Persaingan Amerika Syarikat (AS) dan China di rantau Indo-Pasifik memaksa banyak negara termasuk Malaysia dalam mengimbangi soal kerjasama tanpa mengorbankan kedaulatan negara masing-masing. Dengan persaingan ini makin panas, terdapat banyak perkara yang perlu diperhalusi Kuala Lumpur demi menjaga kepentingan negara.
Salah satu daripadanya ialah isu kerjasama ekonomi seperti Belt and Road Initiative (BRI). Bukan sekali BRI dimomokkan sebagai taktik diplomasi hutang China dengan Malaysia dan Sri Lanka sebagai contoh. Kononnya, bila projek-projek ini tidak dapat disiapkan dan negara berhutang dengan China, mereka perlu menyerahkan aset negara mereka kepada China.
Antara yang selalu dimomokkan sebagai contoh kegagalan BRI di Malaysia ialah projek Forest City di Johor. Forest City kini dianggap bandar hantu di mana daripada lebih 500,000 penduduk yang sepatutnya menghuni bandar berkenaan, ia hanya dihuni lebih 500 orang.
Forest City dibuat dengan harapan menarik ramai warga China berstatus profesional dan jutawan untuk menanam modal dan mencipta peluang ekonomi baru di sini. Malangnya, itu tidak berlaku. Begitupun, terdapat banyak sebab projek ini gagal.
Penularan pandemik Covid-19 mengakibatkan kelembapan ekonomi di China terutama dari segi sektor hartanah. Bila itu berlaku, bukan sedikit syarikat yang menanggung hutang yang besar termasuk Evergrande dan pemilik Forest City, Country Garden. Selain itu, polisi China yang mengehadkan jumlah wang yang boleh dibawa keluar dari China turut menyumbang.
Dari segi aspek negara kita pula, isu Covid-19 mengakibatkan pintu sempadan negara ditutup sekaligus menyukarkan pembeli untuk melihat rumah yang ditawarkan. Sementara polisi Malaysia My Second Home yang sentiasa berubah dan kerenah birokrasi yang timbul membuatkan ekspatriat berfikir dua kali untuk menetap di Malaysia.
Jadi, ada banyak punca mengapa Forest City dianggap gagal. Jika semua projek BRI gagal, mengapa projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) masih berterusan sehingga hari ini? Malah, berdasarkan beberapa laporan pada April lalu, ECRL pada landasan tepat untuk disiapkan pada Disember 2026.
Hakikatnya, banyak projek BRI tergugat di Malaysia dan Sri Lanka akibat campur tangan golongan elit dan ketidaktelusan dalam pengendalian projek. Kesimpulan ini dibuat menerusi satu laporan Chatham House pada 2020.
Chatham House mengingatkan pembaca bahawa BRI tidak perlu ditakuti sebagai satu bentuk diplomasi hutang China. Malah, jika penambahbaikan dapat dibuat pada BRI dari segi perlaksanaan dan tatakelola membabitkan negara penerima, BRI masih lagi mampu membantu menjana kegiatan ekonomi negara penerima.
Jika China dianggap satu ancaman dari segi ekonomi, maka AS pula apa kurangnya? Bukan sekali AS menuduh China macam-macam tetapi langsung tak keluarkan satu sen pun untuk membantu negara membangun. Ini dapat dilihat dengan jelas semasa era pentadbiran Donald Trump yang ketika itu sibuk melancarkan perang dagang terhadap China.
AS ada juga kerangka kerja mirip BRI iaitu Kerangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) yang dilancarkan pada tahun lepas. Kononnya menerusi IPEF, ia akan membantu negara-negara Indo-Pasifik menangani pelbagai isu dari inflasi sampailah ekonomi digital. Malangnya, itu bukan perjanjian dagang yang dicari banyak negara di rantau tersebut termasuk Malaysia.
Sebabnya mudah, ia mirip kepada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sebelum AS tarik diri semasa era Trump. Kononnya, bila TPPA dimeterai, ia akan jejaskan pasaran kerja dan kelebihan ekonomi dimiliki AS. Jadi, bila AS cuba mohon nak masuk perjanjian baru yang dikenali sebagai TPP, nampak sangat mereka dihantui penyesalan.
Jadi, sebelum AS nak gelar BRI sebagai ancaman ekonomi China, mereka juga perlu pandang cermin dulu. Ancaman ekonomi AS ialah perubahan polisi AS setiap kali sesebuah parti memegang jawatan presiden atau mengawal badan perundangan mereka. Perubahan polisi kadang-kadang terlampau ekstrem membuatkan negara-negara asing terutama di rantau Pasifik tertanya-tanya sama ada AS boleh lagi dipercayai atau tidak. Dan itu membawa kepada Huawei…
Sebut perang dagang AS-China, nama ini tak boleh tertinggal. Huawei jadi medan pertembungan dua negara besar ini atas alasan ia jadi medium perisikan China terutama dari segi pemasangan rangkaian 5G. Walaupun sudah dinafikan berkali-kali, AS tetap berhujah perkara ini berlaku dengan sokongan negara-negara Barat. Jadi, untuk ajar Huawei, bukan sekali sekatan dikenakan termasuk akses kepada mikrocip.
Selain Huawei, TikTok (ByteDance di China) pun jadi sasaran. Kononnya, semua data dari syarikat berkenaan boleh diakses oleh bahagian perisikan China. Begitupun, dari segi isu pengumpulan data, semua syarikat digital melakukannya termasuk Google dan Facebook. Dan ini dibantu oleh aplikasi pihak ketiga yang turut mengumpul data pengguna tanpa menyatakan bagaimana data tersebut digunakan.
Namun begitu, Huawei kembali bangkit dengan pengeluaran telefon pintar terbaru mereka. Apa yang mengejutkan ramai pemerhati teknologi ialah produk terbaru mereka menggunakan mikrocip buatan mereka sendiri. Senang cerita, Huawei atau lebih tepat China beri jari tengah kepada AS dan nyatakan mereka tak perlukan komponen buatan AS.
Selain itu, ini menunjukkan China menerusi syarikat-syarikat mereka berupaya menghasilkan mikrocip yang terkini bersesuaian dengan produk-produk teknologi mereka. Ini membuka ruang kepada Huawei untuk memintas syarikat-syarikat teknologi Barat termasuk Apple dalam memburu kek pasaran pengguna. Huawei dianggap contoh kegagalan AS mengekang China dari segi teknologi.
Ketegangan di Laut China Selatan terutama di kawasan-kawasan yang ada tuntutan bertindih bukan isu baru. Bukan sekali kapal-kapal China terutama kapal pengawal pantai dan tentera laut mereka meronda dan menganggu kapal-kapal negara lain.
Ya, isu ini membuatkan banyak negara terutama negara ASEAN rungsing dengan China. Pada masa sama, tindakan AS untuk paksa negara-negara ini memilihnya di rantau ini langsung tak membantu. Pendirian sebegini menunjukkan Barat terutama AS tidak ikhlas dalam membantu negara-negara ini menyelesaikan pertikaian yang timbul.
Dengan mengambil kira semua kenyataan di atas, beberapa langkah perlu diambil bagi memastikan kepentingan negara terus terpelihara:
1. Mempelbagaikan ekonomi termasuk kerjasama ekonomi. Salah satu platform ekonomi yang patut diteroka ialah BRICS. BRICS ialah pertubuhan ekonomi membabitkan lima negara iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan. Dari segi KDNK saja, kelima-lima negara ini memiliki nilai berjumlah RM238 bilion dengan purata kenaikan sekitar 3.5%. Kerjasama ini patut diteroka kerana ini boleh saja membuka peluang ekonomi baru buat negara dengan BRICS dalam banyak bidang dari perubatan hinggalah perlombongan.
Ini bukan bermakna kerjasama dengan negara Barat patut dilupakan. Teruskan kerjasama tetapi pada masa sama, pastikan ia mampu diterjemah dalam bentuk perjanjian sebenar yang membawa perubahan signifikan kepada negara. Bukan sekali negara dijanjikan pelaburan dari negara luar seperti Barat tetapi bila tempoh yang dijanjikan tiba, itu tidak berlaku. Sudah tiba masanya benda ini dihentikan lebih-lebih lagi atas nama politik.
Selain itu, negara juga perlu tingkatkan pelaburan ekonomi domestik terutama untuk entiti-entiti unikorn. Beri peluang kepada entiti-entiti ini berkembang dan menjadi enjin baru ekonomi negara. Sebarang bentuk perlindungan seperti subsidi atau peraturan yang melindungi sesebuah industri perlu dikaji semula bagi membolehkan kepelbagaian ekonomi dapat dicapai.
2. Ancaman siber termasuk perisikan ialah satu ancaman kepada ekonomi sesebuah negara termasuk Malaysia. Masalah negara ialah pelaburan dari segi infrastruktur dan teknologi untuk aspek ini masih lagi sedikit. Kalau takut sangat dengan ancaman siber, pelaburan aset sebegini perlu dipertingkatkan.
Dalam masa mendapatkannya pula, kena fikir juga pelbagai aspek dari kos hinggalah keboleharapan. Malaysia juga tidak patut tunduk kepada ancaman mana-mana negara hanya kerana memilih produk berbeza. Itu jelas menunjukkan bahawa negara yang membantah sebenarnya takut kepada persaingan dan bimbang inovasi yang diambil dari negara pembeli bakal bawa negara ke hadapan. Malaysia perlu tegas dengan menyatakan bahawa keputusan ini merupakan hak mereka sebagai negara berdaulat dan negara luar tiada hak menyatakan perkara tersebut betul atau salah.
3. Keselamatan maritim di Laut China Selatan terutama di wilayah jadi pertikaian boleh saja ditingkatkan bukan saja menerusi penambahbaikan dan pembelian aset pertahanan. Malah, jalinan kerjasama membabitkan negara-negara yang berdepan isu sama juga patut diteroka.
Perlu diingat, jika dibandingkan China dengan negara-negara ini termasuk Malaysia, ini ibarat durian dengan mentimun. Nak lawan, nak pastikan China hormati pendirian kita, kena lagi bijak dari segi pendekatan. Selain diplomasi, kerjasama dengan negara-negara serantau patut dipertingkat dan kalau perlu, perjanjian formal.
Pembelian aset pertahanan khususnya kapal-kapal tentera laut baru bukan sekali dua timbul sehingga jadi perbincangan hangat di media sosial. Sudah tiba masanya pembelian aset sebegini dimuktamadkan demi kepentingan negara. Tindakan mempolitikkan isu ini hanya menambah kesukaran pasukan keselamatan terutama TLDM dalam menjaga perairan negara.
4. Nak elak isu Forest City berulang, tatakelola dan ketelusan perlu jadi keutamaan. Begitupun, agak sukar nak jayakan isu ini lebih-lebih lagi jika tiada keinginan politik untuk menjayakannya secara menyeluruh. Ini kerana bukan sekali pandangan masyarakat terutama masyarakat sivil diketepikan atas nama pembangunan dan kemajuan ekonomi. Kunci untuk tatakelola dan ketelusan ialah keinginan politik, itu saja yang diperlukan untuk jamin kepentingan negara daripada dicabuli.
Isu persaingan AS-China kini di tahap membimbangkan walaupun belum sampai ke tahap konflik. Sebagai sebuah negara, Malaysia perlu tegas mempertahankan kedaulatannya tanpa mengorbankan sedikit pun kepentingannya. Hanya dengan ketegasan sebeginilah, Malaysia tidak akan diperkotak-katikkan terutama dari segi pertikaian wilayah di Laut China Selatan.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Leave A Reply