Saban tahun, Mei disambut sebagai Bulan Kesedaran Kesihatan Mental. Kalau di Amerika, ia dirai pada tahun ini dengan tema ‘Back to Basics’. Andai difahami, ia seakan selari dengan tema Aidilfitri yang menganjurkan kita untuk ‘kembali ke fitrah’.

Selalunya, fitrah dalam konteks ini menuding kepada fitrah beragama. Kalau dipakaikan pada Islam, ia bermaksud ‘menyerah diri kepada Maha Esa’. Atau, beribadah mudah kata. Andai diambil sudut harfiah pula, ‘Islam’ akrab dengan makna ‘sejahtera’. Ikutkan, memang itu pun kata dasarnya – salaam.

Ini sekali gus menuding bahawa fitrah Islam amat menjaga kesejahteraan; jasmani dan rohani, fizikal dan mental. Justeru, umat amat diseru supaya cakna dan ambil tahu tentangnya. Tahu bagaimana mahu mengendali baik sebagai pesakit mahupun penjaga.

Seruan begini cukup penting. Terutama jika kita pertimbangkan posisi isu kesihatan – mental khususnya – sepanjang sejarah. Berbanding hari ini, tanggapan dan rawatan terhadap pesakit mental zaman dahulukala amat bermasalah.

Jangan lupa dapatkan buku terbaru terbitan The Patriots, GENESIS II di webstore kami: bit.ly/GenesisIIZamir

Antara stigma yang dikenakan termasuklah dirasuki syaitan, hukuman tuhan, hilang imbangan badan, dan lemah kerohanian. Rawatannya pula merangkumi lobotomi (tebuk tengkorak untuk potong satu saraf pada otak), direndam sampai nyaris lemas, diputar badan sampai muntah, dan direnjat elektrik sampai mereng atau mati (Malcolm & Blumer, 2016).

Tidak dinafikan, beberapa stigma masih lagi kuat pada hari ini. Tetapi setidaknya, bentuk rawatan kini lebih sejahtera dan beretika. Sampaikan tiada lagi insiden kematian massa, seperti yang pernah berlaku di Brazil pada kurun lalu.

Masa itu (sekitar 1903), sebuah hospital mental dibangunkan di daerah Barbacena – berjarak 278 km di utara Rio de Janeiro. Ia dikenali sebagai Hospital Colônia. Tujuan asalnya memang untuk merawat pesakit mental.

Hospital Colônia, atau nama asalnya, Centro Hospitalar Psiquiatrico de Barbacena (CHPB) di Barbacena, Minas Gerais

Tetapi lama-kelamaan, ia mula dijadikan tempat membuang ‘sampah masyarakat’. Ini termasuklah pemabuk, penghidap sifilis, penghidap sawan (epilepsi), orang kelainan upaya, anti-sosial, pelacur, homoseksual, mangsa seksual, ibu tunggal, isteri yang dibuang oleh suami curang, pembantah kerajaan, penjenayah politik, dan sebagainya.

Memang pada masa itu, kefahaman tentang masalah mental masih jauh terkebelakang. Justeru boleh kata, tiada kriteria khas pun untuk seseorang dimasukkan ke Hospital Colônia. Asalkan individu itu tidak lagi diingini, keluarga atau wakil kerajaan boleh sahaja sumbat mereka ke sana.

Ikutkan, kapasiti sebenar hospital itu cuma 200 orang. Tapi kerajaan peduli apa. Selagi boleh muat, selagi itu disumbat. Sampai pernah bersesak 5,000 orang sekali gus (May, 2022). Bila ruang tidur tidak cukup, pihak pentadbir membuang habis kesemua katil. Lalu, mereka disuruh untuk tidur sahaja atas lantai – berhimpit-himpit tanpa ruang untuk bergolek-golek. Keadaan begitu bukan setakat tidak selesa, sampai membawa kepada mati sesak nafas pun ada.

Lagipun, bukan ruang tidur sahaja yang bermasalah. Bekalan makanan, minuman, dan bahkan pakaian pun kurang. Jadi, semacam perkara biasa untuk tahanan-tahanan di sana menghabiskan seharian suntuk tanpa seurat benang.

Keadaan ini ikutkan sangat ironi. Lebih-lebih lagi jika kita baca betapa mereka dikerah tenaganya – untuk membina jalan, menjaga tanaman, dan menjahit pakaian. Iya, mereka disuruh menjahit pakaian. Tetapi mereka sendiri tiada pakaian.

Hospital Colônia pada 1961, sebelum semua katil dibuang

Tanpa pakaian, makanan, ruang, dan jagaan asas, kehidupan di Hospital Colônia memang daif sehabis daif. Sampai mahu buang hajat besar dan kecil pun terpaksa merata-rata. Gangguan seksual pula usaha kata. Kes kehamilan memang perkara biasa. Bahkan, ada ibu yang sanggup sapu najis pada perut supaya kandungannya tidak diapa-apakan; dibelasah, misalnya.

Dengan suasana hidup sebegitu, Hospital Colônia seakan hilang fungsi sebagai hospital. Lalu, diganti oleh kem tahanan, ghetto, gulag – namakanlah apa saja. Memang sesuai.

Tambah pula rawatan dan jagaan di sana serba ala kadar. Bayangkan, berdekad-dekad sejak dibangunkan, hospital itu tidak mempunyai doktor dan jururawat bertauliah pun. Sekadar diselia oleh warden dan jaga.

Sebab itu kata, nama sahaja hospital mental. Tapi lihat gaya, amat jauh berbeza dengan hospital mental yang kita kenali hari ini. Selain beri ubat-ubatan, Hospital Colônia lazim membuat lobotomi, merenjat dengan elektrik, dan mandikan tahanan dengan air sejuk beku. Semua kaedah itu memang normal pada masa itu.

Jangan lupa dapatkan buku terbaru terbitan The Patriots, KITAB TAMADUN CINA di webstore kami: https://bit.ly/KTCAyman

Cuma tanpa pengawasan dan penjagaan susulan, ia boleh membawa kepada kematian. Justeru tahanan-tahanan di Hospital Colônia bukan setakat mati kebulur, hipotermia, dan penyakit lain. Ramai juga mati akibat pembedahan dan direnjat.

Dianggarkan, jumlah kematian di sana mencecah 60,000 orang. Sangat ramai… sampai kubur di sebelah pun tidak cukup. Bayangkan, ada kubur betul-betul di sebelah hospital. Memang mencurigakan habis. Cuma soalnya, apabila kubur dah tak cukup tempat, ke mana pula mayat-mayat lain disumbat?

Gambar tahun 1959

Menerusi persoalan inilah, terbongkar satu lagi jenayah Hospital Colônia. Dengan purata 16 kematian sehari, memang tak keterlaluan untuk kata yang hospital itu umpama kilang mayat. Iya, mayat sebagai ‘produk’. Hospital adalah kilang. Sambil kolej-kolej perubatan di kawasan berhampiran pula adalah peraih.

Menurut pendedahan yang dibuat oleh Daniela Arbex (wartawan dari akhbar Tribuna de Minas), Hospital Colônia telah menjual sebanyak 1,853 mayat pada tempoh 1969-1980. Semua itu dihantar ke 17 buah kolej, dengan harga setiap satu adalah sekitar 50 cruzeiro (Sunnubian, nd). Kalau dijumlahkan kesemua jualan, nilainya mencecah $250,000 (RM1 juta). Senang-senang saja buat duit, jaga pesakit tidak.

Sebab itu bermula tahun 1979, bila wartawan dibenarkan mengakses secara lebih meluas, habis segala kebobrokan Hospital Colônia dibongkarkan kepada awam. Bermula dari kunjungan doktor psikiatri dari Itali bernama Franco Basaglia, kepada jurnalis Iran Firmino dan sinematorafer Helvecio Ratton, sampailah wartawan Daniela Arbex.

Semua pun mendedahkan mengikut kapasiti masing-masing; buat makalah, liputan berita, dan dokumentari kesedaran. Sampai akhirnya pada tahun 1980, hospital itu ditutup. Sebahagian bangunannya pula diubah menjadi muzium, bernama Museu da Loucura (Muzium Gila).

Pandangan udara Hospital Colônia, yang kini menjadi muzium

Beberapa individu yang masih hidup diberikan pampasan, lalu dipindahkan ke kediaman yang lebih menenteramkan. Ikutkan, memang susah sebenarnya untuk mereka mulakan lembaran baru. Trauma dan rutin lama terlalu membekas. Sampai mereka tidak biasa makan ikut suka, mandi bila mahu, pilih pakaian yang disukai, dan miliki barang peribadi (Gortazar, 2021). Bahkan, ada yang sampai ‘hilang suara’ sebab tidak bercakap selama 50 tahun – satu mekanisme pertahanan diri sepanjang hidup di Hospital Colônia, sebuah hospital mental yang serba gagal.

RUJUKAN

Gortazar, Naira Galarraga. (2021, 9 September). Barbacena: The Brazilian ‘city of madmen’ that claimed 60,000 lives. Elpais.

Malcolm, Lynne & Blumer, Clare. (2016, 2 August). Madness and insanity: A history of mental illness from evil spirits to modern medicine. ABC News.

May, Ines. (2022, 31 March). The Brazilian Holocaust That Killed 60,000 People. History of Yesterday.

Sunnubian. (nd). The Brazilian Holocaust. African America.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Leave A Reply