaing dengan projek lain yang juga mahal dan juga penting. 
Sebab itu pada Februari 2025, Ahmad Maslan sekali lagi menjelaskan bahawa LPT3 masih belum dimuktamadkan. Menjelang Oktober 2025 pula, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri membangkitkan bahawa walaupun kajian awal siap sejak Ogos 2022, projek itu masih tidak dimasukkan dalam RMK-13 dan Belanjawan 2026.
Pada masa sama, pihak lain mempertahankan kerajaan Persekutuan dengan hujah bahawa semakan semula dibuat kerana kos melonjak dan model konsesi perlu diteliti supaya tidak membebankan negara atau pengguna. Ini menunjukkan pada tahap terkini, pertikaian tentang LPT3 ialah pasal siapa sanggup tanggung risiko politik dan kewangan kalau projek itu diteruskan sekarang.
Ironinya, ketika LPT3 masih tersekat antara kajian, RFP dan semakan pembiayaan, LPT4 di Johor pada awal 2026 sudah mendapat RM25 juta untuk kerja-kerja awal seperti kajian trafik, reka bentuk kejuruteraan dan cadangan jajaran.
Ini bukan bermaksud LPT4 lebih penting daripada LPT3 secara mutlak. Tapi dari sudut persepsi rakyat Pantai Timur, memang nampak janggal. Sambungan yang paling logik dari Kuala Terengganu ke Kelantan masih tak lepas-lapas, tetapi fasa yang lebih jauh di selatan sudah mula bergerak. 
Jadi, kalau nak jawab dengan paling jujur, kenapa LPT3 tak jadi?
Sebab projek ini terlalu lama terperangkap di tengah-tengah tiga benda besar. Pertama, politik yang berubah-ubah tetapi tidak pernah benar-benar memuktamadkan projek. Kedua, kos yang melambung daripada sekitar RM2.867 bilion kepada RM9.8 bilion menjadikan keputusan hari ini jauh lebih susah daripada 15 tahun lepas. Ketiga, ketidakpastian model pelaksanaan sama ada ia patut jadi lebuh raya bertol penuh, dibuat secara BOT, disusun semula sebagai jajaran lebih pendek atau diselaraskan dengan projek lain seperti ECRL dan jalan-jalan sedia ada. 
Maksudnya begini. LPT3 bukan tak jadi sebab satu kerajaan malas. Bukan juga sebab satu parti saja tak mahu. Hakikatnya, hampir semua kerajaan sejak era Najib, PH, PN, Keluarga Malaysia sampai MADANI pernah sentuh projek ini dalam bentuk masing-masing. Tetapi sentuh tidak sama dengan bina. Sebut tidak sama dengan mula kerja. Dan kerja awalan tidak sama dengan lebuh raya yang benar-benar wujud atas tanah.




No comments yet