Semua
sedia maklum kemasukan terakhir francais Avengers iaitu Avengers: Endgame
sedang hangat ditayangkan di pawagam. Dan ia sudah memecah pelbagai rekod pecah
panggung seperti kutipan terpantas $100 juta dan kutipan terpantas $150 juta.
Tatkala peminat beremosi melihat adiwira kesayangan mereka mengucapkan selamat
tinggal kepada Marvel Cinematic Universe (MCU), terdapat beberapa detik dalam
filem berkenaan yang dianggap kemuncak kepada pelbagai plot yang menjadi teras
Infinity Saga.
Harmoni
Harmoni
atau lebih tepat kewujudan harmoni dua entiti dalam satu tubuh bukanlah satu
perkara yang dapat dicapai dalam kamus kehidupan Dr Bruce Banner dan The Hulk.
Sejak terdedah kepada sinaran gamma yang melampau yang membawa kepada kewujudan
Hulk, bukan sekali dua Banner berusaha membuang apa yang dianggap satu sumpahan
yang mengganggu peluang mendapatkan kehidupan normal. Tetapi selepas melihat ia
sebagai tidak berhasil, beliau cuba mengawal transformasinya sekaligus membolehkan
Hulk muncul pada masa-masa yang diperlukan saja seperti melawan jentera perang
Chitauri dalam filem Avengers.
Tetapi
semua itu berakhir apabila Banner gagal pulih seperti biasa dan Hulk
mendominasi beliau dalam tempoh dua tahun selepas Avengers: Age of Ultron.
Seperti diceritakan beliau kepada Thor dalam Thor: Ragnarok, dahulu
kedua-duanya dapat mengawal transformasi. Tetapi dengan The Hulk sebagai
pemandu, jika Banner bertukar semula kepada Hulk, beliau tidak akan kembali
normal seperti biasa. Dan itulah harga yang dibayarnya demi menyelamatkan
penduduk Asgard dari jadi makanan haiwan kesayangan Hela, Fenris sekaligus
membantu mereka meninggalkan Asgard.
Keadaan
ini berterusan sehinggalah Hulk dikerjakan sampai lembik oleh Thanos. Walaupun
berjaya dihantar pulang ke bumi oleh Heimdall, trauma dari serangan Thanos
nyata memberi kesan kepada Hulk dari segi emosi. Hulk diakui antara makhluk
yang paling kuat dalam MCU dan berupaya menjadikan orang seperti Loki atau
Abomination seperti patung mainan. Dan ini mewujudkan mentaliti bahawa dirinya
kebal dan tidak boleh dikalahkan. Tetapi dengan kekalahan memalukan di tangan
Thanos, Hulk enggan keluar pada saat yang diperlukan Banner untuk melawan
Children of Thanos. Walaupun cuba
dipaksa keluar, Hulk enggan berbuat demikian dan memaksa Banner menggunakan sut
perisai Hulkbuster untuk melawan angkatan perang Thanos dalam Avengers:
Infinity War dan menahan Mad Titan itu dalam babak-babak awal Endgame.
Dalam
tempoh lima tahun selepas Decimation (peristiwa Thanos memetik jari menggunakan
Infinity Gauntlet), masa tersebut digunakan kedua-duanya untuk mencari titik
persamaan dan berbaik semula. Atas sebab itulah, apabila Kapten Steve Rogers
(Captain America), Natasha Romanoff dan Scott Lang mencari Banner, mereka terkejut
melihat penampilan baru Banner. Dari segi luaran, ia memang The Hulk tetapi
bezanya, Banner yang kini mengawal tindak tanduknya. Beliau sendiri mengakui
semasa melihat transformasi barunya itu, beliau seakan-akan tidak percaya
bahawa ia berlaku. Tetapi apabila kedua-duanya memilih kewujudan harmoni
bersama, ia bukan saja menghapuskan terus reputasi Hulk sebagai raksasa yang
tidak berakal malah menjadikannya sebagai antara selebriti pujaan ramai. Dan ia
juga membantu Banner terus mempraktikkan pengetahuannya membantu kempen
Avengers melawan Thanos dalam Endgame.
‘Kuat itu bukan saja pada fizikal
tetapi juga pada hati’
Teringat
saya pada dialog antara Rogers dengan Dr Abraham Erskine, arkitek Projek
Rebirth dalam Captain America: The First Avenger. Pada malam sebelum eksperimen
dijalankan, Erskine mendedahkan satu sebab mengapa beliau memilih Rogers
berbanding calon-calon lain yang dicadangkan Kolonel Chester Phillips: hati.
Calon-calon lain memang diakui mempunyai kekuatan dan kelajuan fizikal tetapi
dari segi keazaman dan kesediaan untuk berkorban, tiada siapa boleh mengatasi
Rogers termasuk kesanggupannya merebahkan badan di atas bom palsu semasa ujian
pemilihan diadakan.
Dan
siapa sangka, kekuatan hati itu juga membolehkannya memegang dan menghayun
tukul kesayangan Thor, Mjolnir semasa melawan Thanos. Ia sebenarnya merupakan
satu jenaka dalam Age of Ultron di mana semua anggota Avengers cuba mengangkat
Mjolnir. Semua anggota Avengers dari Tony Stark (main tipu guna sarung tangan
sut dan bantuan James ‘Rhodey’ Rhodes) hingga Banner sendiri gagal mengangkat
Mjolnir. Hanya Rogers sahaja yang dapat mengangkat sedikit sebelum akhirnya
mengaku kalah. Menurut Thor, hanya orang yang dianggap layak sahaja yang boleh
menghayun Mjolnir. Dan itu direalisasikan dalam Endgame di mana Rogers
menggabungkan perisai dan Mjolnir semasa menyerang Thanos bertubi-tubi termasuk
serangan kilat yang sinonim dengan Thor.
Permainan
senjata Cap dengan Thanos ini juga turut mengimbas dialog antara Rogers dengan
Red Skull/Johann Schmidt semasa membebaskan tawanan perang tentera Bersekutu di
kemudahan HYDRA di Austria. Skull menegaskan pencapaian Erskine melalui Serum
Tentera Supernya terhadap dirinya dan Cap menjadikan mereka lebih hebat
daripada manusia biasa. Tetapi berbeza dengan Skull, Rogers menggunakan
kekuatan barunya itu sebagai sumber kebaikan termasuk membantu orang-orang yang
tidak berdosa. Dan itu menjadikan dirinya layak menggunakan Mjolnir, satu
penghormatan yang dipegang oleh beberapa orang seperti Thor dan Vision.
‘Berkorban apa saja…’
Tema
pengorbanan bukan sesuatu yang baru dalam MCU dan ia sudah dapat dilihat sejak
Iron Man (2008) lagi. Tema sebegini digunakan bukan saja untuk menaikkan elemen
emosi sesebuah filem tetapi juga mengukuhkan lagi peranan protagonis yang
menjadi teras utama sesebuah filem. Iron Man misalnya mengorbankan watak Yinsen
bukan sekadar membantu Stark melarikan diri dari kem pengganas di Gulmira
tetapi juga memulakan perjalanannya sebagai adiwira yang kita kenali sebagai
Iron Man. Sementara Rogers pula bersedia mengorbankan dirinya dengan
menjunamkan pesawat Valkyrie HYDRA ke dalam laut bagi mengelakkan ia digunakan
sebagai pesawat pengebom ke atas Amerika Syarikat. Pengorbanan tersebut menjadi
batu loncatan kepada dirinya bergelar seorang Avenger pada era moden.
Dalam
Endgame, Cap sedar bagi menewaskan Thanos, suka atau tidak setiap Avengers
perlu berkorban apa saja demi menewaskan Mad Titan itu walaupun ianya amat
berisiko. Itu sebab sebelum mereka kembali ke masa silam untuk mencuri
batu-batu Infiniti, beliau hanya mengungkapkan kalimah ini, “Whatever it takes
(Lakukan apa sahaja).” Ini kerana batu-batu ini merupakan satu-satunya peluang
menewaskan Thanos dan memulihkan semula kerosakan yang ditinggalkan Mad Titan
itu. Dan harga yang dibayar amat besar bagi memulihkan semula keadaan.
Satu
daripada pengorbanan yang dilakukan Avengers ialah bila Romanoff dan rakan
karibnya Clint ‘Hawkeye’/Ronin Barton saling berlawan semata-mata untuk
mengorbankan diri demi mendapat Batu Roh (Soul Stone). Impak dari perbuatan
wanita bergelar Black Widow itu nyata memberi impak psikologi kepada semua
anggota Avengers termasuk Barton sebaik pulang daripada misi mendapatkan
batu-batu Infiniti itu. Tetapi pengorbanan Romanoff berbaloi kerana pada
akhirnya, mereka berjaya menggunakan batu-batu tersebut untuk mengembalikan
hidupan yang bertukar jadi habuk semasa Infinity War. Hero-hero yang pulih ini
juga menjadi sokongan kepada Avengers bila berhadapan dengan angkatan perang
Thanos dari Ravagers sehinggalah pahlawan-pahlawan Asgard diketuai Valkyrie.
Tetapi ia masih tidak boleh mengatasi pengorbanan yang paling besar…
‘Akulah Iron Man’…
Dialog
ini tidak asing bagi peminat siri filem Iron Man dari Iron Man (2008) hinggalah
Iron Man 3 (2013). Dalam filem pertama, kenyataan ini lebih bersifat deklarasi
bahawa dia sememangnya seorang adiwira bergelar Iron Man kepada media.
Sementara filem ketiga pula menjadikan ia satu soalan bahawa apakah dia tetap
Iron Man walaupun tanpa kelibat sut perisai yang sinonim dengan dirinya.
Naratif filem ketiga itu mengembalikan semula keyakinan Stark bahawa beliau
ialah Iron Man dan bersedia berhadapan dengan apa sahaja halangan kerana
baginya, tiada yang mustahil.
Dan
bagi menambah elemen mistik di sebalik kenyataan ini, kita juga perlu melihat
perjalanan spiritualnya sebagai adiwira dari Iron Man (2008) hinggalah Endgame.
Sebelum dikenali sebagai adiwira, Stark memang seorang ahli perniagaan yang
tiada kompas moral dan terlalu mementingkan diri sendiri. Tetapi selepas
diculik oleh Ten Rings dan hidup dalam tahanan selama beberapa bulan, ia
sebenarnya mengubah dirinya menjadi seorang yang berani, berazam dan tidak
teragak-agak bertindak atas nama kebaikan. Sejak itu, beliau mengharungi
pelbagai insiden yang mematangkan dirinya sebagai insan yang lebih baik dari
The Avengers (2012) hinggalah Spiderman: Homecoming. Dan ia sebenarnya
menyediakan Stark untuk detik ini.
Untuk
pertarungan terakhir antara Thanos dengan Avengers dan sekutu mereka, semua
sedar matlamat utama Mad Titan ialah mendapatkan semula sarung tangan Infiniti
yang mengandungi batu-batu Infiniti untuk mengulangi peristiwa Decimation.
Maka, ini mendorong ramai adiwira bertarung habis-habisan dari Barton hinggalah
Spiderman untuk memastikan Thanos tidak mendapat batu-batu itu. Di sebalik
cubaan berani mereka, ia masih tidak berhasil dan ramai merasakan bila dia
menyarung semula sarung tangan itu, akan ada ulangan Decimation seperti dalam
Infinity Wars. Tetapi tanpa pengetahuan Thanos, batu-batu tersebut berjaya
dirampas Stark dan diaktifkan dengan satu niat: penghapusan Thanos dan angkatan
perangnya. Dan pada masa itu jugalah, kalimah epik itu diungkapkan, “And… I..
am… Iron Man (Dan… akulah… Iron Man).”
Dan
peristiwa Decimation berulang cuma bezanya ia hanya berlaku ke atas Thanos dan
angkatan perangnya. Tetapi harga yang dibayar Stark untuk petikan jarinya itu
ialah nyawanya sendiri, satu kehilangan yang amat menyedihkan ramai pihak dari
Pepper Potts (isteri Stark pasca-Decimation) hinggalah Avengers sendiri. Namun,
kalimah yang dilafazkannya itu bukan sekadar satu deklarasi semata-mata kepada
Thanos. Tetapi ia juga merupakan manifestasi sikap tidak mementingkan diri
Stark yang menyerlahkan lagi sisi keperwiraannya dan memenuhi janjinya terhadap
Yinsen untuk tidak membazirkan kehidupannya selepas melarikan diri daripada
tahanan Ten Rings 11 tahun lepas. Stark tidaklah sehebat Thor, Captain Marvel
atau Cap tetapi dari segi keperibadian, beliau juga mempunyai hati yang besar
bersesuaian dengan tarafnya sebagai seorang Avenger.




No comments yet