Jarang sekali berlaku situasi pelik di mana seorang pegawai tinggi Indonesia memuji Malaysia secara terbuka sambil menghentam prestasi negara sendiri.

Kebiasaannya naratif yang keluar hanyalah slogan “Ganyang” atau semangat persaingan sengit yang tidak mahu kalah.

Namun Purbaya Yudhi Sadewa iaitu Pengerusi Lembaga Penjamin Simpanan (LPS) Indonesia baru-baru ini telah memecahkan tradisi tersebut.

Dengan nada kecewa beliau mendedahkan realiti pahit bahawa Indonesia telah kalah teruk kepada Malaysia dalam perebutan pelaburan teknologi bernilai berbilion ringgit.

Punca segala kemarahan ini adalah keputusan syarikat gergasi cip dunia iaitu NVIDIA yang memilih Kulai di Johor untuk membina pusat data AI terpantas di rantau ini. Nilai pelaburan tersebut dianggarkan mencecah RM20 Bilion (USD 4.3 Bilion).

Bagi Jakarta hal ini merupakan satu tamparan maut yang memalukan.

Mengapa Johor dipilih sedangkan Indonesia memiliki saiz ekonomi terbesar di Asia Tenggara? Mengapa pelabur memalingkan muka daripada pasaran 270 juta penduduk semata-mata untuk pergi ke negara jiran yang lebih kecil?

Jawapannya didedahkan sendiri oleh Purbaya dengan satu perkataan yang cukup mengayat hati iaitu sistem mereka masih “Berantakan” atau kucar-kacir.

Beliau membongkar satu rahsia dalaman pentadbiran Indonesia yang selama ini disorok di bawah karpet.

Walaupun Indonesia melaungkan slogan “Karpet Merah” untuk pelabur melalui sistem Online Single Submission (OSS), realiti di lapangan adalah sebaliknya.

Sistem itu hanya nampak canggih di atas kertas laporan dan slaid pembentangan. Hakikatnya pelabur asing yang datang masih terpaksa bergelut dengan birokrasi purba yang melecehkan dan membuang masa.

Lebih parah lagi Purbaya mendedahkan wujudnya budaya toksik “Asal Bapak Senang” atau ABS dalam kalangan pegawai kerajaan.

Apabila beliau bertanya kepada pegawai bawahan mengenai status pelaburan jawapan yang diterima sentiasa “Aman Pak” atau “Tiada Masalah”.

Laporan yang naik ke meja menteri semuanya dipalsukan supaya nampak cantik. Sedangkan di belakang tabir pelabur seperti NVIDIA dan Tesla senyap-senyap lari ke Malaysia dan Vietnam kerana tidak sanggup melayan kerenah birokrasi tersebut.

Kejayaan Malaysia menarik kerjasama YTL Power dan NVIDIA ke Johor ini tidak berlaku atas dasar nasib semata-mata. Ia adalah hasil strategi “Lorong Hijau” atau Green Lane yang diperkenalkan Malaysia untuk memotong segala birokrasi bagi pusat data.

Malaysia menawarkan apa yang Indonesia gagal sediakan iaitu kepastian.

Pelabur teknologi memerlukan bekalan elektrik yang stabil dan undang-undang yang tidak berubah-ubah. Di Johor mereka mendapat jaminan ini. Di seberang selat mereka hanya mendapat janji manis yang akhirnya tersangkut di meja kerani.

Pengakuan berani mati daripada Purbaya ini seharusnya menjadi amaran keras kepada dua pihak.

Bagi Indonesia ini isyarat bahawa pasaran besar dan sumber alam melimpah ruah tidak lagi laku jika “pagar rumah” susah dibuka. Wang pelaburan bersifat cair dan ia akan mengalir ke tempat yang paling kurang halangannya.

Bagi Malaysia pula kemenangan RM20 bilion ini hanyalah permulaan. Jiran kita sedang terluka dan mereka sedang belajar daripada kesilapan. Jika kita leka dan membiarkan penyakit birokrasi mula menjangkiti sistem kita tidak mustahil pelabur seterusnya akan memilih Jakarta.

Dalam perlumbaan ekonomi digital pemenang tidak ditentukan oleh siapa yang paling besar sebaliknya siapa yang paling pantas. Buat masa ini skor di papan mata kekal memihak kepada kita iaitu Johor 1 manakala Jakarta 0.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.