Kalau korang ada member yang fans Arsenal tu, tolong jangan bagi dia tengok botol. Silap-silap botol tu boleh melayang headshot kena kepala korang. Dah la dengan tak lalu nak makan. Al-maklumlah, piala tahun ni pun macam belum tentu dapat lagi.
Tapi kita di Malaysia ni selalu sangat diperdengarkan kisah zaman emas bola sepak kita ketika Malaysia menang 2-0 terhadap Arsenal di Stadium Merdeka pada tahun 1975 hasil 2 jaringan Mokhtar Dahari.
Tapi korang tahu tak detail perlawanan tu?
Arsenal pernah menang gelaran berganda musim 1970/71. Mereka datang dalam siri jelajah selepas tamat musim bola sepak England, membawa nama besar seperti Brian Kidd, John Radford, Peter Storey, Terry Mancini dan penjaga gol Geoff Barnett. Dalam rekod Arsenal sendiri, jelajah Far East mereka selepas musim 1974/75 memang memasukkan perlawanan menentang Malaysian Select XI, Singapore National XI dan Thailand National XI.
Cuma yang menariknya, Arsenal datang dalam keadaan yang agak pelik. Mereka bukan Arsenal yang sedang berada di puncak dunia. Musim 1974/75 bukan musim indah untuk penyokong Gunners. Dalam liga, Arsenal hanya menamatkan saingan di tangga ke-16, kedudukan paling rendah mereka sejak musim 1924/25. Mereka baru sahaja melalui musim yang penuh kecederaan, prestasi tidak menentu dan keresahan tentang masa depan pasukan. Brian Kidd menjadi penjaring terbanyak Arsenal musim itu, tetapi secara keseluruhan pasukan itu memang sedang mencari semula identiti mereka.
Namun begitu, jangan salah faham. Arsenal tetap Arsenal. Untuk peminat bola sepak Malaysia ketika itu, melihat kelab Inggeris datang ke Stadium Merdeka bukan benda kecil. Ini zaman sebelum Liga Perdana Inggeris menjadi produk televisyen global. Ini zaman orang tidak boleh buka YouTube untuk tengok highlight. Ini zaman nama-nama besar bola sepak Inggeris sampai ke telinga orang Malaysia melalui surat khabar, majalah sukan dan cerita mulut ke mulut.
Jadi apabila Arsenal tiba di Kuala Lumpur, ia menjadi satu ujian maruah bola sepak tempatan. Orang nak tengok sejauh mana pemain Malaysia mampu berdiri di hadapan kelab profesional dari tanah Inggeris.
Sebelum perlawanan itu, Arsenal sempat mengadakan klinik bimbingan di Kelab Selangor untuk 45 pemain muda berumur 15 hingga 18 tahun dari beberapa sekolah. Best jugak budak-budak sekolah pada masa itu, tiba-tiba dapat belajar teknik permainan bola sepak Inggeris daripada pemain Arsenal sendiri. Bola sepak Inggeris waktu itu dianggap antara kiblat permainan moden. Jadi apabila pemain Arsenal turun padang mengajar anak-anak muda Malaysia, suasananya memang lain macam.
Tetapi cerita sebenar bermula di Stadium Merdeka.
Lebih 30,000 penonton membanjiri stadium. Mereka datang bukan hanya mahu tengok Arsenal. Mereka datang untuk tengok sama ada bintang-bintang Malaysia boleh melawan. Di atas padang malam itu, Malaysia menurunkan antara generasi terbaik yang pernah kita ada. Mokhtar Dahari mengetuai serangan. Isa Bakar berada di sisi. Shukor Salleh, Soh Chin Ann, Santokh Singh dan R. Arumugam menjadi sebahagian daripada pasukan yang bermain dengan sepenuh jiwa dan raga demi negara tercinta.
Inilah era di mana pasukan kebangsaan Malaysia masih dipandang tinggi di Asia. Setahun sebelum itu, Malaysia memenangi pingat gangsa Sukan Asia 1974 di Tehran. Kita bukan pasukan belasahan. Kita bukan pasukan yang masuk padang semata-mata untuk bertahan dan berharap tidak kalah besar.
Dan orang yang paling ditunggu malam itu sudah tentulah Mokhtar Dahari.
SuperMokh tidak perlu lagi diperkenalkan panjang-panjang kepada orang yang hidup sezaman dengannya. Semua orang kenal. Dia wajah kepada bola sepak Malaysia. Badannya tidak sebesar pemain Eropah, tetapi lariannya ganas. Tendangannya padu. Dia ada satu benda yang susah hendak diajar dalam latihan, iaitu rasa takut pihak lawan setiap kali dia mula memecut.
Perlawanan bermula dengan kedua-dua pasukan saling menguji. Arsenal datang dengan disiplin bola sepak Inggeris. Mereka tahu cara mengawal tempo. Mereka tahu cara menutup ruang. Mereka bukan pasukan yang mudah panik. Tetapi Malaysia malam itu juga bukan pasukan yang datang untuk jadi mangsa. Mereka melawan. Mereka menekan. Mereka berlari seolah-olah setiap inci padang Stadium Merdeka itu milik mereka.
Untuk satu tempoh, perlawanan seakan-akan buntu. Arsenal cuba mencari ruang. Malaysia pula tidak memberi laluan mudah. R. Arumugam di gawang bermain seperti tembok. Apa sahaja yang datang, dia baca. Apa sahaja yang cuba dilepaskan Arsenal, dia halang. Dalam kisah malam itu, nama Mokhtar memang paling bersinar, tetapi jangan lupa, kemenangan 2-0 hanya jadi mungkin kerana gawang Malaysia langsung tidak bocor.
Kemudian tiba minit ke-42.
Tiga minit sebelum separuh masa pertama tamat, detik yang mengubah malam itu pun berlaku. Mokhtar menerima peluang, memecut masuk ke kawasan Arsenal dan melepaskan rembatan yang menewaskan Geoff Barnett. Stadium Merdeka bergegar dengan teriakan suara manusia. Bayangkan lebih 30,000 orang yang datang tiba-tiba melihat Malaysia mendahului Arsenal.
Malah ada satu temubual dengan Soh Chin Ann, kapten Malaysia ketika itu masih ingat ketika Mokhtar memecah masuk ke kawasan Arsenal sebelum menjaringkan gol. Bagi Soh, kedua-dua gol Mokhtar malam itu memang hebat, tetapi gol pertama itu paling melekat dalam kepala kerana cara Mokhtar meledak masuk ke kawasan lawan sebelum menyudahkan peluang.
Itu yang membuatkan Mokhtar lain.
Arsenal masuk bilik persalinan dalam keadaan ketinggalan. Mungkin pada awalnya mereka fikir Malaysia akan letih selepas separuh masa pertama. Mungkin mereka fikir pasukan tuan rumah akan mula hilang fokus. Biasalah dalam perlawanan persahabatan, pasukan besar kadang-kadang perlahan dahulu, kemudian tekan pada babak kedua.
Tetapi Malaysia masih tetap kental.
Babak kedua bermula dan Arsenal cuba mencari gol penyamaan. Brian Kidd, John Radford dan pemain-pemain Arsenal yang lain berusaha membuka pertahanan Malaysia. Tetapi malam itu, Malaysia bermain dengan satu semangat yang sukar dijelaskan. Setiap pemain tahu mereka sedang berada dalam perlawanan yang akan diceritakan lama selepas wisel penamat. Mereka bermain untuk membuktikan sesuatu.
Dan pada minit ke-77, Mokhtar datang lagi.
Kali ini gerakan Malaysia lebih tersusun. Gol kedua itu bermula dengan gerakan melibatkan R. Arumugam, Isa Bakar dan kemudian Mokhtar. Bola bergerak dari bawah, disambung dengan bijak dan akhirnya sampai kepada orang yang paling Arsenal tidak mahu jumpa dalam ruang berbahaya. Mokhtar menyudahkannya. Gol kedua. Malaysia 2, Arsenal 0.
Pada ketika itu, Stadium Merdeka jadi saksi bahawa sebuah pasukan dari Asia Tenggara boleh menundukkan kelab profesional Inggeris. Saksi bahawa pemain Malaysia dan Mokhtar Dahari bukan setakat jaguh kampung.
Apabila wisel penamat dibunyikan, keputusan itu kekal.
Malaysia menang 2-0 ke atas Arsenal.
Dua gol Mokhtar Dahari.
Clean sheet R. Arumugam.
Malam besar untuk bola sepak Malaysia.
Kata Soh Chin Ann, semua pemain bermain sepenuh hati dan satu stadium meraikan kemenangan selepas perlawanan tamat. Bagi beliau, Isa Bakar, Santokh Singh, Mokhtar dan semua pemain lain mempunyai permainan yang hebat pada hari itu. Dan paling penting, beliau sendiri adalah kapten pasukan Malaysia yang menewaskan Arsenal. Itu bukan perkara kecil untuk dikenang.
Yang membuatkan kisah ini lebih menarik ialah Arsenal bukan datang sekali dan terus balik. Mereka meneruskan perlawanan kedua di Pulau Pinang. Perlawanan di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada 14 Mei 1975 berakhir 1-1. Malaysia mendahului melalui Isa Bakar pada minit ke-74, sebelum Brian Kidd menyamakan kedudukan pada saat-saat akhir perlawanan.
Dalam dua perlawanan menentang pasukan pilihan Malaysia, Arsenal gagal menang. Di Kuala Lumpur mereka kalah. Di Pulau Pinang mereka hanya seri. Untuk peminat bola sepak Malaysia pada zaman itu, memang ini jadi bahan cerita turun-temurun.
Selepas perlawanan itu, cerita tentang Mokhtar semakin membesar. Ada kisah bahawa pengurus Arsenal, Bertie Mee tertarik dengan kehebatannya. Ada cerita tentang minat kelab-kelab luar. Ada juga kisah yang lebih besar tentang tawaran Real Madrid yang kemudian sering dikaitkan dengan kesetiaan Mokhtar kepada Selangor dan Malaysia.
Hari ini, apabila kelab Eropah datang ke Asia, banyak perlawanan persahabatan berubah menjadi acara komersial. Stadium penuh dengan jersi kelab luar. Orang datang mahu tengok bintang import. Pasukan tempatan kadang-kadang jadi latar belakang kepada pesta kelab besar.
Tetapi pada tahun 1975, ceritanya berbeza.




No comments yet