Rabu, 21 Oktober 202621 Okt 2026
Kembara Patriot

Wujud Ke Sebenarnya Kerajaan Agung Israel, Kerajaan Nabi Daud Dan Nabi Sulaiman?

Betul ke sebenarnya wujud satu kerajaan bernama Israel pada zaman dahulu?

Ataupun ianya cumalah mitos yang sengaja digembar-gemburkan dalam teks-teks agama seperti Bible dan Qur’an?

Soalan ini merupakan soalan yang sangat panas bukan sahaja dalam dunia akademik, tetapi juga penuh emosi dalamkancah politik dan identiti hari ini.

Kalau kita buka Bible, penceritaan tentang bangsa Israel sangat jelas dan panjang.

Ia bermula dengan kisah Abraham, kemudian diwarisi oleh keturunannya melalui Isaac dan Jacob.

Bahkan dalam Bible sendiri, Jacob sendiri diberi nama Israel, dan dari situlah datang istilah Bani Israel. Dua belas anaknya menjadi asas kepada dua belas suku yang membentuk identiti bangsa ini.

Kemudian muncul figura besar seperti Moses yang memimpin mereka keluar dari Mesir.

Kisah Exodus, ataupun keluaran dari Mesir ke tanah yang dijanjikan ini menjadi titik penting yang membentuk naratif kebangsaan mereka sebagai satu umat yang dipilih.

Kerajaan Israel dalam Bible mencapai kemuncak di bawah King David dan anaknya King Solomon.

Di sinilah telah digambarkan wujudnya satu kerajaan yang kuat, bersatu, dan berpusat di Jerusalem.

Namun selepas King Solomon, kerajaan ini berpecah kepada dua, iaitu Israel di utara dan Judah di selatan.

Perpecahan ini melemahkan mereka sehingga akhirnya ditakluk oleh kuasa luar seperti Assyria dan Babylon.

Kalau kita lihat pula dari sudut Quran, kisah Bani Israel juga wujud tetapi dengan penekanan yang berbeza.

Al-Quran jugs tidak fokus kepada struktur politik kerajaan semata-mata, tetapi lebih kepada aspek keimanan, ujian, dan hubungan mereka dengan para nabi.

Dalam Al-Quran, tokoh seperti Nabi Musa dan Nabi Daud tetap disebut, tetapi bukan sebagai pembina empayar semata-mata. Sebaliknya mereka digambarkan sebagai nabi yang membawa wahyu dan hukum.

Nabi Sulaiman pula ditonjolkan dengan kelebihan luar biasa seperti menguasai angin dan jin.

Ianya dapat menunjukkan fokus Al-Quran yang lebih melihat kepada kekuasaan yang datang dari Allah, bukan semata-mata politik manusia.

Menariknya, Al-Quran juga menyebut bahawa Bani Israel pernah diberi kelebihan berbanding umat lain.

Tetapi kelebihan itu bukan kekal, kerana ia bergantung kepada ketaatan mereka kepada Tuhan.

Kita sudah lihat bagaimana ketiga-tiga agama iaitu Yahudi, Kristian dan Islam melihat pembentukan bangsa Israel menjadi sebuah kerajaan agung seperti yang tercatat di kedua-dua Bible dan Qur’an.

Sekarang persoalan besar, apa pula kata sejarah dan arkeologi?

Adakah semua ini hanya mitos agama, atau sebenarnya ada bukti fizikal yang menyokongnya?

Menariknya, kebanyakan ahli sejarah moden banyak bergantung kepada penemuan seperti Tel Dan Stele, yang ditemui pada tahun 1993.

Batu ini mengandungi tulisan Aram yang menyebut “House of David”, satu rujukan yang sangat signifikan kepada King David.

Kenapa ini penting?

Sebabnya sebelum penemuan ini, kebanyakan sarjana beranggapan bahawa King David hanyalah seorang tokoh legenda, bukan betul-betul wujud dalam Bible.

Tetapi dengan adanya Tel Dan Stele, sekurang-kurangnya kita tahu bahawa nama dinasti Daud memang dikenali oleh musuh Israel pada zaman itu.

Ini memberi indikasi bahawa beliau bukan satu cerita rekaan, melainkan benar-benar ada.

Selain itu, terdapat juga Mesha Stele yang ditemui di Jordan pada abad ke-19. Batu ini ditulis oleh Raja Mesha dari Moab dan menyebut tentang konflik dengan Israel.

Dalam inskripsi ini, Israel digambarkan sebagai satu entiti politik yang cukup kuat untuk berperang dan menguasai wilayah.

Ini sekali lagi menyokong bahawa Israel bukanlah hanya komuniti kecil yang tidak ada struktur, seperti yang dipercayai oleh sesetengah ahli akademik sebelumnya.

Satu lagi bukti penting ialah Merneptah Stele yang berasal dari sekitar 1208 SM. Ini adalah rekod dari Firaun Mesir yang menyebut nama “Israel” secara langsung.

Apa yang menarik, dalam Merneptah Stele, Israel digambarkan sebagai satu kumpulan manusia, bukan sebuah negara.

Penemuan ini menunjukkan bahawa pada peringkat awal, Israel mungkin lebih kepada identiti etnik atau suku, bukan kerajaan besar.

Namun, lama-kelamaan mereka berubah kepada sebuah kerajaan yang berkuasa dan bersaing dengan kuasa-kuasa besar lain.

Kemudian kita ada tapak-tapak arkeologi seperti Jerusalem yang sering dikaitkan dengan pusat pemerintahan King David dan King Solomon.

Penggalian di kawasan ini menemukan struktur purba seperti tembok dan bangunan besar yang bertarikh sekitar zaman yang dikaitkan dengan mereka.

Namun begitu, tafsiran terhadap penemuan ini masih diperdebatkan.

Ada ahli arkeologi seperti Israel Finkelstein yang berpendapat bahawa kerajaan Daud dan Sulaiman mungkin tidak sebesar yang digambarkan dalam Bible.

Mereka melihatnya lebih sebagai kerajaan kecil yang dipimpin oleh ketua suku kaum atau “chiefdom”. Bagi mereka, ia tidak kecil, tetapi tidak juga terlalu besar.

Sebaliknya, sarjana lain seperti William G. Dever cenderung untuk menerima bahawa memang wujud satu bentuk kerajaan, walaupun mungkin tidak semegah naratif Bible.

Selain Jerusalem, tapak seperti Khirbet Qeiyafa juga memainkan peranan penting.

Di sini ditemui kubu dan bandar yang bertarikh sekitar abad ke-10 SM, zaman yang sering dikaitkan dengan pemerintahan Daud.

Struktur di Khirbet Qeiyafa menunjukkan perancangan bandar yang agak kompleks. Ini memberi petunjuk bahawa sudah ada organisasi politik yang tersusun, menyangkal dakwaan bahawa mereka hanyalah suku nomad.

Namun begitu, tidak semua sarjana setuju bahawa kerajaan besar seperti yang digambarkan dalam Bible benar-benar wujud dalam skala yang sama.

Ada juga yang berpendapat bahawa ianya mungkin dibesar-besarkan atau disusun semula oleh penulis kemudian.

Tidak kisah sama ada kerajaan itu strukturnya kecil dan besar, namun apa yang pasti ialah penemuan-penemuan ini akhirnya membenarkan apa yang terkandung dalam kitab-kitab suci agama.

Jadi, jawapannya ya, kerajaan Israel wujud.

Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah 2:251:

“Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam tentera Talut) membunuh Jalut. Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya…”

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet