Dalam sejarah, logiklah kalau kita kata yang adanya satu kumpulan atau empayar lain yang menjadi penyebab kehancuran satu tamadun yang lain. Itu merupakan satu adat dalam naik dan turunnya satu peradaban.
Tapi, percaya tak kalau ada rekod sejarah yang kata bahawa adanya satu kaum yang menyebabkan hancurnya hampir semua kerajaan, yang menjadi penyebab keruntuhan Era Gangsa?
Tak logik kan? Tapi, itulah kisah Orang Laut atau Sea Peoples.
Orang Laut ini digambarkan dalam sumber kuno sebagai pasukan besar yang bergerak bersama keluarga, senjata, dan kapal perang.
Mereka muncul secara tiba-tiba di seluruh Mediterranean sekitar abad ke-12 SM, seolah-olah datang dari bayang-bayang sejarah yang menghantui seluruh kerajaan pada waktu itu.
Antara sumber utama tentang mereka datang daripada ukiran di Medinet Habu yang dibina oleh Firaun Ramesses III. Dalam catatan ini, Orang Laut digambarkan sebagai ancaman besar yang hampir menjatuhkan Mesir.
Menariknya, walaupun Mesir berjaya menangkis serangan ini, banyak tamadun lain tidak bernasib baik.
Kuasa besar seperti Empayar Hittite hilang terus dari peta, manakala bandar seperti Ugarit musnah sepenuhnya tanpa sempat pulih.
Oleh sebab itulah, Orang Laut ini disebut sebagai penyebab utama dalam Bronze Age Collapse.
Tapi, ada satu persoalan yang masih menghantui ahli sejarah, iaitu siapa sebenarnya Orang Laut ini?
Malangnya, tiada satu jawapan yang disepakati, menyebabkan bermula perdebatan akademik yang sangat menarik.
Salah satu teori popular menyatakan bahawa Orang Laut berasal dari kawasan Aegean, mungkin dari runtuhan dunia Mycenaean Greece.
Diceritakan bahawa selepas sistem politik dan ekonomi mereka runtuh, mereka terpaksa berhijrah dan menyerang kawasan lain untuk kelangsungan hidup.
Tapi, ada juga sarjana yang berpendapat bahawa mereka bukan satu bangsa tunggal, tetapi gabungan dari pelbagai kumpulan pelarian, tentera upahan, dan masyarakat yang terdesak.
Dalam konteks ini, Orang Laut dilihat kepada fenomena sosial yang kompleks berbanding satu etnik tertentu.
Teori lain pula mengaitkan kemunculan mereka dengan perubahan iklim yang ekstrem.
Kemarau panjang dan kegagalan tanaman mungkin memaksa populasi besar untuk bergerak secara besar-besaran, mencetuskan gelombang migrasi dan konflik di seluruh Mediterranean.
Selain itu, ada pandangan bahawa runtuhnya Era Gangsa bukan hanya disebabkan oleh Orang Laut, tetapi oleh gabungan pelbagai faktor seperti gempa bumi, keruntuhan sistem perdagangan, dan pemberontakan dalaman.
Orang Laut mungkin hanya menjadi pemangkin terakhir kepada sistem yang sudah rapuh.
Ahli arkeologi moden juga melihat bukti bahawa banyak bandar pada masa itu sudah mengalami kemerosotan sebelum serangan berlaku.
Ini menunjukkan bahawa Orang Laut mungkin mengambil kesempatan terhadap kelemahan yang sedia ada.
Dalam teks kuno Mesir, nama-nama seperti Sherden, Peleset, dan Tjekker disebut sebagai sebahagian daripada Orang Laut.
Namun, identiti sebenar mereka masih kabur dan sering dikaitkan dengan pelbagai kawasan dari Anatolia hingga ke Levant.
Menariknya, ada teori yang mengaitkan kumpulan Peleset dengan asal-usul orang Filistin yang disebut dalam teks agama, khususnya dalam kitab Bible.
Ini membuka ruang kepada perbincangan yang menghubungkan sejarah arkeologi dengan tradisi keagamaan.
Walaupun pelbagai teori telah dikemukakan, kekurangan bukti bertulis daripada pihak Orang Laut sendiri menyebabkan mereka sukar difahami sepenuhnya.
Dan, sehingga sekarang masih tidak ada jawapan mengenai identiti sebenar siapakah Orang Laut ini, walaupun mereka merupakan penyebab yang sangat penting kepada kejatuhan Era Gangsa.




No comments yet