WrestleMania 42 baru sahaja menjadi pentas kepada penamat paling berat dalam karier Brock Lesnar.
Di Allegiant Stadium, Las Vegas, Brock Lesnar tewas kepada Oba Femi dalam satu perlawanan yang dari awal lagi sudah terasa seperti pertembungan antara dua zaman.
Di satu sudut berdiri Brock Lesnar, nama yang selama lebih dua dekad menjadi simbol kuasa, keganasan dan aura yang susah dicabar dalam WWE.
Di satu sudut lagi berdiri Oba Femi, bintang baru yang sedang dibina sebagai antara wajah masa depan syarikat. Apabila loceng penamat dibunyikan dan Oba Femi berdiri sebagai pemenang, yang berlaku selepas itu jauh lebih mengejutkan daripada keputusan perlawanan itu sendiri.
Selepas kekalahan itu, Brock Lesnar tidak terus bangun dan beredar seperti biasa. Dia duduk lama di tengah gelanggang seolah-olah sedang menelan hakikat bahawa satu fasa besar dalam hidupnya mungkin sudah sampai ke penghujung.
Kemudian dia membuka glove dan butnya, lalu meninggalkan kedua-duanya di atas gelanggang. Dalam dunia gusti profesional, tindakan itu ialah simbol yang sudah lama dikaitkan dengan persaraan.
Sebab itu seluruh stadium terus faham walaupun tidak ada satu perkataan rasmi pun disebut ketika itu.
Suasana selepas itu berubah menjadi cukup aneh. Brock Lesnar, figura yang selama ini dikenali sebagai “The Beast Incarnate” berdiri bukan sebagai raksasa yang mahu membaham lawan lagi, tetapi sebagai seorang legenda yang mungkin sedang mengucapkan selamat tinggal.
Paul Heyman datang mendapatkan beliau dan memeluknya di tengah gelanggang. Sorakan “Thank you, Lesnar” mula bergema daripada penyokong. Seluruh momen itu terasa terlalu simbolik untuk dianggap kebetulan.
Bagi seorang seperti Brock Lesnar yang jarang menunjukkan sisi sentimental di depan khalayak, adegan itu menjadikan segala-galanya lebih berat.
Namun, seperti biasa dalam WWE, persoalannya tidak semudah itu. Setakat ini, belum ada pengumuman rasmi yang secara terang-terangan menyebut Brock Lesnar sudah benar-benar bersara.
WWE mengesahkan keputusan perlawanan dan kemenangan Oba Femi, tetapi perkataan “retirement” masih kekal pada andaian berdasarkan apa yang berlaku di dalam gelanggang.
Itulah yang membuatkan momen ini lebih menarik. Seluruh dunia rasa seperti sudah nampak penamatnya, tetapi secara teknikalnya pintu itu masih belum ditutup habis.
Jika benar WrestleMania 42 ialah malam terakhir Brock Lesnar sebagai penggusti aktif, maka cara dia pergi memang cukup sesuai dengan wataknya selama ini.
Dia bukan jenis orang yang perlukan ucapan berjela-jela. Dia bukan jenis yang mahu mengadakan jelajah perpisahan.
Brock Lesnar sentiasa kelihatan seperti manusia yang lebih rela muncul, mengganas dan hilang semula tanpa banyak penjelasan. Maka kalau dia benar-benar memilih untuk menamatkan karier dengan duduk di tengah gelanggang, membuka but dan glove, memeluk Paul Heyman, kemudian beredar dalam laungan penghargaan peminat, itu memang penamat yang paling tepat untuk seorang Brock Lesnar.
Dalam masa yang sama, kekalahan kepada Oba Femi juga terasa seperti penyerahan obor kepada generasi baru. Oba bukan sahaja mengalahkan Brock Lesnar, tetapi mengalahkannya di WrestleMania, pentas yang tertinggi dalam dunia WWE.
Tetapi ada satu lagi kemungkinan yang sedang berlegar dalam kalangan peminat dan pemerhati. Ada pihak yang melihat WrestleMania 42 bukan sebagai penamat mutlak, tetapi hanya bab pertama kepada penamat sebenar.
Nama yang paling banyak dikaitkan dengan kemungkinan itu ialah Gunther. Sebelum ini memang sudah lama wujud minat untuk melihat Brock Lesnar bertembung dengan Gunther dalam perlawanan perseorangan.
Kini, selepas WrestleMania 42, spekulasi itu kembali hidup apabila wujud naratif bahawa Paul Heyman berhutang satu “favour” kepada Gunther. Daripada situ, terus lahir teori bahawa Gunther mungkin akan menggunakan hubungan itu untuk memancing Brock keluar daripada persaraan atau sekurang-kurangnya memaksanya kembali untuk satu perlawanan terakhir.
Teori itu jadi lebih menarik apabila SummerSlam 2026 akan berlangsung di Minneapolis, Minnesota, negeri asal Brock Lesnar. Sukar untuk membayangkan pentas yang lebih sesuai untuk satu perlawanan persaraan yang sebenar.
Mungkin Gunther yang semakin dibina sebagai pemusnah terus menekan Paul Heyman minggu demi minggu, menuntut jawapan sama ada Brock Lesnar benar-benar sudah habis atau belum.
Mungkin tekanan itu akhirnya memaksa Brock kembali buat kali terakhir dan untuk menutup kerjanya di tempat sendiri.
Apa pun yang berlaku selepas ini, Brock Lesnar tak lagi sama seperti sepuluh tahun lalu. Usianya kini sudah menghampiri penghujung 40-an, tubuhnya tidak lagi boleh digunakan seperti ketika era kemuncak dan dunia WWE sendiri semakin bergerak ke arah generasi baru.
Malah tanpa kontroversi sekalipun, ramai sudah lama merasakan bahawa masa Brock Lesnar sebenarnya memang hampir tamat. WrestleMania 42 cuma memberi gambaran paling jelas bahawa penghujung itu sudah benar-benar dekat.
Kalau benar Brock Lesnar sudah selesai, maka WWE baru sahaja menutup satu daripada bab paling menakutkan dan paling berpengaruh dalam sejarah moden syarikat itu.
Ini lelaki yang bukan sahaja menjadi juara dunia WWE berkali-kali, tetapi juga pernah keluar ke UFC dan menakluk sana sekali. Tidak ramai yang boleh menguasai gusti profesional dan seni bela diri campuran dengan aura sebesar itu.




No comments yet