Rabu, 21 Oktober 202621 Okt 2026
Marcapada Dunia

Keretapi Bertembung di Indonesia Langgar Gerabak Wanita, Jumlah Maut Makin Meningkat

Stesen Bekasi Timur, Jawa Barat, lewat malam Isnin, 27 April 2026.

Sebuah tren komuter yang berhenti di landasan menuju ke Cikarang dirempuh dari belakang oleh tren jarak jauh Argo Bromo Anggrek yang datang di landasan sama.

Pada awalnya, laporan menyebut angka korban sekitar empat hingga tujuh orang. Tetapi apabila operasi menyelamat diteruskan dan mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan satu demi satu, jumlah kematian meningkat kepada 14 orang, manakala lebih 80 lagi cedera.

Laporan Reuters dan AP menyatakan angka terkini ialah 14 maut dan 84 cedera dengan semua mangsa maut berada dalam tren komuter.

Yang paling menyayat hati, gerabak yang menerima hentaman paling teruk ialah gerabak wanita di bahagian belakang tren komuter.

Menurut laporan The Star yang memetik The Straits Times, antara mangsa yang tersepit ialah seorang pekerja tekstil bernama Endang Kuswati, 41 tahun. Dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Pasar Baru, Jakarta Pusat apabila tren yang dinaikinya dirempuh dari belakang.

Keluarganya pada mulanya tidak tahu sama ada dia masih hidup atau sudah dibawa ke hospital. Dalam suasana kelam-kabut di lokasi kejadian, mereka tidak dibenarkan masuk ke platform.

Hanya sekitar jam 2 pagi, selepas melihat gambar daripada wartawan, barulah mereka sedar Endang masih tersepit dalam gerabak yang remuk. Dia akhirnya berjaya dikeluarkan sekitar jam 7 pagi, selepas hampir 10 jam terperangkap dalam himpitan manusia dan besi.

Cuba bayangkan keadaan itu. Seorang mangsa masih sedar, masih boleh berhubung dengan keluarga, tetapi tubuhnya tersepit. Di sekelilingnya pula, ada penumpang lain yang cedera, menjerit, mungkin tidak bergerak langsung.

Pasukan penyelamat pula tidak boleh terus tarik begitu sahaja kerana kalau salah potong besi atau salah gerakkan gerabak, mangsa yang masih hidup boleh jadi lebih parah.

Sebab itu operasi menyelamat mengambil masa berjam-jam. Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia, BASARNAS menjelaskan kerja mengeluarkan mangsa menjadi sukar kerana ruang yang sempit dan kerosakan gerabak yang terlalu teruk.

Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan peralatan pemotong besi dan bekerja perlahan-lahan untuk membuka laluan kepada mangsa yang tersepit.

Pada masa sama, pihak PT Kereta Api Indonesia atau KAI mengesahkan semua penumpang tren jarak jauh Argo Bromo Anggrek terselamat. Ini bermaksud tragedi itu paling banyak memukul penumpang tren komuter khususnya mereka yang berada di bahagian belakang. KAI menyatakan semua 240 penumpang tren Argo Bromo Anggrek berjaya dipindahkan dengan selamat.

Persoalannya sekarang ialah macam mana dua tren boleh berada dalam situasi sebegini? Bagaimana sebuah tren komuter boleh berhenti di landasan kemudian tren jarak jauh datang dan merempuh dari belakang?

Setakat laporan awal, punca sebenar masih dalam siasatan. Namun beberapa laporan menyebut kemungkinan rantaian kejadian bermula apabila sebuah teksi terlibat dalam insiden di lintasan aras berhampiran kawasan Bekasi Timur.

Jurucakap KAI, Franoto Wibowo dilaporkan berkata sebuah teksi dipercayai melanggar atau tersangkut dengan tren komuter di lintasan aras menyebabkan tren itu terhenti di landasan sebelum dirempuh oleh tren jarak jauh. Jawatankuasa Nasional Keselamatan Transportasi Indonesia kini menjalankan siasatan lanjut untuk menentukan punca sebenar nahas.

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto sendiri turun menziarahi mangsa di hospital Bekasi pada Selasa. Beliau mengarahkan siasatan dilakukan dan menyatakan kerajaan akan memberi pampasan kepada keluarga mangsa.

Dalam laporan The Star, Prabowo turut menyebut bahawa di Jawa sahaja terdapat kira-kira 1,800 lintasan kereta api, sebahagiannya sudah wujud sejak zaman kolonial Belanda. Beliau berkata kerajaan telah mengira kos untuk menaik taraf dan “mengemaskan” lintasan-lintasan ini dengan anggaran hampir 4 trilion rupiah.

Indonesia sebenarnya tidak asing dengan tragedi kereta api. Pada tahun 2010, sebuah tren dari Jakarta pernah merempuh belakang sebuah tren lain yang sedang berhenti di Jawa Tengah menyebabkan puluhan orang maut. Pada tahun 2015 pula, sebuah tren penumpang melanggar sebuah bas mini di lintasan tanpa palang di Jawa Barat, mengorbankan 18 orang. AP turut menyatakan kemalangan rel masih menjadi isu berulang di Indonesia yang berdepan cabaran infrastruktur lama.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet