Rabu, 21 Oktober 202621 Okt 2026
Sukan

Dato' Azizulhasni Awang Kejutkan Juara Dunia!

Velodrom Nasional Nilai gegak gempita apabila seorang anak Malaysia berusia 38 tahun yang sudah hampir dua dekad berperang di trek dunia tiba-tiba bangkit dan buat satu kayuhan yang membuatkan seluruh velodrom meletup dengan sorakan.

Itulah dia, Dato’ Azizulhasni Awang.

Orang panggil beliau The Pocket Rocketman. Kecil tubuhnya, tapi kalau sudah masuk trek, jangan pandang sebelah mata.

Dalam Piala Dunia Berbasikal Trek UCI 2026, Azizulhasni menang emas acara keirin dengan menewaskan antara nama paling menakutkan dalam sukan berbasikal trek dunia, Harrie Lavreysen dari Belanda, juara dunia dalam acara pecut dan keirin. Di tempat ketiga pula, Nicholas Paul dari Trinidad dan Tobago melengkapkan podium.

Tapi yang lebih membuatkan kemenangan ini terasa lain macam ialah tempatnya.

Kemenangan ini berlaku di Nilai, Negeri Sembilan. Di hadapan ribuan penyokong Malaysia. Di hadapan keluarga sendiri. Bayangkan perasaan seorang atlet yang sudah berpuluh tahun membawa Jalur Gemilang ke sana sini, akhirnya berdiri sebagai juara dunia di laman sendiri sambil telinga penuh dengan sorakan rakyat sendiri.

Azizulhasni sendiri mengaku, kemenangan ini macam mimpi.

Beliau kata, sampai selepas perlumbaan pun beliau masih macam tak percaya. Sebab bagi orang luar, mungkin ini cuma satu lagi emas. Tapi bagi Azizulhasni, malam ini datang selepas bertahun-tahun jatuh bangun, cedera, kecewa, bangkit balik dan terus kayuh walaupun usia sudah semakin meningkat.

Perjalanan beliau ke final pun bukan mudah. Dalam pusingan kedua sesi pagi, Azizulhasni dihimpit di bahagian luar dan terpaksa memecut lebih awal. Dalam acara keirin, pecut terlalu awal boleh makan diri. Tenaga boleh habis sebelum final.

Dalam final, keadaan makin mendebarkan.

Azizulhasni bermula di kedudukan kelima. Nampak macam beliau sedikit terkebelakang. Lebih mencemaskan, beliau turut dikepung oleh pelumba-pelumba hebat termasuk Harrie Lavreysen.

Tapi inilah seni keirin.

Kadang-kadang pelumba yang paling bahaya bukan yang berada di depan sejak awal, tetapi yang menunggu di belakang, membaca celah, simpan tenaga dan menyerang bila semua orang fikir dia sudah terlambat.

Dan itulah yang Azizulhasni buat.

Pada pusingan terakhir, beliau mengesan ruang. Bukan ruang besar. Tapi cukup untuk seorang pelumba berpengalaman menyelit. Dengan baki kira-kira 80 meter terakhir, Azizulhasni mengerah segala tenaga yang ada.

Kayuhan beliau meledak. Dalam beberapa saat yang penuh jeritan penonton, beliau meluru ke depan dan melintasi garisan penamat sebagai juara.

Velodrom Nasional Nilai terus meletup.

Beliau sekali lagi membuktikan bahawa usia 38 tahun bukan alasan untuk tunduk kepada nama besar dunia dan mengharumkan nama negara.

Lebih menarik, ini bukan kemenangan pertama Azizulhasni dalam siri Piala Dunia musim ini. Sebelum menang di Nilai, beliau juga sudah menjuarai acara keirin di Perth, Australia pada Mac 2026.

Tapi untuk faham kenapa kemenangan ini begitu bermakna, kita kena tengok semula perjalanan panjang beliau. Azizulhasni lahir pada 5 Januari 1988 di Dungun, Terengganu. Dari kecil, hidup beliau sudah dekat dengan basikal. Bakatnya mula dikesan dan digilap dengan bantuan jurulatih seperti arwah Rozimi Omar.

Kisah awal beliau pun bukan kisah atlet yang semuanya lengkap dari mula. Masa remaja, Azizulhasni pernah melalui keadaan serba kekurangan. Beliau pernah terpaksa pinjam basikal dan bermalam di rumah kawan semata-mata untuk menyertai Kejohanan Kebangsaan di Kuala Lumpur. Masa itu, mungkin ramai tak nampak pun budak kecil dari Dungun ini akan jadi nama besar dunia satu hari nanti.

Beliau mula serius dalam sukan berbasikal pada usia muda, walaupun keluarganya pernah berharap beliau memilih laluan lain. Seperti ramai ibu bapa, mereka mahu anak berjaya dalam bidang yang lebih “selamat.” Tapi minat Azizulhasni kepada basikal terlalu kuat. Inspirasi beliau juga datang daripada suasana perlumbaan seperti Le Tour de Langkawi yang pernah melalui kawasan kampungnya.

Namun perjalanan itu tak pernah mudah.

Azizulhasni pernah dipandang rendah kerana tubuhnya kecil. Ada yang meragui kemampuan beliau untuk bersaing dengan pelumba antarabangsa yang lebih tinggi, lebih besar, dan lebih sasa. Tapi kritikan itu akhirnya menjadi bahan bakar.

Dari situlah lahir gelaran Pocket Rocketman. “Pocket” kerana tubuhnya kecil. “Rocketman” kerana bila beliau memecut, kayuhannya seperti roket yang ditembak keluar dari landasan.

Puncak besar pertama dalam karier Olimpiknya hadir di Rio 2016 apabila Azizulhasni memenangi pingat gangsa acara keirin. Itulah pingat Olimpik pertama Malaysia dalam sukan berbasikal.

Kemudian di Tokyo 2020, beliau sekali lagi mencipta sejarah apabila meraih pingat perak. Dari gangsa ke perak, Azizulhasni terus menjadi wajah harapan Malaysia.

Tapi dalam kisah beliau, antara bab paling diingati rakyat Malaysia ialah insiden ngeri di Manchester pada 2011.

Ketika berlumba dalam acara keirin Siri Piala Dunia Klasik UCI, Azizulhasni terbabit dalam kemalangan bersama beberapa pelumba lain. Beliau terjatuh di atas trek kayu dan serpihan kayu sepanjang kira-kira 20 sentimeter tertusuk betis kirinya.

Orang biasa mungkin terus berhenti, terus menjerit minta bantuan.

Tapi Azizulhasni bangun.

Dalam keadaan cedera parah, beliau naik semula ke basikal dan teruskan perlumbaan. Lebih gila lagi, beliau berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Selepas melintasi garisan penamat, barulah beliau rebah dan dikejarkan ke hospital. Insiden itu sampai hari ini menjadi lambang semangat juang beliau.

Azizulhasni bukan atlet yang mudah menyerah.

Selepas itu, beliau melalui pemulihan yang panjang. Cedera begitu boleh mengganggu karier. Tapi Azizulhasni kembali. Beliau terus berlatih, terus bertanding dan akhirnya pada 2017, beliau mencipta sejarah apabila menjadi juara dunia keirin di Hong Kong.

Dengan kemenangan itu, beliau layak memakai jersi pelangi, simbol paling berprestij dalam dunia berbasikal trek.

Beliau menjadi rakyat Malaysia pertama bergelar juara dunia dalam acara itu.

Sebab itu bila kita tengok beliau menang di Nilai pada 2026, kita sebenarnya sedang tengok keseluruhan perjalanan seorang atlet yang sudah terlalu banyak memberi kepada negara.

Dari budak Dungun yang pinjam basikal, kepada pelumba yang pernah tertusuk kayu di betis, kepada pemenang pingat Olimpik, kepada juara dunia dan kini sekali lagi menewaskan juara dunia di hadapan rakyat sendiri.

Terima kasih Dato' Azizul.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet