Pada minggu lepas, tatkala ketumbukan Rusia terus mara ke Ukraine, satu mesyuarat diadakan antara Presiden Vladimir Putin dengan pemimpin-pemimpin komuniti perniagaan Rusia. Mesyuarat tersebut diadakan susulan pelbagai sekatan kewangan yang dikenakan Barat termasuk Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU).

Jika para pembaca merasakan mesyuarat ini menjadi medan para oligarki melepaskan amarah mereka, anda silap. Menurut satu sumber yang dipetik Financial Times, ia bukan satu mesyuarat tetapi sesi penerangan oleh Putin kepada mereka. Dipendekkan cerita, presiden Rusia itu memberitahu beliau tiada pilihan selain menyerang Ukraine bagi menjamin keselamatan negara itu.

Pada Isnin lepas, semua aset oligarki Rusia di EU dibekukan dan mereka yang malang tersenarai sebagai individu yang dikenakan sekatan. Pihak Barat menyangka dengan mengenakan tekanan kepada para oligarki ini, mereka dapat memujuk Putin untuk berhenti menyerang Kiev dan kembali ke meja rundingan.

Tetapi jika diamati dinamik kuasa yang wujud dalam mesyuarat berkenaan, ia lebih kepada Putin mengenakan tekanan kepada mereka. Mereka diberi pilihan sama ada menyokong syarikat-syarikat yang dikenakan sekatan termasuk bank-bank Rusia atau berdepan masalah besar di kemudian hari. Bagi para oligarki, bantahan bukan satu pilihan.

Dalam kalangan mereka yang hadir, ada sesetengah datang dari sektor swasta seperti Petr Aven (ketua Alfa-Bank) dan Vladimir Yevtushenkov (pengerusi konglomerat Sistema). Kedua-duanya meraih kekayaan semasa gelombang kapitalisme Rusia pada 90-an. Tetapi majoriti yang hadir datang dari sektor tenaga dan perbankan – sesetengah daripadanya mempunyai hubungan dengan orang-orang yang dipercayai Putin.

Bukan tidak ada yang membantah seperti pengerusi Kumpulan Alfa, Mikhail Fridman. Secara umumnya, oligarki berdarah Yahudi Rusia-Ukraine itu membantah operasi ketenteraan yang berlaku di Ukraine.

Mikhail Fridman. Sumber: Anna Gordon/Financial Times.

Tetapi Fridman tidak menyerang Putin secara terus bukan saja kerana mahu menjaga keselamatan kakitangan syarikatnya. Malah, sebab ini yang paling penting: Putin takkan layan rungutan sesiapa tanpa mengira orang kepercayaannya mahupun oligarki bila sudah komited dengan sesuatu perkara.

Ini sama sekali berbeza dengan pertemuan pertama beliau dengan para oligarki tidak lama selepas bergelar presiden pada 2000. Putin sedia maklum kebanyakan oligarki ini menjadi kaya selepas menswastakan banyak aset syarikat milik kerajaan (GLC) Rusia pada tahun 90-an.

Dalam pertemuan tersebut, beliau sedia membenarkan mereka menyimpan kekayaan masing-masing dengan syarat mereka setia dan tidak menceburi dunia politik.

Sejak itu, kelompok oligarki menjalankan aktiviti mereka tanpa gangguan selagi mana mematuhi dua syarat yang dinyatakan Putin. Tetapi ada juga yang melawan dan terpaksa membayar harga yang besar.

Antara yang terkesan ialah Mikhail Khodorkovsky, oligarki sektor minyak dan gas Rusia. Pada satu ketika, beliau pernah dipenjarakan selama 10 tahun atas dakwaan penipuan dan mengelak membayar cukai. Tetapi ramai pemerhati antarabangsa percaya Khodorkovsky dipenjarakan kerana kritikan kerasnya terhadap rejim Putin.

Mikhail Khodorkovsky

Bagi para oligarki, pilihannya mudah jika mahu mengkritik presiden mereka itu. Pilihannya sama ada mereka duduk dalam buangan atau ditahan oleh pihak berkuasa. Khodorkovsky dan pemain perbankan Sergei Puvachev memilih duduk dalam buangan. Bagi sesetengah yang lain, terpaksa berdepan risiko dipenjarakan untuk tempoh lama.

Dari satu segi, kekayaan 500 oligarki Rusia dengan nilai melebihi AS$100 juta amat besar – bersamaan 40% kekayaan isi rumah Rusia. Ini menjadikan mereka tiga kali ganda lebih kaya daripada para jutawan lain di seluruh dunia.

Tetapi kekayaan tersebut tidak boleh diterjemah dalam bentuk kuasa politik termasuk tekanan kepada Putin. Dan itu merupakan satu lagi kesilapan Barat dalam cubaan mereka untuk menghentikan konflik Ukraine-Rusia.

RUJUKAN

Seddon, M. (2022, 2 Mac). Russia’s oligarchs powerless to oppose Putin over Ukraine invasion. Financial Times.

Sumber gambar: Alexey Nikolsky/AFP/Getty Images


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply