JIKA ada individu di kalangan rakyat Malaysia yang berani mendabik dada bahawasanya konfrantasi Indonesia-Malaysia hanya satu perang mulut sahaja tanpa pertumpahan darah adalah antara mereka yang paling dangkal sejarah. Ditambah lagi, ada juga segelintir rakyat Malaysia yang gah berselindung di sebalik nama-nama besar NGO yang cuba memperkotak-katikkan jasa Veteran Perang Komanwel juga antara mereka yang paling jelek kerana tidak tahu menghargai pengorbanan yang telah dilakukan oleh mereka demi keberadaan sebuah negara yang baru dibentuk iaitu Malaysia, 54 tahun dahulu.
Ya, mungkin kita sekarang hidup senang dengan mampu bermain “tembak-tembak” dalam applikasi telefon mudahalih sahaja tetapi ketahuilah di awal berdirinya satu negara bergelar Malaysia sekarang kita jangan pernah lupa bahawa nun jauh di perbatasan Malaysia/Indonesia khususnya di Sarawak mahupun Sabah, rentetan perang-perang sebenar banyak berlaku namun tidak begitu didendangkan buat pengetahuan dunia.
Mengimbau sejarah rentetan perang-perang “Ganyang Malaysia” yang berlangsung dari tahun 1964-1966, terselit satu sejarah perang yang amat luar biasa iaitu lokasinya adalah di Plaman Mapu iaitu satu perkampungan kecil yang terletak kira-kira 1800 meter antara perbatasan Sarawak, Malaysia dengan Kalimantan. Pertempuran di Plaman Mapu ini menyaksikan tentera Negara Komanwel iaitu unit tentera British yang dikenali sebagai “6 Platoon, B Company, 2nd Battalion The Parachute Regiment”. Satu unit platun seramai 36 orang melawan satu unit kompeni tentera elit komando Indonesia KOPASSUS yang mana jumlah keanggotaannya 400 orang, begitulah epiknya satu pertempuran yang pernah berlaku pada tanggal 27 April 1965.
Kesemuanya bermula menjelang cuti Krismas dan tahun baru iaitu 31 Disember 1964, apabila satu unit platun tentera British yang menerima panggilan tugas untuk dihantar ke Malaysia bagi menyertai Operasi Claret yang merupakan satu operasi ketenteraan Malaysia dan Negara-negara Komanwel. Diceritakan keanggotaan Unit Platun 6 ini adalah daripada tentera-tentera British yang masih muda belia belaka. Bagi memastikan mereka faham akan segala selok belok hutan di Borneo, unit platun ini telah dihantar untuk menjalani latihan intensif selama enam minggu di Kota Tinggi Jungle Warfare School, Kota Tinggi, Johor. Pada awal Mac 1965 baharulah unit platun ini dipindahkan ke wilayah Sarawak iaitu dengan bertemankan beberapa orang Sarawak Border Scouts untuk menjaga perbatasan Sarawak/Indonesia pada waktu itu.
Dek kerana keadaan mukabumi Plaman Mapu yang berbukit bukau maka mereka telah membina “base camp” di satu kawasan lembah bukit. Seperti kebiasaan untuk sebarang operasi ketenteraan di Borneo, sentiasa ada kerjasama antara tentera dengan masyarakat tempatan. Dikatakan melalui beberapa orang Sarawak Border Scouts yang juga pakar penjejak di hutan serta mampu berkomunikasi dengan baik mengikut dialek masyarkat tempatan, maka satu mesyuarat telah berjaya diadakan diantara tuai-tuai rumah di sekitar Plaman Mapu dengan mereka. Dari sinilah informasi mengenai aktiviti-aktiviti tentera Indonesia yang sudah bergerak di luar sempadan boleh diketahui dengan mudah.
Menjelang beberapa hari sebelum pertempuran berlangsung adalah difahamkan bahawa cuaca tidak begitu baik. Di dalam kebasahan serta kesejukan, unit platun 6 tetap setia dengan tugasan mereka membuat rondaan di sekitar perbatasan dan adakalanya memaksa mereka turut melangkaui sempadan sehingga ke wilayah Kalimantan bagi memastikan tiada pencerobohan dilakukan. Namun begitu walau begitu ketat rondaan mereka, sempadan Sarawak tetap mampu diceroboh oleh tentera Indonesia lebih-lebih lagi di waktu malam.
Akibat daripada hujan lebat dan suasana malam yang gelap, unit sentri Platun 6 tidak menyedari bahawa mereka sentiasa diperhatikan dari jauh oleh KOPASSUS. Segala aktiviti dan rutin malah juga kekuatan mereka telah diamati dengan sebaik mungkin oleh KOPASSUS sehingga memungkin mereka telah mengatur satu strategi serangan yang teratur untuk memerangi unit Platun 6 yang berkubu di Plaman Mapu.
Tanggal 27 April 1965 iaitu kira-kira jam 4.00 pagi walau di dalam suasana masih gelap dan hujan, seorang tentera yang bertugas di kawalan sentri iaitu Prebet George Avere berdasarkan nalurinya serta kepekaan telinganya telah berjaya mengamati bunyi derap kaki musuh yang sedang mengatur kedudukan formasi serangan betul-betul di kawasan “base camp” mereka. Kerana tidak mahu mengambil risiko, beliau telah memaklumkan hal tersebut dengan membuat komunikasi radio terus kepada Ketua Komandernya namun akibat daripada bunyi bising hujan dan sebagainya hubungan itu tidak diendahkan.
Hendak dijadikan cerita, kira-kira jam 5.05 pagi iaitu pada masa itu Prebet Avere baru sahaja menyerahkan tugasan sentri kepada anggota seterusnya iaitu Prebet John Kelly dikala itulah tanpa mampu dicongak oleh mereka serangan bermula dengan peluru bertali arus berserta mortar daripada sekeliling perimeter base camp mereka. Dikala itu kesemua unit platun seramai 36 orang yang mana tidak bertugas masih lagi nyenyak tidur dibuai kesejukan malam telah bangun dan mengapai apa sahaja senjata yang mereka ada.
Di dalam serangan hendap ini ada yang hanya berseluar pendek tanpa pakaian dan sebagainya merangkak dan berlari di dalam gelap mencari perlindungan dan cuba berbalas tembakan. Di dalam suasana dihujani peluru dan mortar musuh inilah seorang anggota tentera iaitu Prebet Harry Smith telah terkena tembakan musuh di kepala dan mati serta merta. Manakala Prebet Kelly bersama-sama Prebet Avere yang menjadi sentri berkubu di kawasan mereka telah diserang langsung dengan senjata RPG 7. Disinilah Prebet Kelly dikatakan mengalami kecederaan parah manakala Prebet Avere turut menerima nasib yang sama. Biar cedera mereka masih lagi berpegang pada senjata yang ada, berbalas tembakan sementara menunggu rakan-rakan yang lain bersedia di kawasan masing-masing.
CSM William yang merupakan ketua unit platun pula bergerak merangkak-rangkak sehingga sampai ke khemah operasi. Taklimat singkat dari Kapten Fleming tentang kedudukan mereka telah memungkinkan beliau mengambil tindakan nekad untuk cuba mengatur strategi. Bersama-sama dengan empat anggota platunnya, mereka merangkak dengan penuh senyap menghampiri perimeter tentera indonesia yang berselindung di sebalik atas bukit.
Lima orang melawan 30 ke 40 orang tentera Indonesia itulah yang terjadi dengan bersandarkan kepada sub mesingan yang ada, mereka menembak musuh dari jarak dekat. Manakala unit platun yang lain juga diatur menjadi grup-grup kecil antara lima ke enam orang cuba merapati himpunan tentera Indonesia yang sudahpun mengelilingi perimeter kawasan “base camp” pada ketika itu. Taktik ini biar strategi menempah maut tetapi itulah sahaja yang mampu digunakan kerana mereka sebenarnya diserang hendap dengan musuh mengelilingi mereka di semua arah. Strategi ini berjaya mengusir pihak musuh untuk berundur sehingga jauh ke dalam hutan yang berdekatan.
Keadaan kembali reda buat seketika tetapi unit platun 6 tidak leka kerana mereka tahu sebarang kemungkinan untuk tentera Indonesia kembali menyerang itu tetap ada. Dan sememangnya telahan itu benar kerana kali ini tentera Indonesia kembali dengan serangan yang lebih berat menggunakan segala senjata berat mereka. Namun pada ketika ini juga anggota platun 6 sudahpun bersedia di kubu-kubu yang mereka bina berserta dengan senjata berat mereka. Tiada belas kasihan, tembakan peluru dari mesingan serta mortar, GMPG dan sebagainya digunakan sebaik mungkin sehingga memaksa tentera Indonesia berundur jauh ke dalam hutan semula.
Bukan itu sahaja, CSM William sudahpun menyediakan separuh daripada anggotanya yang tidak cedera mengejar tentera Indonesia dan menembak mereka yang cuba melepaskan diri. Taktik ini berjaya mengekang kemaraan tentera Indonesia sehingga mereka kembali semula ke wilayah mereka iaitu kem mereka di sebelah sempadan Indonesia.
Di dalam serangan ini menyaksikan 13 orang anggota platun 6 yang cedera parah manakala dua orang lagi iaitu Lans Koperal Ian McKellar dan Prebet Harry Smith terkorban. Kedua-dua jenazah tentera Komanwel ini diterbangkan ke Singapura dan disemadikan di Kranji Cemetery, Singapura beberapa hari kemudian. Malah CSM William turut tercedera terkena tembakan di bahagian mata sehingga beliau menerima kecacatan kekal hanya mampu melihat dengan menggunakan satu mata sahaja sepanjang hayatnya.
Bila keadaan sudah reda dan hari sudah siang, barulah kesemua unit platun 6 yang tidak cedera melakukan pemeriksaan di sekeliling kawasan “base camp” mereka. Ketika rondaan itulah mereka menjumpai mayat-mayat tentera Indonesia yang mati bergelimpangan di seluruh kawasan mereka akibat daripada serangan mortar dan RPG dari pihak mereka. Difahamkan waima unit platun 6 hanya 36 orang sahaja namun mereka berjaya membunuh hampir 150 orang tentera Indonesia manakala yang lain berjaya meloloskan diri.
Begitulah cerita satu pertempuran penuh epik yang sebenarnya jika difikirkan mana mungkin jumlah yang kecil iaitu satu unit platun mampu bertahan dari satu serangan hendap satu unit kompeni. Bukan unit kompeni yang biasa-biasa sebaliknya anggota komando yang dilatih khusus. Namun semangat serta rasa tanggungjawab mereka bagi memastikan Negara Malaysia tidak sewenang-wenangnya dibolosi maka mereka tentangi juga sehingga ke titisan yang terakhir.
Inilah antara jasa-jasa Veteran Perang Komanwel yang mewarnai dunia pembentukan sebuah negara baru bergelar Malaysia, 54 tahun dahulu. Saban tahun untuk mantan veteran perang dari Unit Platun 6 akan kembali ke Sarawak khususnya di Plaman Mapu serta bersua dengan masyarakat setempat membuat kerja-kerja sosial mereka disamping mengenang peristiwa pertempuran Plaman Mapu pada tanggal 27 April 1965 suatu waktu dahulu.
Jasa mereka sememangnya tidak mampu kita balas dengan wang ringgit sekalipun. Mereka bukan rakyat Malaysia dan bumi Malaysia cukup asing bagi mereka namun mereka setia disamping kita semua kerana ingin melihat Persekutuan Malaysia yang dibentuk oleh empat entiti iaitu Malaya, Singapura (keluar 1965), Sarawak dan North Borneo (Sabah) kekal merdeka dan bebas selamanya dari cengkaman anasir luar waima Indonesia, jiran tetangga kita sekalipun.
Pada mana-mana individu rakyat Malaysia yang mengatakan pertumpahan darah itu tidak ada sewaktu pembentukan Persekutuan Malaysia dan juga yang mempersoalkan mengapa dan kenapa Veteran Perang Komanwel itu diberikan pelbagai anugerah di Malaysia serta mengatakan mereka suku sakat penjajah, hadam dan telan cerita perang ini. Fahami dan resapi segala sejarah sebenar perang “Ganyang Malaysia” kerana perang ini berlaku sewaktu MALAYSIA sudah ditubuhkan iaitu pada 16 September 1963. Bukan Senang Membina Sebuah Negara!
Lest We Forget!
-HB-
#KamekSayangSarawakBah!
#HariMalaysia16September
Rujukan:
1. The True Facts Of The Battle For Plaman Mapu, Borneo, 27 April 1965 And The Men Who Fought For It
https://paradata.org.uk/articles/true-facts-battle-plaman-mapu-borneo-27-april-1965-and-men-who-fought-it
2. The Forgotten Jungle Heroes Of Borneo
http://www.express.co.uk/life-style/life/586799/forgotten-jungle-heroes-Borneo
3. The Battle For Plaman Mapu. A Battalion Against A Company
https://www.militaryimages.net/threads/the-battle-for-plaman-mapu-a-battalion-against-a-company.3304/
4. Jamy Creates Plaque To Mark 50th Anniversary Of The Battle For Plaman Mapu, Sarawak
Jamy creates plaque to mark 50th anniversary of the battle for Plaman Mapu Sarawak
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih
1 Comment
Ada banyak kekeliruan dalam tulisan ini. Pertama, tidak mungkin pasukan 400 orang dari Kopassus. Ingat, Kopassus adalah pasukan elit yang hanya bergerak dalam unit kecil (5-15 orang). Penggunaan nama Kopassus juga tidak benar, karena pada tahun itu, Kopassus belum ada.
Kekeliruan kedua, tulisan ini hanya merujuk ke buku-buku karangan pihak Inggris. Tentunya segala kekurangan dan kerugian mereka ditutup-tutupi.
Ketiga, yang menyerang Pos Mapu ada tiga kompi (75 orang), namun 2 kompi lainnya hanya sebagai penindas dan penutup. Artinya, sebenarnya hanya 75 orang yang benar-benar menyerang Pos Mapu.
Keempat, korban 150 orang dari Kopassus tentu saja sangat keliru. Bagaimana mungkin ada korban 150 orang, sementara yang menyerang hanya 75 orang.
Patut dipahami, Inggris dengan SAS-nya mempunyai kebanggaan dan harga diri tinggi. Jatuhnya korban dari SAS dalam peristiwa Mapu tentu akan membuat malu muka mereka (apalagi, dua jenderalnya tewas di Surabaya, AW Mallaby dan Robert Guy Loder-Symonds).
Patut dipahami juga, bahwa saat konflik Indonesia-Malaysia, pasukan Indonesia tak hanya berhadapan dengan tentara Malaysia, namun juga dengan tentara Gurkha, Inggris dengan SAS-nya, New Zealand, dan SAS Australia.
Agar lebih adil dan mencakupi jurnalistik yang baik (cover both side), coba baca tautan berikut:
1. https://m.detik.com/news/berita/d-2862992/kisah-rpkad-vs-pasukan-elit-inggris-di-plaman-mapu-saat-ganyang-malaysia
2. https://jambi.tribunnews.com/amp/2019/08/27/kopassus-vs-sas-siapa-yang-menang-hutan-kalimantan-jadi-saksi-pasukan-khusus-inggris-dipermalukan?page=4
3. https://nasional.okezone.com/amp/2010/03/16/337/313026/2-jasad-tentara-australia-ditemukan-di-kalimantan