Dalam lipatan sejarah penerbangan, banyak sebab yang menjadi punca kemalangan kapal terbang. Ada disebabkan oleh kesilapan manusia dan ada juga disebabkan oleh kesilapan teknikal. Tetapi pernahkah para pembaca tahu ada satu kemalangan udara terjadi akibat pertaruhan bodoh juruterbang?
Pada 20 Oktober 1986, ia merupakan satu lagi penerbangan biasa bagi Aeroflot Penerbangan 6502. Hari itu menyaksikan penerbangan dari Sverdlovsk (kini Yekaterinburg) ke Grozny dengan penerbangan berhenti seketika di Kuybyshev (kini Samara). Penerbangan ini membawa 87 orang penumpang termasuk kanak-kanak dan tujuh orang krew.
Pada bahagian pertama penerbangan, semuanya berjalan lancar. Tetapi semuanya berubah apabila Kapten Alexander Kliuyev dan Pegawai Pertama Gennadiy Zhirnov membuat satu pertaruhan dalam kokpit. Pertaruhannya ialah dia mampu mendaratkan pesawat dengan menutup mata dan bergantung sepenuhnya kepada peralatan penerbangan.
Tidak diketahui apa yang mendorong krew menerima pertaruhan sebegitu. Sebabnya mudah, salah perkiraan boleh menyebabkan pesawat terhempas dan mengakibatkan semua orang dalam penerbangan. Penyiasat kemalangan percaya disebabkan statusnya sebagai pegawai senior dalam kalangan krew, pertaruhan tersebut tetap diteruskan di sebalik risiko keselamatan yang dinyatakan.
Semasa menghampiri landasan mendarat di Kuybyshev, Kliuyev menutup tingkap kokpit dengan langsir dan memulakan pendaratan. Di sebalik amaran daripada sistem penerbangan dan pengawal trafik udara agar membatalkan pendaratan, pertaruhan tersebut tetap diteruskan.
Sebaik saja Aeroflot 6502 mendarat, gear mendarat pesawat musnah. Ini mengakibatkan ia terbalik dan pecah kepada dua bahagian. Bahan api keluar mencurah-curah daripada tangki dan terkena pada enjin yang terbakar sekaligus menghasilkan letupan dan kebakaran dengan penumpang dan krew masih terperangkap.
Bagi pasukan kecemasan yang tiba di tempat kejadian, ia merupakan satu pemandangan yang mengerikan. Ahli bomba V. Frygin yang tiba di tempat kejadian memberitahu pasukan kecemasan merasa loya selepas melihat mayat yang tergantung daripada kerusi penumpang dan bau daging manusia yang hangus. Selain itu, mereka juga terpaksa meredah api dan asap bagi membawa keluar mangsa yang terselamat.
Kebanyakan penumpang yang mati ditemui tanpa seurat benang tetapi ada juga yang mati tanpa kasut mereka. Frygin percaya pakaian mereka musnah sama ada oleh pergerakan udara atau hangus terbakar. Walaupun ada yang berjaya diselamatkan, kebanyakan mangsa ini kemudiannya mati di hospital.
Antara individu yang cuba membantu mangsa yang terselamat ialah Pegawai Pertama Zhirnov. Menurut keterangan saksi, bukan sekali dia masuk ke bangkai pesawat dan cuba menyelamatkan penumpang dan krew. Tetapi tidak lama selepas itu, Zhirnov dilaporkan pengsan dan dibawa ke hospital. Pada akhirnya, dia meninggal dunia akibat sakit jantung. Daripada 87 orang yang mengambil Aeroflot 6502, hanya 24 yang terselamat termasuk Kliuyev.
Selain membantu usaha menyelamat dan memadamkan kebakaran, Frygin juga mengambil gambar tempat kejadian. Dia berharap menerusi gambar-gambar yang diambil, ia dapat membantu pasukan penyiasat menentukan sebab sebenar kemalangan Aeroflot 6502. Tetapi semua itu berakhir dengan kehadiran ejen-ejen KGB di tempat kejadian.
Sebaik mengetahui apa yang dilakukan oleh Frygin, mereka mengarahkan dia berhenti mengambil gambar dan menyerahkan semua salinan gambar kepada mereka. Bagaimanapun, hanya satu salinan sahaja yang diberi kepada KGB. Ini selepas Frygin meminta seorang rakannya yang juga ketua bomba, Kolonel A.K. Karpov menyimpan satu lagi salinan secara rahsia sekiranya salinan asal dirampas pihak berkuasa.
Susulan kemalangan tersebut, jawatankuasa siasatan Kuybyshev digerakkan bagi menyiasat punca kemalangan. Selepas meneliti keterangan saksi, meninjau tempat kejadian dan melihat salinan gambar Frygin yang dirampas KGB, mereka menyimpulkan punca kemalangan Aeroflot 6502 ialah kesilapan manusia. Pertaruhan Kliuyev yang berisiko ditambah kegagalan krew menghentikan perlakuan tersebut menyumbang kepada kemalangan berkenaan.
Selepas disahkan pulih, Kliuyev ditahan dan dibicarakan dalam satu perbicaraan tertutup. Selepas mendengar semua fakta kes yang dibentangkan, dia dikenakan hukuman penjara selama 15 tahun. Bagaimanapun, hukuman tersebut dikurangkan kepada hukuman penjara selama enam tahun.
RUJUKAN
Braddock, I. (2021, 20 Disember). PURE STUPIDITY Harrowing story of the pilot who killed 70 passengers in fireball crash after betting that he could land the plane BLIND. The Sun.
Shevchenko, N. (2021, 12 Februari). How a Soviet pilot bet he could land a plane BLIND and failed. Russia Beyond.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih