Selasa, 20 Oktober 202620 Okt 2026
Lembaran Malaysia

Ferrari Kalah Saman Dengan Syarikat Malaysia?

Dalam dunia perlumbaan Formula 1, nama Scuderia Ferrari sentiasa sinonim dengan drama dan persaingan sengit.

Di Chinese Grand Prix baru-baru ini, dua pemandu Ferrari sendiri, Lewis Hamilton dan Charles Leclerc dibenarkan bertarung sesama sendiri di litar untuk merebut tempat ketiga di belakang Kimi Antonelli dan George Russell.

Namun jauh dari litar perlumbaan, Ferrari sebenarnya sedang menghadapi satu lagi “perlumbaan”.

Bukan dengan kereta, bukan dengan pemandu, tetapi di mahkamah.

Dan kali ini lawannya bukan pasukan F1 lain, tetapi sebuah syarikat minuman tenaga dari Malaysia.

Kita pun tak pernah tau air ni wujud!

Apa yang mengejutkan, Ferrari kalah!

Nama Ferrari memang sinonim dengan kereta mewah dan logo kuda melompat yang sangat ikonik. Lambang itu sudah lama menjadi simbol kelajuan, prestij dan kekayaan.

Tetapi pada satu ketika, syarikat gergasi dari Itali itu terpaksa berdepan dengan sebuah syarikat tempatan Malaysia bernama Sunrise-Mark Sdn Bhd yang menghasilkan minuman tenaga jenama Wee Power.

Segalanya bermula pada tahun 2016. Ketika itu Sunrise-Mark cuba mendaftarkan logo bagi minuman tenaga mereka. Logo tersebut memaparkan dua ekor kuda yang saling berhadapan dengan huruf besar “W” di tengah serta tulisan Wee Power di bahagian bawah.

Ferrari membantah.

Bagi mereka, imej kuda itu terlalu hampir dengan identiti jenama Ferrari yang sudah terkenal di seluruh dunia.

Ferrari berpendapat pengguna mungkin keliru jika melihat logo tersebut dan mengaitkannya dengan jenama kereta mewah dari Itali itu.

Isu ini kemudian berkembang menjadi pertikaian undang-undang yang panjang.

Ferrari membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan harapan untuk membatalkan pendaftaran cap dagang milik Sunrise-Mark.

Hujah Ferrari agak mudah. Mereka mendakwa kedua-dua logo menampilkan imej kuda, dan oleh itu ada kemungkinan pengguna awam akan keliru antara kedua-duanya.

Namun mahkamah melihat perkara itu dari sudut yang berbeza.

Pada 30 Mei 2025, Hakim Adlin Abdul Majid membuat keputusan yang memihak kepada Sunrise-Mark.

Mahkamah mendapati bahawa persamaan antara kedua-dua logo tersebut tidak cukup kuat untuk menyebabkan kekeliruan.

Hakim menjelaskan bahawa logo Ferrari menampilkan seekor kuda tunggal yang sedang melompat, sesuatu yang sudah lama menjadi identiti jenama mereka.

Sebaliknya, logo Wee Power memaparkan dua ekor kuda yang saling berhadapan dengan huruf “W” yang jelas berada di tengah.

Dari sudut visual sahaja, kedua-duanya sudah berbeza dengan ketara.

Mahkamah juga mengambil kira maksud di sebalik nama Wee Power. Perkataan “Wee” sebenarnya merujuk kepada nama pengasas syarikat tersebut, Wee Juan Chien.

Perkara ini menambahkan lagi perbezaan antara dua jenama tersebut.

Selain itu, mahkamah turut menilai konteks industri kedua-dua pihak. Ferrari berada dalam industri automotif mewah menghasilkan kereta bernilai jutaan ringgit yang menjadi simbol status global. Sunrise-Mark pula menjual minuman tenaga yang boleh dibeli di pasar raya.

Pasaran mereka langsung tidak bertindih.

Mahkamah menegaskan bahawa adalah tidak munasabah untuk seseorang yang sedang membeli minuman tenaga menganggap produk tersebut berkaitan dengan jenama kereta mewah.

Lebih penting, Ferrari gagal mengemukakan bukti kukuh bahawa pengguna benar-benar keliru. Tiada kajian pasaran, tiada aduan pelanggan dan tiada bukti konkrit yang menunjukkan orang ramai mengaitkan minuman Wee Power dengan Ferrari.

Ketiadaan bukti ini akhirnya melemahkan kedudukan Ferrari di mahkamah.

Hakim juga menolak hujah bahawa reputasi global Ferrari cukup kuat untuk melindungi sebarang penggunaan simbol kuda. Dalam undang-undang cap dagang, perlindungan tidak bermaksud satu syarikat boleh memonopoli penggunaan simbol haiwan tertentu sepenuhnya.

Apa yang dinilai ialah keseluruhan persepsi terhadap logo tersebut.

Akhirnya mahkamah bukan sahaja menolak tuntutan Ferrari, malah memerintahkan syarikat itu membayar kos guaman kepada Sunrise-Mark. Ini bermakna kemenangan penuh bagi syarikat tempatan tersebut.

Bagi Sunrise-Mark, keputusan ini membawa makna yang sangat besar. Mereka berjaya mempertahankan hak untuk membangunkan jenama sendiri tanpa dihalang oleh syarikat gergasi antarabangsa.

Kes ini juga membuka perbincangan menarik tentang had perlindungan cap dagang. Adakah simbol kuda hanya milik Ferrari selama-lamanya? Atau adakah ia masih boleh digunakan oleh pihak lain jika bentuk dan konteksnya berbeza?

Mahkamah Malaysia nampaknya memilih jawapan kedua.

Dalam undang-undang cap dagang, perkara paling penting ialah sama ada pengguna boleh keliru atau tidak. Mahkamah melihat rupa logo, konteks industri, niat penggunaan dan persepsi pengguna.

Kes Wee Power menunjukkan analisis ini akhirnya memihak kepada syarikat Malaysia tersebut.

Sebenarnya ini bukan kali pertama syarikat besar kalah dalam kes seperti ini di Malaysia. Ramai masih ingat kes pertikaian antara McDonald’s dan restoran tempatan McCurry Restaurant suatu ketika dahulu.

Mahkamah ketika itu juga memutuskan bahawa tiada kekeliruan antara restoran kari tempatan dengan rangkaian makanan segera antarabangsa tersebut.

Bagi Ferrari, kekalahan ini mungkin tidak memberi kesan besar dari sudut kewangan. Namun dari segi reputasi, ia agak menarik kerana menunjukkan bahawa kekuatan jenama global tidak semestinya menjamin kemenangan di mahkamah.

Sebaliknya, kes ini mengangkat nama Malaysia dalam landskap undang-undang cap dagang antarabangsa.

Selagi tidak menimbulkan kekeliruan kepada pengguna, sesuatu logo boleh berdiri sendiri.

Bagi pengguna pula, keputusan ini sebenarnya sangat logik. Sukar untuk membayangkan seseorang pergi ke kedai membeli minuman tenaga, kemudian tiba-tiba menyangka produk itu berkaitan dengan Ferrari.

Kereta Ferrari mungkin bernilai jutaan ringgit, tetapi minuman tenaga di pasar raya biasanya hanya beberapa ringgit sahaja.

Lebih menarik, kes ini sering digambarkan sebagai kisah “David menewaskan Goliath”. Sebuah syarikat tempatan berjaya mempertahankan hak mereka berdepan syarikat automotif terkenal dunia.

Ferrari mungkin terus memenangi perlumbaan di litar Formula 1.

Tetapi di Malaysia, dalam satu perlumbaan yang sangat berbeza, kuda tempatan berjaya menundukkan kuda dari Eropah.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet