Jumaat, 23 Oktober 202623 Okt 2026
Dato Abu Hassan Din Al-Hafiz – Tokoh Agamawan Hebat
Mutiara Islam

Dato Abu Hassan Din Al-Hafiz – Tokoh Agamawan Hebat

Semalam, umat Islam kehilangan seorang lagi permata agama yang sentiasa berjuang memartabatkan institusi maahad tahfiz negara. Siapa tidak kenal Allahyarham Tuan Guru Dato Abu Hassan Din al-Hafiz, seorang ulama yang tidak jemu berdakwah dan menyebarkan ilmu untuk pengetahuan masyarakat. Kegigihannya mempertahankan kebenaran buatkan ramai tidak senang tetapi bikin ramai menyanjung ketegasannya terutama dalam soal agama.

Dato
Abu Hassan merupakan anak jati negeri Perlis dan mempunyai sembilan adik
beradik. Salah seorang daripada mereka ialah susuk figura yang amat dikenali
ramai iaitu Allahyarham Tuan Guru Dato Haron Din, seorang pakar perubatan Islam
dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Dewan Ulama PAS. Semasa kecil, beliau
pernah bersekolah menengah di Sekolah Inggeris Derma sebelum bertukar ke
Sekolah Agama Arab Al-Alawiyyah kerana bapanya, Lebai Din merasakan sekolah
tersebut tidak sesuai dengan pembangunan sahsiah beliau. Tak lama selepas itu,
Dato Abu Hassan menyertai sebuah maahad tahfiz dan memfokuskan usaha kepada
penghafalan Al-Quran. Pada usia 21 tahun, beliau kemudian melanjutkan pelajaran
ke Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 1969 dan kekal di sana selama tujuh
tahun.

Selepas
tujuh tahun berkelana di Mesir, Dato Abu Hassan pulang ke tanah air dan mula
bekerja di Pusat Islam, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) pada
tahun 1976. Tidak sampai setahun selepas itu, beliau kemudiannya ditukarkan ke
Masjid Negara dan berkhidmat sebagai Imam Besar Masjid Negara. Pada tahun 1984,
beliau dipinjamkan ke Istana Negara dan berkhidmat sebagai Mufti Istana Negara
(nama jawatan ditukar kepada Pegawai Agama Istana Negara atas titah perintah Almarhum
Sultan Iskandar ibni Sultan Ismail yang ketika itu menjalankan peranan sebagai
DYMM Yang di-Pertuan Agong) sehingga bersara pada tahun 2006.

Terdapat
banyak cerita menarik beliau semasa berkhidmat di Istana Negara. Semasa era
Sultan Iskandar, Dato Abu Hassan merupakan satu-satunya pegawai agama istana
yang berani menegur baginda kerana memakai gelang dan rantai emas. Walaupun
baginda pada mulanya murka dengan teguran beliau, tetapi baginda akur dan
terharu dengan teguran Dato Abu Hassan. Sejak itu, kedua-duanya terus mempunyai
hubungan baik walaupun selepas Sultan Iskandar kembali ke Johor. Malah, kerana
bimbangkan kesihatan beliau, pada satu ketika Sultan Iskandar menitahkan Dato
Abu Hassan dirawat di Wad Diraja Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. Ini bagi
membolehkan ulama ini mendapat khidmat rawatan terbaik yang disediakan.

Selain
itu, beliau juga tidak teragak-agak menegur sesiapa saja dari golongan
pemerintah sama ada dari parti kerajaan atau pembangkang ketika itu. Ini kerana
menurutnya, kebenaran itu harus ditegakkan tanpa memilih siapa kelompok
sasarannya. Walaupun sedar dengan kedudukan abangnya yang ketika itu menjawat
jawatan Ketua Dewan Ulama PAS, itu bukan bermakna beliau cenderung kepada
mana-mana parti politik. Sebarang teguran yang diberi bertujuan agar menjadikan
ummah menjadi lebih baik. Tetapi itu tidak menghalang dirinya daripada digam
(dilarang menyertai mana-mana program RTM) selama berbelas-belas tahun dan
terbaru, tidak dibenarkan menerima undangan ceramah agama di Johor pada tahun
lepas. Walaupun halangan sebegini amat merenyahkan tetapi pada beliau, tugasnya
sebagai dai’ terus berjalan seperti biasa.

Salah
satu buku yang mendapat sentuhannya ialah kitab Furu’ al-Masail terbitan Telaga
Biru. Kitab ini asalnya merupakan kitab karangan Sheikh Daud al-Fathani berkenaan
soal jawab permasalahan agama dan walaupun sudah ditulis lebih 100 tahun lepas,
isi kandungannya masih tetap sesuai dengan keadaan semasa hari ini. Selepas
mengadakan solat sunat istikharah, Dato Abu Hassan menulis semula kitab
berkenaan dengan kaedah penulisan moden agar ia dapat difahami oleh para
pembaca di luar sana dan dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.

Dan
kesungguhannya menyampaikan ilmu berterusan sehingga ke akhir hayatnya.
Beberapa jam sebelum Dato Abu Hassan dijemput Ilahi, beliau sempat memberi
ceramah bertajuk ‘Andainya Ini Ramadan Terakhir’ di Surau An-Nur Fasa 3A,
Bandar Seremban Selatan semalam. Kuliah Maghrib beliau berkisar tentang
kemuliaan Ramadan dan apa amal ibadat yang boleh dilakukan sepanjang bulan
tersebut. Hujah yang disampaikan bukan saja jelas tetapi ada ketikanya, beliau
turut bergurau dengan para jemaah yang khusyuk mendengar. Tetapi Allah lebih
menyayangi beliau dan beliau pergi selama-lamanya pada 7.30 pagi tadi.
Allahyarham meninggalkan balu Rosbi Shabudin, tujuh orang anak dan 13 orang
cucu. Semoga Allah mengampuni dan merahmati ulama hebat yang sentiasa mengajarkan
ummah ilmu yang bermanfaat sebagai amalan dan panduan dalam kehidupan seharian.

SUMBER

1.
Zainol, Fadzli. (2019). Ustaz Abu Hassan Din dikebumikan lepas Asar hari ini.
Utusan Malaysia. http://www.utusan.com.my/berita/nasional/ustaz-abu-hassan-din-dikebumikan-lepas-asar-hari-ini-1.892600

2.
Gerak.Gempur.Tripod.com. (2006). ‘PAS pun tak, Umno pun tak”. http://gerak.gempur.tripod.com/mac/2hbApril.htm

3.
Muhamad, Khairul Ashraf. (2019). Perginya Almarhum Tuan Guru Dato Abu Hassan
Din al-Hafiz. Facebook. https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10157341386023104&set=a.10152405821988104&type=3&theater

4.
Dani, Mazizul. (2018). ‘Saya terkilan sedikit saja.’ Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/utama/2018/01/301309/saya-terkilan-sedikit-saja

5.
Utusan Malaysia. (2019). ‘Andainya Ini Ramadan Terakhir’, kuliah terakhir Ustaz
Abu Hassan Din. http://www.utusan.com.my/berita/nasional/andainya-ini-ramadan-terakhir-kuliah-terakhir-ustaz-abu-hassan-din-1.892559

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet