Semasa era pemerintahan Raja Louis XIV, terdapat satu khabar angin yang bertiup kencang dari penjara Bastille. Kononnya, terdapat seorang banduan misteri yang ditahan atas arahan baginda dengan identitinya tidak pernah didedahkan. Pihak penjara hanya mengenalinya Lelaki Bertopeng Besi (Man in the Iron Mask) disebabkan si polan dipakaikan topeng besi sepanjang masa.

Disebabkan identiti banduan yang tidak diketahui, sedikit saja maklumat yang diketahui berkenaan Man in the Iron Mask. Mengikut satu dokumen yang dikeluarkan pada 1687, banduan yang tidak bernama ini dipindahkan dari penjara Sainte-Marguerite, sebuah pulau kecil di Laut Mediterranean yang terletak di luar pesisir pantai Cannes di selatan Perancis.

Banduan tersebut dipindahkan kepada jagaan seorang lelaki bernama Benigne de Sainte-Mars. Kedua-duanya boleh dikatakan saling mengenali kerana kedua-duanya pernah ditempatkan di kubu Pignerol dan Exilles yang terletak di Pergunungan Alps. Pignerol dianggap mimpi ngeri kepada sesiapa yang mencetuskan kemurkaan Louis XIV. Jika anda dianggap melakukan sesuatu yang boleh menjatuhkan air muka baginda, maka Pignerol merupakan satu-satunya ‘destinasi’ yang dituju.

Dapatkan info tentang konspirasi melalui pautan: https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Pignerol yang kini terletak dalam wilayah Itali moden pernah berada di bawah penguasaan Perancis sekitar 1630. Kebiasaannya, tahanan yang tiba di situ merupakan tahanan politik termasuk bangsawan Perancis. Sudahlah jadi tahanan, hak mereka sebagai tahanan juga dipandang sepi oleh penguasa-penguasa penjara seperti tidak boleh memiliki buku, tidak boleh berhubung dengan tahanan lain, tidak dibenarkan bersenam dan tidak dibenarkan menerima pelawat. Senang cerita, kehidupan di sana macam neraka dunia!

Saint-Mars dan Man in the Iron Mask kemudiannya berpindah ke Bastille selepas penguasa penjara itu menerima arahan pemindahan sekitar 1698. Sepanjang si polan berada di situ, ia menimbulkan khabar angin tentang siapa dirinya dalam kalangan banduan dan pengawal penjara. Tetapi identitinya tidak pernah didedahkan seolah-olah identitinya itu merupakan rahsia negara yang dikawal rapi.

Lebih aneh ialah apa yang berlaku pada 1703. Pada tahun tersebut, Man in the Iron Mask dikatakan telah meninggal dunia dan dikebumikan di bawah nama samaran ‘Marchialy’. Tetapi sebarang peluang untuk mengenali Man in the Iron Mask musnah selepas semua barang miliknya dibakar. Sementara sel penjara yang pernah menempatkan banduan tersebut telah dicuci bersih tanpa sebarang kesan ditinggalkan.

Sejak itu, ia menimbulkan pelbagai spekulasi yang turut menghantui ramai cendekiawan dan sejarawan sehingga hari ini. Antara teori yang hangat diketengahkan ialah Man in the Iron Mask merupakan putera Louis XIV dengan gundiknya Louise de La Vallière, Louis de Bourbon, Count of Vermandois.

Baginda dianggap kambing hitam dalam keluarga diraja ketika itu kerana mempunyai kecenderungan seksual yang songsang. Mengikut rekod sejarah, Louis de Bourbon dikatakan mangkat di Flanders selepas terlibat dalam kempen ketenteraan di sana bagi mendapatkan semula kepercayaan ayahandanya. Bagaimanapun, sesetengah pengkaji percaya itu hanyalah cerita samaran semata-mata. Mereka percaya Louis de Bourbon dicekup tentera Perancis di Flanders sebelum dipenjarakan di Bastille.

Raja Louis XIV

Ada juga yang percaya Man in the Iron Mask sebenarnya adinda kembar Louis XIV. Teori ini timbul berikutan terdapat banyak kisah kembar dalam kalangan dinasti keluarga diraja Perancis termasuk Dinasti Bourbon yang diwakili baginda. Ada percaya arahan pemenjaraan adinda kembar Louis XIV dibuat oleh ayahanda mereka sendiri, Louis XIII sebagai cara mencegah perebutan takhta dan menjamin kestabilan Perancis. Kisah ini turut menjadi asas filem The Man in the Iron Mask (1998) dengan Leonardo di Caprio menggalas peranan sebagai Louis XIV dan kembarnya Philippe Bourbon.

Ada juga yang mendakwa si polan sebenarnya anak luar nikah Raja Charles II dari England iaitu James Scott, Duke of Monmouth. Baginda dikatakan melancarkan pemberontakan terhadap Raja James II England yang berfahaman Katolik tetapi gagal. Akibatnya, Monmouth dihukum mati pada 1685. Tetapi ada yang percaya hukuman tersebut sengaja diada-adakan bagi menyelamatkan nyawa baginda sebelum diletakkan di bawah jagaan Louis XIV yang berfahaman Protestan.

Tetapi teori yang paling banyak mendapat sokongan sejarawan dan pengkaji ialah seorang valet yang berkhidmat dengan Kardinal Jules Mazarin. Mazarin merupakan diplomat dan ahli politik berkaliber yang banyak membantu pemerintahan Raja Louis XIII dan Louis XIV dari 1642 hingga kematiannya pada 1661. Tetapi beliau juga diketahui sebagai kaki belit yang menyelewengkan harta mangsa-mangsanya – salah seorang daripadanya ialah balu Charles I England, Henrietta Maria.

Valet yang tidak dikenali ini dipercayai bekerja dengan bendahari Mazarin, Antoine-Hercule Picon yang pasti tahu aktiviti penyelewengan Mazarin. Ironinya, orang yang meraih laba daripada semua ini sudah pastinya Louis XIV sendiri. Baginda pasti tidak mahu hal ini terbongkar lebih-lebih lagi semasa berunding dengan Charles II sebelum memuktamadkan Perjanjian Dover pada 1 Jun 1670. Valet tersebut pastinya diugut untuk tidak mendedahkan siapa dirinya atau berdepan risiko dihukum mati.

Tetapi satu fakta yang pasti, topeng besi yang digunakan untuk menutup wajah Man in the Iron Mask langsung tidak wujud. Bukan topeng besi seperti yang dipaparkan dalam filem G.I Joe: Rise of Cobra itu ya. Topeng sebegitu menyusahkan dalam pelbagai segi termasuk bab memberi makanan dan kesihatan si pemakainya.

Jika ada topeng sekalipun, ia diperbuat daripada kain baldu dan hanya digunakan semasa proses pemindahan banduan dibuat. Tidak mustahil orang pertama yang mendengar cerita ini keliru dengan aspek ini. Dengan mempertimbang elemen mistik yang menyelubungi Man in the Iron Mask, siapa yang tak pening.

Salah seorang yang keliru dengan ciri topeng ini ialah sasterawan Perancis terkenal Voltaire. Voltaire pernah dipenjarakan di Bastille pada 1717 sekaligus meletakkannya sebagai orang terbaik yang mengetahui kisah sebenar Man in the Iron Mask. Walaupun beliau tidak mengetahui identiti sebenarnya, banduan itu diberi layanan baik semasa di Bastille termasuk makanan yang sedap-sedap. Bagaimanapun, Man in the Iron Mask tidak dibenarkan berhubung dengan banduan lain dan hanya sekali-sekala dilawati oleh penguasa penjara.

Kisah Voltaire ini menjadi asas kepada kisah The Vicomte of Bragelonne yang dikarang Alexandre Dumas sekitar 1847 hingga 1850. Dumas yang bertanggungjawab mencipta watak The Three Musketeers turut menggunakan teori adinda kembar Louis XIV dalam novelnya itu. Dengan identiti sebenar Man in the Iron Mask masih lagi tidak diketahui, ia kekal menjadi misteri yang tiada jawapan…

Kami juga ada karya-karya fiksyen khas untuk para peminat pelbagai genre. – https://shopee.com.my/thepatriotsasia

RUJUKAN

Milne, A. (2020, 5 Mac). Who Was The Man In The Iron Mask, The Anonymous 17th-Century French Prisoner?. AllThatsInteresting.

Blanco Fernandez, C. (2017, 4 Oktober). Who Was the Real Man in the Iron Mask?. National Geographic.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply