Kejayaan Tottenham Hotspur menjulang UEFA Europa League sepatutnya menjadi titik perubahan. Tapi hakikatnya di Premier League, Spurs kini semakin tenggelam, malah menghampiri zon penyingkiran. Ini bukan sekadar penurunan prestasi, ini tanda sebuah kelab yang sedang rosak dari akar.
Lebih panas, tekanan yang memuncak terhadap Ange Postecoglou akhirnya membawa kepada pemecatan. Namun persoalan besar timbul iaitu adakah ini benar-benar salah jurulatih, atau sekadar helah untuk mengalihkan perhatian daripada kegagalan pengurusan?
Realitinya, masalah Spurs jauh lebih dalam daripada taktikal di padang.
Dalam beberapa musim kebelakangan ini, ramai pemain utama meninggalkan kelab. Kehilangan tonggak penting tanpa pengganti setaraf menunjukkan satu perkara jelas kerana Tottenham tidak membina skuad untuk menang, tetapi sekadar untuk bertahan. Lebih memalukan, ketika kelab lain berani melabur besar, Spurs kekal dengan reputasi lama yang terlalu berkira dalam pasaran perpindahan.
Nama Daniel Levy kini semakin kerap menjadi sasaran kritikan. Di bawah kepimpinannya, Spurs dilihat lebih fokus kepada kestabilan kewangan berbanding kejayaan di padang. Persoalannya mudah, adakah kelab ini benar-benar mahu menang atau sekadar mahu kekal dalam EPL semata-mata?
Kerana jika dilihat dari tindakan mereka, jawapannya seolah-olah tidak.
Tottenham bukan sahaja gagal bersaing untuk kejuaraan Premier League, malah langsung tidak menunjukkan kesungguhan untuk mencabar UEFA Champions League walaupun mereka pernah masuk ke pentas final UCL pada tahun 2019. Tiada pelaburan besar, tiada strategi agresif, dan tiada mentaliti juara.
Trofi UEL yang dimenangi kini kelihatan seperti satu “kemalangan indah” dan bukan hasil daripada projek yang kukuh, tetapi sekadar detik sementara yang menutup realiti sebenar iaitu Spurs tidak dibina untuk mendominasi, tetapi untuk sekadar wujud.
Dan inilah perkara paling menyakitkan hati bagi penyokong setia kerana kelab sebesar Tottenham seolah-olah tidak berminat untuk menjadi gergasi sebenar bola sepak.
Dari luar nampak stabil. Dari dalam, tampak kosong.
Jika ini berterusan, Spurs bukan sekadar gagal, mereka sengaja memilih untuk tidak menjadi juara.




No comments yet