Apabila berbincang tentang pertembungan kedua-dua kaum purba dari dua dunia berbeza, pasukan saintis yang mengkajinya mesti bentangkan sebarang bukti kukuh yang menyokong hujah mereka. Seperti pertembungan kaum Aztek dan Viking yang hangat dihebohkan sebab penemuan lukisan mural pada dinding Kuil Pahlawan (Temple of the Warriors) di bandar kuno Chichen Itza!
Mural itu menjelaskan bahawa watak ‘orang putih’ ialah orang Viking, dikatakan tiba apabila kuil tersebut sedang dibina, sekitar tahun 600 dan 900 Masihi. Watak ini dipanggil dengan nama ‘White Lords’ oleh orang Aztek kerana mereka tidak pernah melihat pengembara yang kulitnya berbeza dengan rata-rata orang Aztek lain.
Kerana tafsiran lukisan mural inilah terdapat perdebatan panjang antara pasukan arkeologi dan sejarawan tempatan untuk memahami adakah bangsa Eropah tiba di Amerika Tengah selain ketibaan Christopher Columbus dan penjajah Sepanyol!
Sebenarnya ‘White Lords’ ialah watak mitos kepercayaan orang asal Amerika yang dicipta akibat pertembungan dengan bangsa berkulit putih sebelum ketibaan penjajah Sepanyol.
Tetapi kebanyakan pengkaji mengandaikan bahawa mitos ‘White Lords’ ini wujud ketika penjajah Sepanyol tiba. Jadi, apabila penjajah ini datang, ramai kaum asal yang bermusuh dengan orang Aztek sanjung dan memyembah mereka sebagai dewa utama bernama Quetzalcoatl.
Jadi, menurut kaum-kaum asal Amerika selain Aztek, ketibaan penjajah Sepanyol sebenarnya adalah kepulangan ‘White Lords’ mereka.
Terdapat sebuah buku falsafah kosmik kaum Maya berjudul Esotericism of the Popol Vuh, di mana ada satu bab tentang ‘tarian gergasi’ yang menceritakan tentang konflik antara bangsa berkulit hitam dan bangsa berkulit putih di Mexico sebelum ketibaan Columbus.
Penulis buku Popol Vuh bernama Raphael Girard menjelaskan bahawa tarian ini memberitahu sebab kaum-kaum asal Amerika selain Aztek menyertai penjajah Sepanyol untuk hancurkan Empayar Aztec.
Para penari mewakili watak ‘gergasi hitam’ dan watak ‘gergasi putih’ mula menari, kemudian kedua-dua kumpulan penari ‘bertempur’ sehingga ‘gergasi hitam’ menang dan menghunus pedang ke leher ‘gergasi putih’.
Babak seterusnya ialah tibanya seorang penari mewakili watak ‘manusia putih’ bernama Gavite yang pulang ke Mexico dan membantu ‘gergasi putih’ menewaskan ‘gergasi hitam’.
Di akhir ‘pertempuran’, Gavite memancung kepala watak ‘gergasi hitam’ bernama Hun Camé. Kemudian Gavite mempersembahkan kepala Hun Camé kepada kumpulan ‘gergasi hitam’ untuk menggerunkan kumpulan tersebut.
Tarian gergasi orang Maya ini selari dengan lukisan mural dalam Kuil Pahlawan, di mana kaum berkulit hitam mengalahkan kaum berkulit putih, kemudian ditangkap dan dijadikan sebagai korban.
Perkaitan ini menunjukkan mural itu sebenarnya menceritakan perang antara kedua-dua kaum akibat perebutan kuasa. Di sini pengkaji mengandaikan bahawa kaum berkulit putih ini sebenarnya kaum Viking yang ingin menjarah Mexico.
Kaum Aztec digambarkan sebagai kaum berkulit hitam walaupun warna kulitnya tidaklah hitam sangat. Pasukan pengkaji tempatan begitu berani mengandaikan sebegitu kerana terdapat hikayat yang menceritakan orang Eropah pernah tiba di Mexico.
Ada hikayat Iceland bernama Eyrbggia Saga, bermaksud ‘Hikayat Orang Eyri’ yang mengisahkan tentang dua orang pelayar Viking yang bernama Gudleif Gudlaugson dan Björn Breiðvíkingakappi.
Mereka dikatakan tiba di Semenanjung Yucatan dan memberitahu bagaimana mereka berlayar dari mengelilingi Pulau Ireland sehingga terlajak berlayar ke Mexico. Selain Eyrbggia Saga, terdapat juga kisah tentang pelayar bernama Ari Marson dalam hikayat orang Norse.
Pada tahun 965 atau 986 Masihi, Marson berlayar dari Ireland menuju ke Greenland. Tiba-tiba, kapalnya dilanda ribut sehingga perjalanannya terbabas jauh dari perjalanan ke destinasinya.
Selama enam hari berlayar, barulah Marson menemui tanah besar yang asing, iaitu Mexico. Dua hikayat ini satu-satunya kunci untuk membuktikan yang orang Eropah pernah tiba di Mexico sebelum ketibaan Columbus.
Dengan kedua-dua hikayat orang Viking ini, adalah tidak mustahil orang Viking sendiri pernah berlayar sehingga pergi sejauh Mexico, kemudian bertempur dengan orang Aztek sana. Seterusnya, kisah pertempuran ini dicatatkan dalam bentuk tarian dan lukisan mural mereka.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




