Semasa era Josef Stalin, banyak projek mega dibangunkan kononnya dapat menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi Kesatuan Soviet. Tetapi kebanyakan projek yang dibangunkan menjadi gajah putih terutama selepas kematiannya pada 5 Mac 1953. Salah satu projek gajah putih Stalin ialah Landasan Keretapi Maut – nama lain untuk Landasan Keretapi Salekhard-Igarka.

Tempoh Perang Dunia Kedua (WWII) atau lebih tepat, Operasi Barbarossa mendedahkan kelemahan pertahanan Kesatuan Soviet di sebelah Artik. Ini kerana pelabuhan mereka di sebelah utara, Murmansk berada dalam jangkauan rejim Jerman dan boleh saja diserang atau ditakluk. Justeru, satu pelabuhan baru perlu dibina pada kedudukan lebih jauh daripada sempadan darat Rusia.

Tahanan-tahanan gulag yang dibawa ke tapak pembinaan Igarka-Salekhard. Sumber: Arkib Russia Beyond.

Bagi merealisasikan idea itu, pelan awal menyaksikan rangkaian landasan keretapi perlu dibina merentasi Cape Kamenny yang terletak di gugusan Yamal. Kerja dimulakan pada 1947 dengan tenaga kerja seperti biasa diambil dari gulag-gulag. Sesetengah tahanan ditugaskan untuk membina pelabuhan baru dengan sebahagian lagi membina landasan keretapi yang bermula dari Lebuhraya Pechorskaya yang berukuran 700 km panjang.

Seperti mana-mana projek yang dicanang dalam sejarah Kesatuan Soviet, ia tidak pernah difikirkan sedalam-dalamnya sebelum diterjemah dalam bentuk kerja di dunia nyata. Dalam tempoh setahun, kedalaman air di Cape Kamenny terlalu cetek untuk dilalui oleh kapal-kapal besar. Pada ketika itu, landasan keretapi telah sampai ke stesen Labytnagi yang terletak di tepi Sungai Ob.

Jangan lupa dapatkan buku terbaru terbitan The Patriots, KITAB TAMADUN CINA di webstore kami: https://bit.ly/KTCAyman

Tetapi jika Stalin menjangkakan projek landasan keretapinya berjalan lancar, sangkaan beliau meleset sama sekali. Kerja pembinaan landasan terhenti sama sekali. Ini kerana keadaan tanah tundra yang berpaya tidak sesuai sebagai asas pembinaan mana-mana struktur termasuk landasan keretapi. Lantas, pelan asal projek ini terpaksa dibatalkan.

Keadaan tanah tundra yang berpaya mengakibatkan pelan asal landasan keretapi Stalin terpaksa dibatalkan. Sumber: Arkib Russia Beyond

Namun begitu, Stalin enggan berputus asa. Lantas, projek terbaru landasan keretapi dibuat dari Igarka ke Salekhard. Jarak perjalanan landasan sejauh lebih 1,200 km termasuk perjalanan feri merentasi Sungai Ob dan Enisey. Tetapi seperti biasa, kerajaan Soviet mengulangi kesilapan mereka.

Tiada sebarang usaha meninjau kawasan yang dicadang sebagai landasan keretapi. Dan dengan tarikh projek siap yang ketat, semua kerja dilakukan secara tergesa-gesa oleh tahanan-tahanan gulag yang bekerja di situ. Tidak diketahui bilangan sebenar tahanan yang terlibat dalam projek Landasan Keretapi Igarka-Salekhard. Tetapi ramai menganggarkan ia sekitar 80,000 hingga 100,000 orang.

Bagi setiap 10 hingga 12 km landasan, ada kem sementara dibina bagi para tahanan. Tetapi sementara kem belum siap, mereka terpaksa berlindung dalam khemah kanvas – tempat perlindungan buruk daripada kesejukan iklim tundra.

Jangan lupa dapatkan buku terbaru terbitan The Patriots, GENESIS II di webstore kami: bit.ly/GenesisIIZamir

Keadaan ini diburukkan lagi dengan situasi kerja mereka. Sudahlah bekerja dalam cuaca sejuk dan gangguan nyamuk (pada musim panas),semua kerja dilakukan secara manual. Kerja menggali saja dianggap sukar kerana mereka perlu mengeringkan paya terlebih dahulu sebelum penggalian dibuat. Dan memandangkan tanah paya tidak sesuai untuk pembinaan apa-apa struktur, kebanyakan landasan yang dibina runtuh. Ini memaksa kerja dimulakan semula dari awal.

Tidak diketahui bilangan sebenar tahanan gulag yang mati semasa mengerjakan Landasan Keretapi Igarka-Salekhard. Mayat mereka yang mati akan dicampak ke dalam paya atau ditanam dalam kubur-kubur besar. Kubur-kubur ini ditanda dengan salib yang dipaku pada sebatang tiang.

Kebanyakan tahanan gulag ini merupakan tahanan yang didakwa atas sebab politik. Dan dalam sesetengah kes, ada yang tidak tahan dan berjaya melepaskan diri. Menurut bekas pengarah muzium Salekhard, Lyudmila Lipatova, seorang tahanan dipaksa berbogel sebelum diikat pada sebatang pokok oleh pengawal. Setelah itu, nyamuk akan menggigit si polan bagi memaksanya memberitahu nama tahanan yang melarikan diri.

Selain dakwaan politik, ada juga didakwa atas jenayah kecil seperti mencuri. Lipatova mendedahkan satu kes seorang wanita berusia 16 tahun dihantar ke tapak Igarka-Salekhard selepas didapati mencuri setengah kilo ubi bit. Wanita itu terpaksa melakukannya bagi memberi makan ahli keluarganya yang kelaparan. Tetapi selepas ditahan, wanita itu dikenakan hukuman kerja berat selama 10 tahun atas kesalahannya itu.

Tentera Soviet yang menjadi tahanan perang (POW) Jerman semasa WWII dilabel pengkhianat selepas perang dengan kebanyakan mereka dihantar ke gulag.

Dalam sesetengah kes, tahanan yang dihantar ke tapak Igarka-Salekhard ialah veteran-veteran WWII Soviet yang ditahan di kem-kem tahanan semasa perang. Selepas perang tamat dan mereka kembali ke tanah air, kerajaan ketika itu menggelar mereka sebagai pengkhianat. Akibatnya, ramai veteran malang ini dihantar ke situ – kononnya bagi menebus maruah mereka dan bekerja atas nama Motherland.

Menjelang 1953, 600 km landasan keretapi berjaya dibina. Tetapi dengan kematian Stalin, usaha pembinaan Igarka-Salekhard dihentikan – satu pembaziran yang memberi kesan kepada kantung kewangan Soviet. Menteri Dalam Negeri Soviet ketika itu, Lavrentiy Beria kemudiannya memberi pengampunan kepada semua tahanan gulag yang terlibat dalam projek berkenaan. Dengan pengumuman tersebut, sebahagian daripada sejuta pekerja yang terlibat dengan projek itu dapat kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

Satu-satunya bahagian landasan yang masih berfungsi ialah landasan yang menghubungkan Chum dengan Labytnagi – bahagian yang diluluskan oleh Kementerian Keretapi. Sementara Kementerian Komunikasi memanfaatkan kawasan landasan untuk talian telefon. Tetapi sebahagian besar landasan ditinggalkan sekaligus membenarkan alam kembali menuntut bahagian yang diambil oleh manusia.

Tetapi jika ada menyangka idea pembinaan struktur mega di Artik ini akan diabaikan begitu saja, lupakanlah. Dengan Artik kini menjadi fokus terbaru kuasa-kuasa besar dunia termasuk Amerika Syarikat dan Rusia, pembangunan aset terutama dari segi ketenteraan akan digerakkan dengan pesat. Rusia sudah pasti tidak mahu kehilangan prestijnya di situ lebih-lebih lagi situasi di Ukraine semakin tidak memihak kepada mereka.

RUJUKAN

Ash, L. (2012, 7 Jun). Joseph Stalin’s deadly railway to nowhere. BBC News.

Zhukov, P. (2020, 5 November). How a Stalin project became known as ‘Dead Road’. Russia Beyond.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply