Alam sekitar sentiasa mengasyikkan kita dengan kepelbagaian flora dan fauna, terutamanya mempunyai ciri yang unik sama ada demi meneruskan hidup dari diancam atau sebagai strategi memburu mangsa.
Ada satu spesis serangga ini yang sangat unik, di mana rupa dan warnanya seperti bunga orkid sehingga ramai saintis susah nak jumpa! Serangga yang dimaksudkan itu ialah mentadak orkid atau ‘Hymenopus coronatus’.
Mentadak dari keluarga Hymenopodidae ini biasanya ditemui dalam hutan hujan tropika Asia Tenggara. Ia ditemui oleh seorang wartawan Australia bernama James Hingsley setelah beliau pulang dari Indonesia. Hingsley membawa koleksi berupa kumpulan spesis rama-rama dan juga ‘spesis pokok bunga orkid’ yang memakan serangga.
Pada awalnya, Hingsley percaya bahawa dia menemui spesis pokok bunga orkid yang aneh itu. Rupa-rupanya ‘spesis pokok’ itu ialah seekor mentadak yang berwajah bunga orkid!
Pada tahun 2014, dua orang saintis dari Universiti Macquarie, Australia bernama James O’Hanlon dan Marie Herberstein tiba di Malaysia untuk mencari spesis mentadak tersebut, dengan bantuan Orang Asli yang menetap di tengah-tengah hutan.
Orchid Mantis (Hymenopus coronatus) juvenile mimics flower, Jakarta, Java, Indonesia
Menurut James O’Hanlon, spesis mentadak orkid sangat unik kerana banyak serangga terpedaya dengan rupa badan mentadak seolah-olah bunga orkid, kemudian sukarela pergi sebelum menjadi santapan si mentadak!
Keenam-enam kakinya seperti kelopak bunga dan bahagian kepalanya berwarna merah jambu atau ungu begitu menggiurkan bagi serangga pemakan nektar seperti rama-rama. Selain menjadi ‘umpan’ kepada mangsa yang menghampirinya, rupa mentadak ini juga dapat selamatkan diri dari pemangsa seperti burung.
Rupa dan warna mentadak orkid ini dikaji oleh dua orang saintis Australia bagi mengukur jarak gelombang cahaya yang mampu dilihat oleh serangga menggunakan alat bernama spectrophotometer.
Keputusan menunjukkan bahawa warna mentadak orkid sama dengan sebahagian spesis bunga orkid di Malaysia. Mereka juga menguji dengan dekatkan serangga seperti rama-rama dan lalat untuk mendekati mentadak orkid dan bunga orkid sebenar.
Ternyata kedua-dua serangga ini tidak dapat bezakan mana satu bunga orkid sebenar atau tiruan! O’Hanlon dan Herberstein berpuas hati bahawa mereka telah temui antara spesis serangga yang sukar ditemui!
Ternyata, kewujudan mentadak orkid membuktikan bahawa ada haiwan berpotensi sebagai tumbuhan palsu seperti bunga dan digunakan sebagai strategi pemangsa dalam dunia haiwan!




No comments yet