Pada tahun 1993, di sebuah lombong garam purba bernama Douzlakh (atau Duzlakh) di Chehrabad, wilayah Zanjan, Iran, para pekerja menemui sesuatu yang menggemparkan.

Di celah lapisan garam keras, mereka menjumpai jasad manusia yang masih mempunyai rambut, janggut dan pakaian. Kajian menunjukkan jasad itu berusia antara 1,600 hingga 2,400 tahun, tetapi keadaannya masih utuh seolah-olah baru meninggal dunia.

Penemuan ini menjadi titik penting dalam dunia arkeologi. Para penyelidik menamakan jasad tersebut sebagai “Lelaki Garam” atau Salt Man. Garam yang menyelaputi tubuhnya bertindak sebagai bahan pengawet semula jadi, menyerap kelembapan dan menghalang bakteria daripada merosakkan tisu. Keadaan itu menjadikan jasad tersebut kekal terpelihara selama ribuan tahun tanpa bantuan sebarang teknologi.

Selepas penemuan pertama, penyelidikan diteruskan secara sistematik. Dari tahun 1993 hingga 2007, enam individu lain ditemui di kawasan yang sama. Kesemuanya kini dikenali sebagai Salt Man 1 hingga Salt Man 6. Setiap satu menunjukkan tahap pengawetan luar biasa, lengkap dengan rambut, pakaian, but kulit dan peralatan kerja yang masih dapat dikenal pasti dengan jelas.

Ujian pentarikhan radiokarbon mendapati jasad-jasad ini berasal daripada dua tempoh berbeza, sekitar abad ke-4 sebelum Masihi hingga abad ke-4 Masihi. Ini bermakna lombong Douzlakh telah digunakan berulang kali selama lebih dua ribu tahun, dari zaman Empayar Achaemenid hingga ke era Sasanian. Ini membuktikan bahawa kegiatan perlombongan garam di Iran purba sudah maju dan terancang sejak awal sejarah.

Antara yang paling terkenal ialah Salt Man 1. Rambutnya panjang, janggutnya masih terurai dan but kulitnya masih melekat di kaki. Di pinggangnya masih terdapat tali kulit, manakala wajahnya memperlihatkan garis usia yang jelas. Ia kelihatan seperti tubuh manusia yang tertidur di bawah kristal garam, seolah-olah masa terhenti di sekelilingnya.

Ahli arkeologi berpendapat individu-individu ini ialah pekerja lombong yang maut akibat runtuhan terowong. Beberapa jasad menunjukkan tanda tengkorak retak dan tulang patah membuktikan bahawa mereka mati serta-merta ketika bencana berlaku. Di sisi jasad, para penyelidik menemukan peralatan kerja logam dan serpihan pakaian, tanda bahawa mereka sedang bekerja ketika tragedi menimpa.

Setiap jasad memberikan maklumat yang berbeza. Ada yang diselaputi kristal garam tebal, ada yang separuh terawet dan ada yang masih memakai gelang serta tali pinggang logam. Penemuan ini membantu saintis memahami kehidupan masyarakat Iran purba, cara mereka berpakaian, bahan yang digunakan dan bagaimana sistem perlombongan dijalankan.

Kajian moden dijalankan bagi mengungkap lebih banyak maklumat. Analisis radiokarbon menentukan usia kematian, manakala kajian isotop serta sisa tisu yang masih terpelihara membantu penyelidik menilai asal usul dan tabiat pemakanan mereka. Hasilnya menunjukkan mereka mengamalkan diet berasaskan bijirin dan produk haiwan dengan tahap garam yang tinggi kerana bekerja lama di lombong.

Penyelidik turut menemui sisa parasit pada tubuh yang diawet yang mana ianya memberi petunjuk tentang tahap kebersihan dan kesihatan masyarakat ketika itu. Analisis isotop pula menunjukkan perbezaan unsur kimia antara jasad, menandakan para pekerja lombong datang dari pelbagai kawasan sekitar Iran purba dan tidak berasal dari satu komuniti yang sama.

Teknologi imbasan CT digunakan bagi meneliti struktur dalaman jasad tanpa merosakkannya. Hasil imbasan menunjukkan tulang masih utuh dan terdapat sisa tisu kering yang melekat pada rangka. Penemuan ini membantu saintis memahami bagaimana garam bertindak sebagai pengawet semula jadi yang amat berkesan.

Hari ini, kesemua jasad disimpan dengan penuh berhati-hati di Muzium Arkeologi Zanjan dan sebahagiannya di Muzium Negara Iran di Tehran. Ia ditempatkan dalam ruang kaca khas dengan suhu dan kelembapan terkawal. Pengunjung boleh melihat dengan jelas butiran tubuh, pakaian dan peralatan yang kekal selepas beribu tahun tertimbus dalam garam.

Fenomena pengawetan semula jadi ini memperlihatkan kekuatan alam yang luar biasa dalam memelihara sejarah manusia. Garam yang digali untuk sumber kehidupan akhirnya menjadi pelindung kepada jasad mereka sendiri. Setiap unsur di alam ini mempunyai peranan dan keseimbangan yang telah ditetapkan.

Kajian terhadap “Lelaki Garam” Chehrabad masih diteruskan hingga kini. Setiap penemuan baharu membantu membuka rahsia struktur sosial, ekonomi dan teknologi masyarakat Iran purba. Lombong Douzlakh kini diiktiraf sebagai salah satu tapak arkeologi paling penting di Asia Barat, tempat di mana sejarah, sains dan alam berpadu serta bersatu dalam satu kisah yang mengagumkan.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.