Itulah yang sedang mengejutkan Indonesia sekarang apabila Hery Susanto, yang baru sahaja mengangkat sumpah sebagai Ketua Ombudsman Republik Indonesia pada 10 April 2026 ditahan dan dinamakan sebagai suspek hanya enam hari kemudian iaitu pada 16 April 2026.
Ombudsman ni apa sebenarnya?
Ombudsman ialah satu institusi bebas yang tugasnya memantau perkhidmatan awam dan menyiasat aduan rakyat terhadap salah guna pentadbiran. Di Indonesia, Ombudsman Republik Indonesia memang diwujudkan sebagai lembaga negara yang mandiri, bebas daripada campur tangan kuasa lain dan berperanan mengawasi penyelenggaraan perkhidmatan awam oleh kerajaan, BUMN, BUMD dan juga badan tertentu yang menggunakan dana awam.
Sebab itu jawatan Ketua Ombudsman ini sepatutnya dipegang oleh orang yang bersih sebab tugasnya ialah memerhati kebersihan sistem.
Sebab itulah kes Hery Susanto ini terasa lebih berat daripada kes biasa. Menurut Kejaksaan Agung Indonesia, Hery ditetapkan sebagai suspek dalam siasatan rasuah berkaitan tata kelola perlombongan nikel bagi tempoh 2013 hingga 2025.
Pihak berkuasa mendakwa beliau menerima kira-kira Rp1.5 bilion daripada seorang pengarah syarikat PT TSHI dan wang itu didakwa berkait dengan usaha mengurus serta mempengaruhi isu pengiraan penerimaan negara bukan cukai atau PNBP melibatkan syarikat berkenaan.
Apa yang lebih mengganggu ialah dakwaan itu bukan berlaku selepas beliau jadi ketua, tetapi dikatakan berlaku ketika beliau masih menjadi anggota Ombudsman bagi penggal 2021 hingga 2026.
Menurut laporan, penyiasat mendakwa syarikat terbabit mahu Ombudsman “membetulkan” atau mengubah pengiraan yang asalnya dibuat oleh kementerian berkaitan supaya beban bayaran syarikat itu menjadi lebih ringan. Kalau dakwaan ini benar, maksudnya wujud cubaan menggunakan institusi pengawasan awam untuk memusing keputusan yang memberi manfaat kepada pihak swasta.
Ironinya pada hari pelantikan 10 April lalu, Hery sendiri dilaporkan berkata bahawa Ombudsman akan segera merapatkan barisan untuk menjalankan tugas, fungsi dan kewenangannya selepas pelantikan yang tertangguh sebelum itu. Tapi baru beberapa hari bercakap soal mandat dan tanggungjawab kepada rakyat, terus muncul tuduhan bahawa ketika masih memegang amanah sebagai komisioner, beliau didakwa menerima wang suapan dalam kes yang sangat sensitif.
Setakat maklumat yang dilaporkan, Hery kini telah ditahan untuk tempoh awal 20 hari dan disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang antirasuah Indonesia. Proses ini masih berjalan dan dari sudut undang-undang, beliau tetap berhak membela diri di mahkamah.
Tetapi pada masa sama, hakikat bahawa seorang Ketua Ombudsman boleh ditangkap secepat ini sudah cukup untuk mencetuskan krisis keyakinan yang besar.
Siapa sebenarnya Hery Susanto? Berdasarkan laporan media Indonesia, beliau lahir di Cirebon pada 9 April 1975, memiliki latar pendidikan doktoral di Universitas Negeri Jakarta, pernah terlibat dalam bidang dasar awam dan advokasi, pernah menjadi tenaga ahli Komisi IX DPR RI, dan kemudian menyertai Ombudsman sebagai anggota bagi penggal 2021 hingga 2026 sebelum diangkat menjadi Ketua Ombudsman untuk penggal 2026 hingga 2031.
Dalam kes Hery Susanto ni, yang jadi masalah kepada rakyat ialah bila orang yang sepatutnya menjaga integriti ombudsman itu sendiri kini dituduh mengkhianati kewujudannya. Dan itu bagi mana-mana negara sekalipun, memang dilihat sangat memalukan. Itu petanda bahawa sistem semak dan imbang sentiasa perlu diawasi semula walaupun oleh orang yang kononnya paling layak menjaga integriti.




No comments yet