Sebut saja nama Hulagu Khan, ramai pasti sedar inilah figura Mongol yang mengarahkan pembantaian ke atas umat Islam di Baghdad pada 1258. Peristiwa itu menyaksikan 50,000 tentera Bani Abbasiyah dan 800,000 orang awam terbunuh di tangan tentera Mongol. Hari ini, pengkaji arkeologi percaya mereka telah menemui istana musim panas milik cucu Genghis Khan itu.
Mengikut rekod sejarah termasuk catatan sejarawan Armenia abad ke-13, Kirakos of Ganja, ibu kota Ilkhanate Hulagu terletak antara Tasik Van dengan Tasik Urmiya (kedua-duanya terletak di timur Turkiye). Ada juga yang percaya ia terletak di utara Tasik Van di Ala Taq. Disebabkan kekaburan berkenaan lokasi sebenar istana Hulagu ini, ia mengambil masa bertahun-tahun untuk mengesan lokasi istana berkenaan.
Tetapi pasukan pengkaji Turkiye-Mongolia percaya mereka telah menemui tapak istana milik Hulagu itu. Ketika ini, kerja-kerja ekskavasi sedang dijalankan tetapi ia mendedahkan satu ketika dahulu, istana pemerintah Ilkhanate Mongol itu telah dijarah selama ratusan tahun. Di sebalik semua itu, masih banyak artifak ditemui seperti porselin dan tembikar seramik yang disepuh dengan tiga warna.
Sebelum tu, apa kata kalian beli buku KITAB TAMADUN MONGOL? Dalam buku ini, macam-macam kami cerita tentang kehebatan empayar agung yang pernah menjadi ribut menumbangkan banyak kerajaan. Link pembelian: http://bit.ly/3PMSVQx
Tetapi yang paling penting sudah pastinya lambang svastika atau tamga sekitar tapak istana. Tak payah sebut itu lambang apa sebab ia ada kaitan dengan seorang lelaki bermisai kontot yang tau menyorok je dalam bunker semasa hari-hari terakhir Perang Dunia Kedua (WWII). Namun begitu, bagi pengkaji Mongolia, ia satu penemuan besar kerana itu menandakan kawasan tersebut pernah menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Ilkhanate yang ditubuhkan Hulagu ratusan tahun lalu.
Selepas berjaya menakluk Baghdad pada 10 Februari 1258, ramai penduduk awam dibunuh dengan kejam oleh tentera Mongol. Sementara pelbagai infrastruktur seperti istana, masjid, hospital dan perpustakaan termasuk Baitul Hikmah dijarah dan dimusnahkan. Malah mengikut keterangan sejarawan ketika itu, air Sungai Tigris bertukar menjadi merah lantaran terlalu banyak mayat yang dicampakkan ke dalam sungai.
Dua tahun selepas itu, Damsyik dan Aleppo, dua kota utama Dinasti Ayubiyah jatuh ke tangan pihak Mongol. Dengan Baghdad jatuh dan Syria berada dalam keadaan lemah, fokus umat Islam kini beralih kepada kerajaan Mamluk yang berpangkalan di Mesir. Walaupun wujud ura-ura untuk membentuk pakatan dengan tentera Salib Eropah, hakikatnya pihak Salib memandang tentera Mongol sebagai ancaman yang lebih besar berbanding Mamluk.
Ini kerana walaupun Hulagu mempunyai isteri dan panglima perang yang beragama Kristian (Kitbuqa), pihak Eropah tidak dapat membantu. Ia berlaku sama ada kerana mematuhi dekri Paus Alexander IV dan penggantinya Paus Urban IV atau mempunyai pakatan dengan pihak Mamluk (kerajaan Sicily). Malah, pihak Salib secara rahsia turut membantu pihak Mamluk mendapatkan bekalan di Acre sebelum bertemu dengan ketumbukan perang Mongol di Ain Jalut pada 3 September 1260.
Di Ain Jalut, pasukan perang Ilkhanate terkejut beruk kerana diakali oleh pihak Mamluk. Ini termasuk penggunaan meriam tangan buat kali pertama oleh mereka terhadap pihak Mongol. Kelebihan taktikal dan persenjataan yang dimiliki mengakibatkan kekalahan teruk kepada pihak Mongol sekaligus menggagalkan mereka daripada meluaskan jajahan yang dimiliki. Semasa Ilkhanate berada di puncak, jajahan mereka meliputi sebahagian Timur Tengah termasuk Iran, Iraq dan Turkiye.
Tetapi pengaruh Hulagu dan Ilkhanate yang dibentuknya mula goyah selepas diperangi oleh sepupunya Berke Khan. Berke murka dengan tindakan Hulagu yang menjarah Baghdad dan membunuh populasinya termasuk khalifah terakhir Bani Abbasiyah, al-Musta’sim Billah. Tindakan pantas baginda termasuk berpakat dengan pihak Mamluk menyelamatkan Makkah dan Madinah daripada menjadi sasaran utama Hulagu.
Selain tapak lama istana Hulagu, pengkaji arkeologi Turkiye-Mongolia turut menemui tapak Caravanserai dan seramik era Ilkhanate. Caravanserai merupakan tempat penginapan pedagang dan pengembara yang melalui Laluan Sutera. Di samping berperanan sebagai rumah penginapan, ia juga turut berperanan sebagai gudang simpanan untuk para pedagang sebelum mereka meneruskan perjalanan ke tempat lain.
Buat masa ini, para saintis merasakan masih terlalu awal untuk menyatakan kawasan ini merupakan bekas ibu kota musim panas Hulagu. Tetapi dengan kerja-kerja ekskavasi masih berjalan, siapa tahu lebih banyak artifak yang dapat mengaitkannya dengan Hulagu dan kerajaan Ilkhanate yang ditubuhkannya.
Kehebatan Empayar Mongol takkan mungkin disangkal. Pengaruhnya tersebar luas sampai melahirkan Dinasti Yuan yang menguasai China antara tahun 1271 hingga 1368. Kami menjemput anda beli buku KITAB TAMADUN CINA untuk memahami sejarah China yang sangat luas: https://shopee.com.my/Kitab-Tamadun-Cina-Ayman-Rashdan-Wong-i.238336777.21315812272
RUJUKAN
Lockhart, A. (2022, 23 Julai). Archaeologists may have located palace belonging to Genghis Khan’s bloodthirsty grandson who famously sacked Baghdad in 1258 to eastern Turkey. Daily Mail.
Jarus, O. (2022, 22 Julai). Archaeologists may have discovered the palace of Genghis Khan’s grandson. LiveScience.
Pandey, S. (2022, 24 Julai). Long Lost Palace of Genghis Khan’s Grandson Found in Turkey. Ancient-Origins.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih