Sebut saja mumia, ramai membayangkan mumia dari era Mesir Purba atau mumia yang terhasil secara tidak sengaja seperti mumia Tollund. Tetapi terdapat satu mumia yang mencetuskan pelbagai persoalan sehingga hari ini. Mumia yang dimaksudkan ialah mumia Gunung San Pedro atau Pedro.
Mumia ini dikatakan ditemui di kawasan Pergunungan San Pedro, Wyoming sekitar tahun 1934 oleh dua orang pelombong emas yang sedang mencari mineral berharga itu. Tatkala dua pelombong ini sibuk menggali dan meletupkan sebahagian kawasan San Pedro untuk mendapatkan emas, tiba-tiba mereka menemui sebuah gua kecil yang tersembunyi di sebalik sebuah batu tongkol yang besar.
Batu tersebut kemudiannya diletupkan bagi membolehkan mereka melihat apa di dalam gua kecil berkenaan. Alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati terdapat sebuah mumia orang kerdil dalam gua berkenaan. Melihat usia mumia berkenaan, ia kelihatan telah berada di situ untuk satu tempoh yang lama.
Sebaik saja penemuan mumia misteri ini dilaporkan, ia mencetuskan pelbagai kontroversi. Ada mendakwa cerita mumia kerdil ini sengaja diada-adakan kononnya bagi menarik pelaburan yang diperlukan dua pelombong tersebut untuk meneruskan operasi mereka. Bagaimanapun, mereka menegaskan penemuan tersebut memang benar berlaku dan bersedia membenarkan para saintis mengkaji mumia misteri ini.
‘Pedro’, gelaran yang diberi kepada mumia berkenaan mempunyai ketinggian 16.5 cm (untuk posisi duduk) dan 35.56 cm (untuk posisi berdiri). Pemeriksaan yang dijalankan para saintis terhadap mumia itu turut mendapati ia terpelihara dengan baik termasuk kuku jarinya yang masih utuh. Jika diamati dari segi rupa, ‘Pedro’ mempunyai rupa seperti lelaki tua dengan hidung kemek dan kulit yang berkedut.
Dan ini membawa kepada satu lagi kontroversi: usia sebenar mumia berkenaan semasa ia menghembuskan nafas terakhir. Selepas melihat imbasan sinar-X pada ‘Pedro’, sesetengah ahli arkeologi percaya mumia ini sebenarnya janin atau bayi yang mati sejurus ia dilahirkan. Bagaimanapun, pandangan tersebut dibantah ramai pihak di mana mereka percaya mumia tersebut sebenarnya seorang lelaki dewasa dengan julat umur antara 15 hingga 65 tahun.
Imbasan sama turut mendedahkan ‘Pedro’ mempunyai set gigi yang tajam dan terdapat kesan makanan dalam perutnya dipercayai daging mentah. Saintis yang menjalankan pemeriksaan percaya punca kematian mumia ini ialah akibat dipukul. Ini berdasarkan penemuan keretakan pada tengkorak, tulang-tulang yang patah dan kecederaan pada saraf tunjang.
Tidak mustahil mumia San Pedro ini dianggap bukti terbaik makhluk mitologi yang terkenal dalam kalangan orang asli Amerika (Native American) yang dikenali sebagai orang kerdil. Orang kerdil ini dikatakan suka mengusik sesiapa yang melihat mereka termasuk menyanyi dengan tujuan mendorong orang yang melihat mencari kedudukan mereka. Selain itu, orang kerdil juga amat suka kepada kanak-kanak dan bersedia menjaga mereka sekiranya mereka diabaikan dalam hutan atau datang dari keluarga yang bermasalah.
Orang kerdil dikenali dengan banyak nama mengikut puak-puak orang asli Amerika. Antara nama mereka ialah Chaneque (orang Aztec), Alux (orang Maya), Ishigaq (orang Inuit), Jogahoh (orang Iroquois) dan Nunnupi (orang Commanche). Sesiapa yang melihat mereka akan diminta merahsiakan kewujudan mereka. Sekiranya si polan berbuat demikian, maka orang kerdil akan membantunya sekiranya dia atau keluarganya dalam kesusahan.
Melihat gua yang menempatkan ‘Pedro’ yang ditemui pada 1934, ia turut menjelaskan bagaimana ia terpelihara selama bertahun-tahun tanpa gangguan manusia. Ini kerana mengikut kepercayaan orang asli Amerika, orang kerdil dianggap pengacau dan tidak patut diganggu lebih-lebih lagi di kawasan gua. Ini kerana gua dikatakan tempat tinggal makhluk mitologi yang aneh itu.
Tetapi bagi menjawab persoalan ini, ‘Pedro’ perlu diuji dengan pelbagai pemeriksaan saintifik bagi mengesahkan kesahihan kisah orang asli Amerika ini. Malangnya, itu amat sukar dilakukan kerana tidak diketahui siapa pemilik sebenar mumia berkenaan.
Selepas dipamerkan di pameran-pameran tepi jalan pada 1940-an, ‘Pedro’ kemudiannya dimiliki oleh seorang lelaki bernama Ivan Goodman. Selepas Goodman meninggal dunia pada 1950, pemilikannya diambil alih oleh seorang lelaki bernama Leonard Walder/Waller. Sejak itu, kelibat mumia berkenaan tidak lagi dilihat sehingga hari ini. Selagi ‘Pedro’ belum muncul, selagi itu saintis dan pengkaji akan terus berspekulasi berkenaan mumia misteri itu.
RUJUKAN
Fugleberg, J. (2013, 31 Oktober). The Mysterious Pedro Mountain Mummy. Atlas Obscura.
Reese, M.R. (2020, 19 Mac). The Mystery of the San Pedro Mountains Mummy. Ancient-Origins.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih