Hari Ahad, malam 2 September 1666 mungkin sekadar hujung minggu biasa bagi penduduk London. Bagi Samuel Pepys, beliau mahu berehat di rumah selepas pergi ke teater dan minum di bar beberapa jam sebelumnya. Pepys tidak sedar malam tersebut merupakan permulaan empat hari neraka buat penduduk London – nama lain bagi Kebakaran Besar London.

Semuanya bermula akibat percikan api yang keluar daripada ketuhar milik seorang pembuat roti di Pudding Lane. Kebakaran sebegini boleh saja dicegah dari awal. Tetapi ia bertukar menjadi kebakaran besar gara-gara sikap tidak acuh Lord Mayor untuk London ketika itu, Sir Thomas Bloodworth.

Bloodworth menganggap ia sekadar kebakaran kecil dan boleh dipadamkan dengan mudah. Untuk beberapa hari selepas itu, kata-kata tersebut terpaksa ditelan semula.

Dari satu segi, bahan untuk Kebakaran Besar London sudah tersedia dan menanti masa untuk dinyalakan. Kebanyakan rumah penduduk dibina dengan rapat dengan isi rumahnya menggunakan lilin dan api terbuka untuk memasak. Sesetengah rumah turut mempunyai serbuk letupan – sisa peninggalan Perang Saudara Inggeris di mana sesetengah penduduk mengangkat senjata semasa tempoh itu.

Di setiap pelosok London, ada saja bahan mudah terbakar baik di limbungan (tar) dan kandang haiwan ternakan (rumput kering). Dengan keadaan sebegini rupa, tidak hairanlah ada berpandangan kota ini akan musnah terbakar.

Pada awalnya, ramai orang tidak panik apabila kebakaran berlaku. Sangka semua orang ketika itu, ia hanya kebakaran kecil. Tetapi apabila angin kuat meniup api dari sebelah timur, ia mengakibatkan api semakin marak dan satu persatu bangunan musnah dijilat api.

Kerja memadam kebakaran pada abad ke-17 tidak sehebat kerja-kerja memadamkan api pada hari ini. Pertama, gereja sahaja yang menyimpan semua peralatan memadamkan api termasuk tangga, cangkuk, baldi kulit dan kapak. Kedua, disebabkan Sungai Thames tidak mempunyai bagan, kerja membawa air ke tempat kebakaran bukan sesuatu yang mudah.

Contoh gambaran teknik memadam kebakaran pada abad ke-17.

Ketiga, jika ada sekalipun kenderaan untuk memadamkan kebakaran, ia amat sukar dikawal terutama bila membelok. Justeru, tidak hairanlah wujud beberapa laporan kenderaan bomba pada ketika itu terbabas dan rosak dalam kemalangan semasa cuba sampai ke tempat kebakaran.

Keempat dan paling sukar, kaedah memadamkan api yang paling berkesan ialah teknik pemusnahan bangunan. Malangnya, Bloodworth enggan berbuat demikian kerana jika berlaku kerosakan pada bangunan semasa pemusnahan berjalan, beliau akan menanggung akibat. Tetapi ketidakcekapannya menjadi punca Bloodworth dibenci orang ramai di kemudian hari.

Pepys dianggap saksi kepada ketidakupayaan Bloodworth ini. Beliau yang mempunyai hubungan baik dengan Raja England ketika itu, Raja Charles II dan Duke of York telah menasihati mereka untuk merobohkan kediaman yang terkesan. Malah, Pepys sendiri membawa titah baginda agar segera dilaksanakan oleh Bloodworth.

Raja Charles II

Tetapi bagi Lord Mayor itu, beliau mempunyai sebab tersendiri enggan membenarkan kediaman penduduk yang terbakar dirobohkan oleh pihak tentera. Sebabnya mudah, penduduk masih dihantui trauma Perang Saudara Inggeris termasuk perilaku kejam ayahanda Charles II, Charles I.

Walaupun Charles II berjaya ditabalkan sebagai raja dan elemen republikan dihapuskan pasca-Perang Saudara Inggeris, itu bukan bermakna monarki Inggeris popular dalam kalangan rakyat. Dengan kelibat tentera masih tidak popular di London, perkara terakhir yang dimahukan Bloodworth ialah kekacauan awam tatkala kebakaran besar melanda bandaraya itu.

Jalan-jalan sesak dengan orang ramai yang cuba melarikan diri. Kesesakan sama turut berlaku di Sungai Thames dengan bot-bot cuba membawa seberapa ramai orang keluar. Ketidakcekapan Bloodworth mencetuskan anarki di jalanan dengan penjenayah mencari mangsa mudah. Sementara golongan imigran pula menjadi sasaran serangan perkauman.

Bagaimanapun, kemarahan warga London tidak ditujukan kepada Charles II. Mengikut pelbagai anekdot yang wujud ketika itu, baginda sendiri turun padang membantu memadamkan kebakaran. Keprihatinan dan kesungguhan Charles II membantu sekurang-kurangnya meredakan kesengsaraan yang dialami mereka.

Tindakan pihak berkuasa merobohkan banyak kediaman pada ketika itu berjaya menyelamatkan London daripada musnah sepenuhnya. Tetapi sebaik api berjaya dipadamkan pada 5 September, London ibarat padang jarak padang tekukur. Enam orang dilaporkan mati dalam Kebakaran Besar London. Tetapi bilangan penduduk yang kehilangan tempat tinggal mencecah ratusan ribu orang.

Skala kemusnahan ibu kota England itu mengejutkan ramai pihak di seluruh negara. Lantas, derma kilat dilancarkan bagi membantu mangsa yang terjejas. Charles II turut menghantar bantuan kepada mangsa-mangsa terjejas dan menitahkan segala bantuan yang diperlukan dihantar segera.

Akibat insiden Kebakaran Besar London, Bloodworth disingkirkan dan digantikan oleh Sir William Bolton. Bolton kemudiannya diamanahkan untuk menyalurkan kutipan bantuan berjumlah £12,000. Bagaimanapun, beliau terpaksa meletak jawatan selepas £1,800 hilang dari senarai kutipan.

Lebih merungsingkan semua pihak ketika itu, siapa sepatutnya menanggung kos pembinaan semula termasuk rumah kediaman. Hal ini bermain dalam fikiran ramai penyewa ketika itu. Ini kerana mereka masih diarah membayar sewa kepada tuan rumah walaupun kediaman yang disewa musnah dalam kebakaran. Malah, ada yang tergamak mengarahkan penyewa membina semula rumah yang disewa.

Bagi mengelak lebih banyak pertikaian timbul dan menjamin keadilan kepada semua mangsa, Mahkamah Kebakaran melantik 22 orang hakim untuk membantu mengendalikan kes. Bagi memastikan perjalanan perbicaraan berjalan lancar, penghakiman dibuat dalam tempoh sehari selepas sesi pendengaran diadakan.

Ia bukan sesuatu yang mudah kepada para hakim ini. Ini kerana mereka perlu mendengar ratusan kes – kadang-kadang sehingga mengorbankan waktu cuti mereka. Tetapi pada akhirnya, setiap keputusan yang dibuat memuaskan hati semua responden. Sebagai tanda terima kasih, potret untuk 22 orang hakim ini dibuat antara 1671 hingga 1674.

Selepas tragedi itu, wujud keperluan untuk membina semula London. Beberapa reka bentuk dikemukakan tetapi semuanya ditolak oleh penduduk London. Akhirnya, reka bentuk asal bandaraya itu dikekalkan tetapi dengan beberapa pengubahsuaian.

Pertama, setiap jalan lama London dilebarkan dengan sebatang jalan baru dibina. Kedua, rumah kediaman dibina semula menggunakan batu dan batu-bata.

Ketiga, sistem saliran dan peparitan ditambahbaik dengan Sungai Thames dilengkapi bagan-bagan. Kewujudan bagan-bagan ini membolehkan air disalurkan lebih cepat untuk memadamkan kebakaran. Keempat, bangunan industri termasuk industri yang mengancam penduduk awam ditempatkan di kawasan berpusat dan jauh dari kawasan kediaman orang awam.

Kebanyakan usaha reka bentuk semula London diusahakan oleh arkitek, saintis dan jurutera Sir Christopher Wren. Walaupun reka bentuk pelan pembangunan semula bandar ditolak, beliau berjaya memastikan Katedral St Paul dirobohkan dan dibina semula. Katedral St Paul merupakan sebahagian daripada 51 buah gereja baru yang dibina pasca-Kebakaran Besar London.

Sebelum itu, Wren telah menasihatkan agar monumen tersebut dirobohkan dan dibina semula sebelum insiden kebakaran. Bagaimanapun, nasihat beliau ditolak dengan kerja pengubahsuaian dan penambahbaikan diberi keutamaan. Selepas proses pembinaan semula London dimulakan, Wren mendapat lampu hijau untuk merobohkan dan membina semula katedral berkenaan.

Sejak itu, beliau menghasilkan pelbagai reka bentuk monumen terkenal sekitar London dan England. Ini termasuk hospital-hospital diraja yang didirikan di Greenwich dan Chelsea.

Tetapi siapa sebenarnya yang mencetuskan insiden tersebut? Sehingga hari ini, ia masih gagal dijawab oleh penyiasat dan sejarawan.

Benar, ada orang mengaku sebagai pencetus kebakaran iaitu seorang pembuat jam Perancis bernama Robert Hubert. Tetapi dalam pengakuan asalnya, dia mendakwa kebakaran dimulakan di Westminsters – Kebakaran Besar London tidak pernah sampai ke situ.

Hubert kemudiannya mendakwa dia mencetuskan kebakaran di Pudding Lane. Walaupun ramai orang termasuk hakim meragui kesahihan ceritanya itu, Hubert didakwa sebelum dihukum gantung sampai mati.

Tidak lama selepas itu, beberapa orang kenalannya mendakwa dia bersama mereka sepanjang masa di laut semasa kebakaran berlaku. Sehingga hari ini, tiada siapa tahu mengapa Hubert sanggup membuat pengakuan palsu berkenaan. Yang pasti, kebakaran ini disifatkan sebagai satu kemalangan dan bukannya jenayah terancang seperti didakwa sesetengah pihak.

Sebagai memperingati tragedi yang melanda kota London itu, satu monumen khas dibina berhampiran Pudding Lane. Monument to the Great Fire of London ini dibina oleh Wren dan Robert Hooke atas titah Charles II.

Monument to the Great Fire of London

RUJUKAN

History Extra. (2020, 3 September). The Great Fire of London: how the ferocious blaze of 1666 destroyed the capital.

Geoghegan, T. (2010, 30 Jun). The untold story of the Great Fire of London. BBC News.

Nota kaki

Bagan – sinonim kepada markas/pangkalan.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply