Selasa, 20 Oktober 202620 Okt 2026
Marcapada Dunia

Saintis Temui Entiti Yang Tidak Benar-Benar Hidup... Tetapi Ia Juga Tidak Mati!

Dalam dunia biologi, kita selalu diajar tentang satu garis sempadan yang sangat jelas.

Ada benda yang diklasifikasikan sebagai "Hidup" (seperti sel bakteria, pokok, dan manusia) dan ada benda yang "Bukan Hidup" (seperti batu, air, dan virus).

Virus biasanya diletakkan di dalam zon kelabu. Ia dianggap bukan hidupan tulen kerana ia tidak boleh membiak sendiri dan tidak mempunyai mesin pemprosesan tenaga (metabolisme).

Virus memerlukan sel hos untuk bangun dari 'tidur' dan melakukan replikasi.

Selama berdekad-dekad, buku teks sains di sekolah telah menanam dogma bahawa jika sesuatu entiti itu mahu diiktiraf sebagai sel hidup, ia mestilah mempunyai genom yang lengkap untuk melakukan fungsi asas kehidupan secara berdikari.

Tapi hakikatnya, alam semesta ni tak pernah kisah pun dengan teori atas kertas atau garisan sempadan yang saintis syok sendiri buat.

Satu penemuan biologi yang teramat pelik telah menggemparkan seluruh dunia sains, sekaligus meruntuhkan segala takrifan kehidupan yang selama ini kita pegang.

Mari kita bedah laporan kajian bersejarah dari sekumpulan jurutera genetik dan ahli mikrobiologi (Harada et al.) yang diterbitkan di dalam jurnal repositori saintifik bioRxiv pada Mei 2025.

Mereka telah menjumpai satu entiti mikroskopik yang teramat aneh, dan menamakannya sebagai Candidatus Sukunaarchaeum mirabile.

Mikrob ini tergolong di dalam domain Archaea, iaitu salah satu cabang mikrob purba dan tertua di bumi.

Nama "Sukuna" pada entiti ini bukanlah diambil dari watak anime popular Jepun, tetapi bersempena dewa Shinto Jepun purba, Sukunabikona, yang bertubuh sangat kerdil.

Manakala perkataan mirabile bermaksud 'menakjubkan'.

Dan sifat Sukunaarchaeum ini memang menakjubkan, namun pada masa yang sama, teramat mengelirukan dari sudut takrifan sains.

Fakta konkrit yang pertama: Mikrob ini adalah sejenis 'zombi biologi' yang hidup segan mati tak mahu.

Ia dijumpai hidup secara menumpang (parasit) di dalam sel sebuah plankton lautan (Citharistes regius) berhampiran lautan Jepun.

Sukunaarchaeum mempunyai genom (DNA) yang paling pendek dan paling cacat pernah direkodkan di dalam sejarah biologi hidupan; iaitu hanya 238,000 pasangan asas (238 kbp)!

Ini adalah genom yang ultra-kecil, lebih separuh ganda lebih kecil berbanding mikrob paling kecil yang pernah manusia temui sebelum ini.

Kecacatan Sukunaarchaeum ini amat kritikal. Ia tidak mempunyai langsung laluan metabolik asas.

Maksudnya, ia tidak boleh memproses makanan, tidak boleh menghasilkan tenaga untuk dirinya, dan mustahil untuk hidup bersendirian di persekitaran luar.

Ia bergantung 100 peratus kepada perumah planktonnya untuk semua keperluan asas. Sebiji macam sifat kelangsungan sebuah virus.

Jadi, persoalan besarnya; kenapa saintis tidak panggil Sukunaarchaeum ini sebagai virus sahaja?

Di sinilah para saintis mula 'jammed'. Dan inilah yang membuatkan pakar biologi menggaru kepala!

Walaupun genomnya ultra-kecil dan cacat seperti virus, entiti pelik ini masih menyimpan 'mesin' kilang selularnya yang tersendiri.

Ia mempunyai kebolehan untuk membina Ribosom dan messenger RNA (mRNA) bagi menghasilkan protein sendiri. Malah, ia boleh membuat replikasi DNA menggunakan mesin polymerase miliknya sendiri!

Virus biasa TIDAK boleh melakukan proses ini.

Virus terpaksa menggodam dan mencuri mesin sel perumah dorang untuk melakukan replikasi. Tetapi Sukunaarchaeum menyimpan alat-alat penting ini di dalam 'badannya'.

Di dalam hukum sains genetik, jika anda mempunyai kemampuan untuk replikasi DNA, Ribosom, dan transkripsi genetik, anda sah diiktiraf sebagai sebuah sel (benda hidup).

Tetapi bagaimana jika sel itu langsung tidak mempunyai sistem penciptaan tenaga sendiri dan hidup bergantung 100 peratus seperti seekor virus?

Fakta paradoks inilah yang kini sedang menghancurkan sempadan antara "sel hidup" dan "virus".

Sukunaarchaeum adalah bukti fizikal yang sedang 'menampar' ego para saintis; memberitahu manusia bahawa kehidupan ini bukanlah satu garis sempadan hitam dan putih semata-mata, sebaliknya ia adalah sebuah spektrum evolusi yang tidak bertepi.

Buat pertama kalinya, kemajuan teknologi membolehkan umat manusia meninjau terus ke dalam "zon zombi biologi" yang amat pelik ini.

Pemerhatian saintifik ini jelas membuktikan bahawa, sejauh mana pun kehebatan minda manusia cuba menyusun dan mengkategorikan kesempurnaan alam, alam semesta sentiasa mempunyai cara yang teramat genius untuk membuktikan betapa ceteknya ilmu kita.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet