Rabu, 21 Oktober 202621 Okt 2026
Kronikel Dunia

Ayahanda Queen Elizabeth II, King George VI Sebenarnya Gagap?

Mungkin ada diantara kita yang tahu pasal ni sebab pernah tonton filem The King's Speech yang ditayangkan pada tahun 2010. Namun bagi yang tak tahu, raja yang terkenal dengan masalah gagap ini sebenarnya ialah King George VI, ayah kepada Queen Elizabeth II. Nama asal baginda ialah Prince Albert Frederick Arthur George. Dalam keluarga, baginda lebih dikenali sebagai “Bertie”.

Walaupun dilahirkan dalam keluarga diraja, Bertie selalu sakit, digambarkan sebagai seorang budak yang sensitif, mudah menangis, cepat takut dan kurang yakin pada diri sendiri. Dalam keluarga diraja zaman itu, sifat seperti ini kelihatan lemah. Anak raja kena tegap, yakin, berani dan mampu membawa imej keluarga.

Masalahnya, Bertie tak begitu.

Ayahnya, King George V terkenal sebagai seorang bapa yang sangat tegas. Baginda bukan jenis bapa yang banyak memeluk anak, memuji anak atau bertanya perasaan anak. Cara didikan zaman itu keras. Anak-anak diraja banyak diserahkan kepada pengasuh, sementara ibu bapa lebih sibuk dengan tugas rasmi, protokol dan kehidupan istana. Ibu Bertie, Queen Mary juga bukanlah ibu yang selalu berada dekat dengan anak-anak dalam cara moden yang kita faham hari ini.

Lebih malang lagi, pengasuh yang menjaga Bertie dikatakan sangat keras. Bertie sebenarnya kidal, tetapi dipaksa menggunakan tangan kanan. Pada zaman dulu, kidal sering dianggap sebagai sesuatu yang perlu “dibetulkan”.

Selain itu, Bertie juga mengalami masalah pada kaki dan dipaksa memakai pendakap kaki untuk membetulkan kedudukannya. Pendakap itu menyakitkan, memalukan dan membuatkan Bertie semakin rasa dirinya tidak normal.

Kemudian datang satu lagi masalah yang paling menghantuinya.

Gagap.

Pada usia sekitar lapan tahun, Bertie mula sedar yang dia tidak mampu bercakap lancar seperti orang lain. Ada huruf yang tersekat. Ada perkataan yang susah keluar. Bila dia cuba bercakap, mulutnya seperti melawan. Ayat yang sepatutnya mudah tiba-tiba menjadi beban. Untuk orang biasa pun gagap boleh memalukan, apatah lagi untuk seorang putera diraja yang suatu hari nanti perlu berdiri di hadapan khalayak.

Bertie ada seorang abang, Prince Edward. Edward ini berbeza benar dengan Bertie. Edward nampak lebih menarik, lebih yakin, lebih sosial, lebih mudah disukai orang. Dia ada karisma yang Bertie tidak ada. Bila dua beradik ini dibandingkan, Bertie selalu kelihatan seperti bayang-bayang kepada abangnya sendiri. Dan lebih menyakitkan, Edward dikatakan pernah mengejek kekurangan Bertie.

Apabila dewasa, hidup Bertie mula berubah sedikit selepas bertemu Lady Elizabeth Bowes-Lyon. Sekitar tahun 1920, Bertie mula jatuh hati kepadanya. Tapi cinta Bertie pun bukan terus indah. Dia melamar Elizabeth, tetapi ditolak. Bukan sekali, tapi dua kali.

Ramai mungkin menyangka Elizabeth menolak kerana Bertie gagap atau kerana dia tidak yakin dengan Bertie. Tetapi sebab utamanya lebih kepada ketakutan Elizabeth sendiri terhadap kehidupan diraja. Dia tahu kalau berkahwin dengan putera raja, hidupnya tidak lagi bebas. Setiap langkah akan diperhatikan. Setiap tindakan akan diikat dengan protokol.

Namun Bertie tidak berputus asa. Akhirnya Elizabeth menerima lamarannya dan mereka berkahwin pada 26 April 1923 di Westminster Abbey. Elizabeth menjadi kekuatan emosi Bertie. Dia orang yang percaya pada Bertie ketika Bertie sendiri susah untuk percaya pada dirinya.

Mereka kemudian dikurniakan dua orang puteri, Elizabeth dan Margaret. Puteri sulung mereka, Elizabeth, inilah yang kemudian menjadi Queen Elizabeth II. Tapi pada waktu itu, tiada siapa benar-benar sangka Bertie akan menjadi raja. Dia bukan pewaris utama. Abangnya Edward berada di hadapan dalam garis takhta.

Jadi hidup Bertie sepatutnya lebih tenang. Dia mungkin boleh menjalankan tugas diraja biasa tanpa perlu menanggung beban terbesar sebagai raja. Tapi plot twist berlaku.

Pada tahun 1936, King George V mangkat. Takhta pun jatuh kepada Prince Edward yang menjadi King Edward VIII. Dari luar, Edward nampak seperti calon raja yang sempurna. Dia kacak, popular, pandai bercakap, dan ada aura yang menarik perhatian rakyat. Tetapi Edward ada masalah besar dari segi tanggungjawab dan politik. Dia tidak begitu sesuai dengan beban institusi monarki yang penuh disiplin.

Masalah paling besar muncul apabila Edward mahu berkahwin dengan Wallis Simpson, seorang wanita Amerika yang sudah bercerai. Pada zaman itu, perkara ini menjadi skandal besar. Raja Britain juga merupakan ketua simbolik Gereja England dan perkahwinan dengan wanita yang mempunyai bekas suami masih hidup dianggap sangat bermasalah dari sudut institusi dan moral masyarakat British ketika itu.

Akhirnya Edward memilih cinta berbanding takhta. Pada Disember 1936, Edward turun takhta. Keputusan itu mengejutkan seluruh empayar British.

Dan tiba-tiba, Bertie yang tidak pernah mahu menjadi raja, yang gagap, yang sepanjang hidupnya bergelut dengan rasa rendah diri, dipaksa naik ke takhta.

Bertie menjadi King George VI. Baginda memilih nama George untuk menunjukkan kesinambungan dengan ayahnya, King George V dan untuk memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap monarki selepas krisis Edward VIII. Pada 12 Mei 1937, baginda dimahkotakan sebagai raja.

Tapi cuba bayangkan keadaan baginda waktu itu. Seorang lelaki yang sejak kecil takut bercakap, kini menjadi suara kepada sebuah empayar. Dan cabaran paling menakutkan bagi King George VI bukan semata-mata urusan negara. Cabaran paling menakutkan ialah mikrofon.

Zaman itu radio sedang menjadi teknologi besar. Kalau dulu raja boleh kelihatan jauh dan misteri, kini suara raja boleh masuk terus ke rumah rakyat. Raja perlu bercakap. Secara langsung. Tanpa edit. Tanpa peluang untuk potong bahagian yang salah.

Bagi orang yang tidak gagap, berucap di radio pun sudah cukup menakutkan. Bagi King George VI, ia seperti disuruh berjalan masuk ke medan perang seorang diri.

Baginda pernah melalui beberapa pengalaman berucap yang sangat memalukan. Setiap kali tersekat, setiap kali suara tidak keluar, setiap kali ayat terhenti, ia menambahkan lagi rasa takut dalam dirinya. Baginda dikatakan berasa seolah-olah Tuhan sedang mempermainkan nasibnya. Seorang raja sepatutnya kelihatan sempurna, tetapi kelemahan paling besar baginda pula terletak pada benda yang paling diperlukan oleh seorang raja moden iaitu suara.

Baginda sudah cuba mendapatkan rawatan daripada beberapa pakar, tetapi banyak yang gagal. Kegagalan demi kegagalan ini membuatkan baginda semakin putus asa. Bagi orang gagap, masalah sebenar bukan hanya pada mulut. Masalahnya juga pada minda. Bila sudah takut akan gagap, kegagapan itu menjadi lebih teruk. Bila semakin risau orang akan menilai, badan menjadi tegang. Bila badan tegang, perkataan makin susah keluar.

Kemudian isterinya, Queen Elizabeth menemukan baginda dengan seorang ahli terapi pertuturan dari Australia bernama Lionel Logue.

Logue ini menarik kerana dia bukan doktor diraja biasa yang tunduk terlalu hormat sampai tidak berani menegur. Dia melayan Bertie sebagai manusia, bukan sebagai raja. Pada awalnya hubungan mereka sangat susah. Bertie datang dengan rasa malu, marah, ego dan putus asa. Logue pula datang dengan pendekatan yang lebih terus terang.

Kaedah Logue sebenarnya menggunakan latihan pernafasan, latihan suara, latihan kawalan otot, bacaan kuat, sebutan vokal dan latihan tongue twister. Antara latihan terkenal yang dikaitkan dengan kisah ini ialah ayat seperti “I have a sieve full of sifted thistles and a sieve full of unsifted thistles, because I am a thistle sifter.”

Nampak macam ayat pelik, tapi latihan begini membantu seseorang mengawal lidah, nafas dan ritma pertuturan. Logue juga percaya masalah Bertie bukan kerana baginda bodoh atau rosak mental. Logue memberi keyakinan bahawa masalah itu boleh dikawal.

Hubungan Bertie dan Logue lama-kelamaan menjadi persahabatan. Logue menjadi antara orang yang mampu bercakap jujur dengan baginda, memberi dorongan dan pada masa sama tidak terlalu memanjakan ketakutan baginda.

Sedikit demi sedikit, ucapan King George VI bertambah baik. Gagap itu tidak hilang sepenuhnya. Tetapi baginda belajar mengawalnya. Baginda belajar mengatur nafas. Baginda belajar berhenti seketika tanpa panik. Baginda belajar bahawa diam sekejap bukan bermaksud gagal.

Kemudian datang detik paling besar dalam hidup baginda.

Tahun 1939, Britain mengisytiharkan perang terhadap Nazi Jerman. Perang Dunia Kedua bermula. Dalam saat negara diselubungi ketakutan, rakyat menunggu suara raja.

King George VI perlu berucap secara langsung melalui radio kepada seluruh negara dan empayar.

Bayangkan tekanan itu. Ini ucapan perang yang akan didengar oleh jutaan manusia, yang perlu memberi keyakinan bahawa negara mereka mampu bertahan. Dan lelaki yang perlu menyampaikan ucapan itu ialah seorang raja yang seumur hidupnya takut bercakap.

Dengan bantuan Lionel Logue, King George VI berjaya menyampaikan ucapan tersebut. Ucapannya tidak perlu sempurna seperti ahli politik hebat. Tidak perlu berbunga-bunga. Tetapi ia cukup jelas, cukup tenang dan cukup ikhlas untuk menyentuh rakyat.

Di situlah rakyat mula melihat King George VI dengan cara yang berbeza. Orang tahu baginda bergelut untuk bercakap, tetapi baginda tetap bercakap. Orang tahu baginda takut, tetapi baginda tetap berdiri.

Semasa Perang Dunia Kedua, King George VI dan Queen Elizabeth memainkan peranan besar dalam menaikkan semangat rakyat Britain. Mereka melawat kawasan yang dibom, bertemu rakyat, memberi sokongan moral dan tidak meninggalkan London walaupun serangan udara Jerman sangat berbahaya. Istana Buckingham sendiri pernah terkena bom. Tetapi keluarga diraja memilih untuk kekal bersama rakyat.

Selepas perang tamat pada 1945, Britain berubah. Empayar British mula memasuki fasa kemerosotan. Dunia baru sedang terbentuk. Kesihatan King George VI pula semakin lemah. Baginda seorang perokok tegar dan kemudian mengalami masalah kesihatan serius termasuk kanser paru-paru. Pada tahun 1949, rancangan lawatan ke Australia dan New Zealand terpaksa ditangguhkan kerana keadaan kesihatan baginda.

Walaupun semakin sakit, baginda tetap berusaha menjalankan tugas negara. Namun pada 6 Februari 1952, King George VI mangkat ketika tidur di Sandringham. Baginda baru berusia 56 tahun.

Takhta kemudian diwarisi oleh puteri sulungnya, Elizabeth yang menjadi Queen Elizabeth II. Pertabalan rasmi Queen Elizabeth II berlangsung pada tahun 1953. Dari seorang puteri kecil yang pernah berdiri di sisi ayahnya, Elizabeth akhirnya menjadi ratu yang memerintah Britain selama puluhan tahun.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet