Apakah sebenarnya punca Empayar Mongol cuba menceroboh Jepun walaupun mereka sedar mereka bukan kuasa maritim dan Jepun hampir tiada apa-apa yang boleh memberikan hasil pulangan?

Baik, kita cakap tentang satu lagenda berkenaan Genghis Khan dahulu. Semasa aktif berkempen, selepas dia menyerang empayar-empayar asing dan tiba di pesisir pantai, dikatakan dia pernah menyebut “Üünees tsazh gazar ügüi” yang bermaksud “tiada tanah di luar sana”.

Sekadar hiburan.

Ini mungkin bermakna orang Mongol ketika itu tidak mengetahui tentang dunia di sebalik lautan seperti mana bangsa Eldia dalam anime Attack on Titan menyangkakan mereka adalah umat manusia terakhir yang wujud di dunia sedangkan bangsa Marley sudah merancang hendak memusnahkan pulau Paradis.

Namun situasi menjadi berbeza apabila para pewaris Genghis Khan mula menakluki China sebelum disusuli dengan penaklukan semenanjung Korea.

Pada tahun 1225, Empayar Mongol menuntut bayaran ufti dari kerajaan Goryeo di Korea dan apabila Mongol menghantar utusan mereka yang bernama Chu-ku-yu, dia dibunuh.

Kematiannya dimanfaatkan oleh pemerintah Mongol sebagai satu justifikasi untuk membenarkan pencerobohan terhadap Goryeo. Sekaligus menyebabkan mereka menjadikan Korea dan China sebagai pusat melancarkan kempen pencerobohan terhadap Jepun.

Armada Mongol ditewaskan taufan Kamikaze.

Tetapi, mengapa mereka bersusah payah mahu menceroboh Jepun sedangkan mereka tidak ada pengalaman perang maritim? Tambahan pula, tanah Jepun bukanlah tanah yang subur dan sesuai untuk mengaut sumber asli (antara faktor yang menjadi punca Jepun menceroboh China ketika Perang Dunia Kedua).

Antara tahun 1231–1235, Empayar Mongol di bawah Ogedei Khan menyerang semenanjung Korea beberapa kali dan akhirnya apabila Kublai Khan menjadi khagan dan menubuhkan Dinasti Yuan di China, kerajaan Goryeo dijadikan negeri bawahan selama 80 tahun sehingga kejatuhan Dinasti Yuan.

Jadi, idea untuk menyerang Jepun boleh jadi datang daripada Korea. Orang Mongol pada masa itu tidak begitu tahu tentang Jepun, kemungkinan besar mereka mendapat maklumat tentang Jepun daripada orang Korea.

Jepun sentiasa menjadi ancaman bagi Goryeo dan mungkin mereka memberitahu pemimpin tentera dan khagan Mongol bahawa ada satu bangsa yang tinggal di sebuah kepulauan yang memiliki banyak emas dan harta bernilai.

Maka dengan ancaman ini, Empayar Mongol dianggap tidak akan bertahan lama jika mereka tidak menyerang Jepun yang ketika itu dianggap sebagai penghujung dunia.

Terdapat satu kata-kata sarkastik Mongol yang berbunyi, “Seorang Korea bersamaan dengan 10 orang China” yang bermaksud orang Korea adalah orang yang paling licik pernah wujud.

Dikatakan, Goryeo mahu musuh-musuh mereka ini bertembung dalam perang dan hancur buat selamanya, atau sekurang-kurangnya menyebabkan kerosakan teruk pada salah satu pihak atau kedua-duanya sekali.

Pencerobohan Mongol ke atas Goryeo.

Tukang-tukang kapal Goryeo dan China membantu membina kapal untuk menyerang Jepun, cubaan menceroboh dilancarkan pada tahun 1274 dan 1281 tetapi kedua-dua cubaan berbeza ini digagalkan oleh ribut taufan yang digelar sebagai ‘Kamikaze’.

Tapi semua dakwaan di atas hanyalah sekadar andaian berdasarkan lagenda yang tidak semestinya tepat, mungkin benar Mongol mengetahui tentang Jepun melalui orang Korea, tapi ancaman kuasa Jepun bukanlah alasan utama Mongol mahu menyerang Jepun.

Empayar Mongol pada zaman Kublai Khan sudah berpecah menjadi empat negeri berbeza. Dinasti Yuan, Ilkhaniyah, Ulus Jochi, dan Kekhanan Chagatai. Hanya Dinasti Yuan sahaja yang berada di Asia Timur.

Manakala negeri-negeri yang lain berada di sebahagian Rusia, Asia Tengah, dan Parsi. Tambahan pula, status Kublai sebagai Khagan Mongol sudah tidak ada nilai atau kemutlakan sebenar ke atas tiga kekhanan yang lain. Kuasanya hanya terhad di dalam sempadan Dinasti Yuan.

Memandangkan Dinasti Yuan terletak di Asia Timur, Kublai tidak dapat berkembang ke arah barat di Eropah, Timur Tengah atau Afrika, jika dia cuba melakukannya, dia akan mencetuskan perang saudara baharu.

Kublai Khan berdasarkan siri Netflix.

Ini bermakna dia hanya memberi tumpuan terhadap kerajaan-kerajaan yang tidak dikawal oleh pengaruh faksi Mongol yang lain di Asia Tenggara dan Asia Timur. Keghairahan untuk membuktikan kedaulatannya membuatkan dia terburu-buru dan kurang strategik.

Dan walaupun Jepun kekurangan sumber asli, tetapi sebenarnya Jepun amat kaya dengan hasil laut dan perhutanan. Seni bina bangunan berasaskan kayu di Jepun zaman klasik adalah antara seni bina yang paling berharga di dunia.

Sumber hutan yang sama ini membolehkan Jepun membina kapal-kapal laut yang canggih untuk menjalankan perdagangan antara Jepun dan Tanah Besar sejak zaman pra-literasi. Selain itu, Jepun mempunyai struktur politik dan sosial yang mengeksploitasi sumber-sumber ini sejak dahulu lagi.

Pemandangan kawasan ‘Kofun’ di Osaka.

‘Kofun’ (gundukan makam) yang menghiasi landskap di sekitar Nara/Kyoto/Osaka dibina sekurang-kurangnya seawal 200 SM, ratusan tahun sebelum kedatangan bahasa bertulis dari China.

Kewujudannya membuktikan struktur politik Jepun agak maju, kerana untuk membina binaan seperti Kofun itu memerlukan sebuah organisasi yang maju setara dengan ketamadunan Mesir purba yang membina piramid.

Dari perspektif pramoden, Jepun adalah ganjaran besar bagi Mongol jika ia boleh dijinakkan. Tetapi Mongol seharusnya sedar (mungkin tidak) bahawa ada sebab mengapa Jepun gagal diceroboh selama sekurang-kurangnya satu milenium.

Kita harus ingat yang sumber ekonomi Mongol adalah perang penjarahan, mereka menjadikan kekayaan mereka bertambah melalui peperangan.

Dinasti Yuan pada tahun 1280 menggambarkan ukuran Empayar Mongol selepas era Genghis.

Mereka telah menghabiskan masa sekitar 80 tahun untuk menakluki China dan pada tahun 1271, mereka berjaya menakluki seluruh China ketika Genghis Khan sudah mati selama lebih 30 tahun.

Selama dua generasi mereka telah melebarkan sayap ke seluruh benua, semakin banyak wilayah ditakluki, semakin tinggi risiko perpecahan.

Akhirnya ia menjadi realiti setelah Ogedei Khan menceroboh semenanjung Korea, namun hanya pada era Kublai Khan menubuhkan Dinasti Yuan barulah Mongol menundukkan kerajaan Goryeo sepenuhnya.

Semenjak tertubuhnya Dinasti Yuan, pusat pemerintahan Mongol di China itu semakin terpisah dengan negeri-negeri Mongol yang lain di barat, menyebabkan Kublai Khan tak boleh lagi bergantung kepada hasil dari barat.

Ini bermakna semakin banyak sumber diperlukan untuk mengisi kantung pentadbiran Yuan, tetapi mereka tak boleh mencari hasil dengan menceroboh ke arah barat.

Oleh itu Kublai mensasarkan Korea, Jepun, Vietnam-Champa, Pagan, atau wilayah Indo-china yang lain, serta Kepulauan Melayu dan Pulau Jawa. Namun kesemuanya gagal kecuali di Korea.

Bahkan, di Jepun, Kublai gagal dua kali berturut-turut, namun pencerobohan Mongol ke atas Jepun pada 1274 dan 1281 telah memusnahkan banyak sumber dan kuasa-kuasa Jepun di rantau itu.

Ilustrasi menggambarkan Samurai menentang tentera Mongol.

Bahkan pencerobohan Mongol hampir memusnahkan budaya samurai dan Empayar Jepun sepenuhnya sebelum taufan kamikaze menyelamatkan benteng pertahanan terakhir mereka.

Walaupun Jepun menyahut cabaran Mongol dengan para pejuang samurai terhormat yang besar, kekuatan dan keganasan penceroboh Mongol memaksa ramai para samurai berundur hingga membuatkan mereka mempersoalkan kod bushido dan maruah mereka dalam menghadapi pejuang nomad yang ganas ini.

Pun begitu, serangan Mongol telah menyebabkan Keshogunan Kamakura dan dinasti imperial Jepun mengadakan gencatan senjata, mereka kemudian akan berganding bahu bersama beberapa lagi suku bangsawan dan pejuang samurai bagi menghadapi ancaman Mongol.

Pendaratan Mongol.

Dan walau seganas mana pun Mongol, tanpa perancangan yang strategik dan sikap yang terburu–buru, mereka tetap kalah jua akhirnya. Pada dasarnya, punca Mongol menyerang Jepun hanyalah kerana mahu mengekalkan nilai keturunan Kublai Khan bagi menjaga nama baik Genghis Khan memandangkan Empayar Mongol ketika itu sudah berpecah belah.

Jika bangsa Mongol pada abad ke-13 atau ke-14 mengetahui kewujudan pulau besar atau benua kecil yang kini dikenali sebagai Australia dan New Zealand, atau benua Amerika, mereka tentu akan cuba untuk menaklukinya. Tetapi dek kerana kekurangan dari segi perang maritim, terciptalah satu pepatah jenaka Mongol yang menyindir kelemahan tentera laut Mongol ini.

“Kami ada sebuah kapal, tujuh orang pelaut, seorang boleh berenang”.

Pepatah ini bukan rekaan semata-mata, tapi berdasarkan fakta dan data. Menurut All at Sea, sebuah dokumentari 2001 berkenaan angkatan tentera laut Mongolia, pemotongan bajet pada dasarnya telah menswastakan satu-satunya kapal perang negara Mongolia yang ada, iaitu Sukhbaatar III.

Kapal Sukhbataar III

Kapal itu kini terpaksa menghabiskan waktu di luar tugasnya sebagai pengangkut barang dan membawa pelancong bersiar-siar di sekitar Tasik Khovsgol. Tapi baguslah kalau tentera laut Mongolia tak akan belayar ke sebagai kapal perang dalam masa terdekat.

Berdasarkan statistik, sehingga tahun 2001, hanya ada seorang daripada tujuh kelasi negara itu yang tahu berenang.

Tak pelik pun, sedangkan semasa mereka menguasai hampir seluruh dunia, mereka tak pernah mencipta kejayaan yang signifikan dalam angkatan tentera laut atau mana-mana peperangan maritim.

Mongolia hari ini

Ini kan pula pada zaman di mana negara Mongolia memiliki angkatan tentera laut tetapi kedudukan geografi negara mereka adalah ‘landlocked’ di tengah-tengah benua Asia, dan tiada ada pesisir pantai untuk menghubungkan tanah Mongolia dengan lautan.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Leave A Reply